(Ulasan) Black Shark 5 - Naik Taraf Yang Sedikit

Black Shark 5 merupakan peranti baharu untuk siri Black Shark pada tahun 2022 ini. Black Shark 5 telah dilancarkan pada bulan Jun, 2022 pada tanda harga permulaan RM2,229 dalam 3 variasi warna - hitam, putih, dan kelabu.

Kapsyen: Black Shark 5 dalam variasi warna Mirror Black


Peranti ini dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 870, skrin AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz, bateri 4650mAh dengan pengecas super pantas 120W dan butang 'trigger' fizikal disisi kanannya untuk kelebihan dalam bermain permainan mudah alih.

Oleh itu, mari kita sama-sama melihat bagaimana peranti ini mengendali permainan mudah alih arus perdana di luar sana seperti Genshin Impact, Call of Duty: Mobile, Asphalt 9 Legends dan lain-lain.

PRESTASI 'GAMING'


Semua game mampu di 'tapau'

Genshin Impact

Genshin Impact merupakan antara permainan mudah alih dengan keperluan dan penggunaan grafik yang paling tinggi di luar sana. Menariknya, Black Shark 5 mampu memberi anda pengalaman bermain yang lancar, selesa dan tanpa sebarang masalah lagging padanya.

Biarpun pada mana-mana tetapan grafik daripada 'lowest' hinggalah 'highest', peranti ini mampu 'menapau' permainan yang "buas" ini. Tambahan lagi, peningkatan haba yang dirasai agak biasa, tidak terlalu panas dan boleh diterima.



Walaupun begitu, Black Shark 5 akan menjadi sangat panas ketika mengendalikan Genshin Impact pada kadar segar semula 60Hz pada tetapan grafik tertinggi (highest). Peranti ini menjadi panas hingga melebihi suhu 42 darjah celcius biarpun ketika di dalam ruangan yang berhawa dingin (air conditioner).

Kapsyen: Suhu Black Shark 5 ketika bermain Genshin Impact dalam tetapan grafik tertinggi dan 60hz pada suhu bilik


Saya menjangkakan mungkin pengguna peranti ini akan mendapat bacaan suhu yang lebih tinggi lagi jika bermain Genshin Impact di ruangan yang mempunyai suhu bilik dengan tetapan grafik tertinggi dan 60Hz kadar segar semulanya.

Kapsyen: Tetapan grafik tertinggi dengan kadar segar semula 60Hz


Biarpun peranti ini menjadi sangat panas dalam konfigurasi sebegitu, paparan pada skrin tetap jelas, kadar segar semula juga fixed, dan paling penting pengalaman permainan begitu lancar sekali.

Ingin saya tekankan bahawa situasi suhu yang menjadi terlalu panas itu hanya berlaku pada tetapan kadar segar semula 60Hz dengan grafik tertinggi sahaja. Selain konfigurasi tersebut, seperti tetapan biasa dan lain-lain, suhu peranti ini naik pada keadaan panas yang biasa-biasa dan boleh diterima walaupun pada kadar segar semula 60Hz.

Apex Legends Mobile

Apex Legends Mobile merupakan sebuah permainan mudah alih dengan tema 'battle royale' seperti PUBG Mobile, Free Fire dan lain-lain. Tetapi, saya berpendapat bahawa Apex Legends Mobile adalah yang pertama dari segi penggunaan dan keperluan grafik tinggi berbanding 'battle royale' yang lain di luar sana.



Menariknya, Black Shark 5 tidak menghadapi sebarang masalah mahupun memberi saya sebarang kesukaran ketika bermain Apex Legends versi mobile ini. Walaupun kualiti grafik berada ditetapan ExtremeHD dan kadar bingkai diletakkan pada tahap Ultra, pengalaman bermain yang saya alami sungguh lancar, berterusan dan tanpa sebarang masalah.



Tambahan lagi, tidak semua peranti di luar sana yang menyokong kualiti grafik ExtremeHD pada Apex Legends. Di samping itu, peranti ini juga menyokong kualiti Original tetapi tetapan ini hanya akan mengehadkan kadar bingkai pada Normal sahaja.



Oleh itu, konfigurasi ExtremeHD dan Ultra adalah tetapan grafik paling tinggi dan berkualiti yang boleh anda dapati dengan peranti Black Shark 5 ini. Sangat sesuailah untuk anda mencuba Black Shark 5 sekiranya anda adalah peminat 'hardcore' Apex Legends.

Asphalt 9: Legends / Real Racing 3

Kedua-dua permainan mudah alih lumba kereta ini tersenarai dalam game yang mempunyai penggunaan grafik paling tinggi. Selain itu, kedua-dua game perlumbaan kereta ini adalah yang terbaik dalam kelasnya untuk anda cuba.



Asphalt 9 pada tetapan kualiti visual yang tertinggi dan kadar segar semula 60Hz memberi anda satu pengalaman gaming lumba kereta yang berterusan, mencabar dan penuh saingan. Hal ini kerana, AI (Artificial intelligence) yang mengawal kereta lawan dalam perlumbaan sangat handal dan memberi satu persaingan yang sengit.

Ditambahkan lagi dengan pengalaman yang berkualiti melalui peranti Black Shark 5, anda tidak akan bosan bermain di peranti mudah alih lagi selepas ini. Suka juga untuk saya ingatkan anda supaya menaik taraf kereta yang dimiliki selari dengan progress anda dalam Asphalt 9 ini jika tidak mahu ketinggalan dengan kelajuan kereta AI.



Berbeza dengan Asphalt 9, Real Racing 3 lebih menawarkan pengalaman lumba kereta dalam pelbagai jenis kereta yang ada di luar sana seperti kereta sport, american muscle dan yang paling menarik adalah kereta lumba F1 (formula 1).

Sama seperti Asphalt, game ini menyokong tetapan lalai kadar segar semula 60Hz dan mempunyai grafik yang cantik, realistik dan menarik. Walau bagaimanapun, keperluan grafiknya tidaklah setinggi Apex Legends dan Genshin Impact.

Oleh itu, saya tidak menghadapi sebarang masalah dalam bermain kedua-dua 'game' lumba kereta ini. Tambahan lagi, kenaikan suhu tidak begitu ketara mahupun tinggi jika dimainkan secara berterusan lamanya.

Jika anda seorang peminat permainan mudah alih dengan tema perlumbaan kereta, kedua-dua 'game' tersebut memang patut anda cuba. Dan lebih menarik jika anda mencubanya dengan peranti Black Shark 5 untuk dapatkan pengalaman yang lebih baik dan berkualiti.




Call of Duty: Mobile - Garena

COD: Mobile merupakan permainan mudah alih terakhir yang diuji menggunakan Black Shark 5 ini. Antara kelebihan COD: Mobile adalah permainan tersebut mempunyai pelbagai mod permainan seperti battle royale, 5 vs 5 dan pelbagai lagi.



Tambahan lagi, COD: Mobile menyokong hingga kadar segar semula 90Hz dan keperluan grafik yang tinggi terutamanya dalam tetapan grafik tinggi.




Sekali lagi, Black Shark 5 menunjukkan kemampuannya kerana sepanjang tempoh bermain COD: Mobile ini, tiada sebarang 'lagging', peranti menjadi terlalu panas dan lain-lain walaupun pada tetapan grafik tertinggi.



Lihat sahaja saya yang berjaya membunuh banyak pemain lain dalam setiap perlawanan tetapi kalau kalah itu, lain ceritanya.

Bateri


Pengecasnya terlalu pantas, tak "rilek"

Black Shark 5 dibekalkan pengecas yang super pantas 120W bersamanya. Bayangkan bateri peranti anda berada di paras rendah sekitar bawah 20%. Selepas anda mengecasnya dan pergi untuk melakukan kerja lain seperti memasak atau membersihkan diri, dan sedar tak sedar bateri telah dicas sepenuhnya.

Kapsyen: Pengecas 120W yang disertakan bersama di dalam kotak


Sebagai contoh di bawah ini, kurang daripada 20 minit sahaja Black Shark 5 mampu dicas sepenuhnya daripada paras yang rendah 11%. Saya memang sedar akan teknologi pengecasan pada peranti zaman sekarang semakin hebat dan pantas.



Tetapi apabila saya pertama kali mencuba dan menggunakannya, ia sememangnya pantas diluar jangkaan saya. Dan tiada apa yang saya rasai melainkan puas hati, berbaloi dan seronok apabila mengecas Black Shark 5.

Sejujurnya, bagi saya, pengecas yang pantas sangat penting dalam aspek hidup ini. Hal ini demikian, anda tidak perlu risau jika terlupa nak mengecas peranti anda sebelum tidur kerana masa yang anda gunakan untuk bersiap pergi ke pejabat adalah lebih daripada cukup untuk mengecas sepenuhnya peranti ini.

Selain Genshin Impact pada tetapan grafik tertinggi dan kadar segar semula 60Hz, saya boleh dapat tempoh masa penggunaan sekitar 4 jam ke atas untuk sebarang permainan yang saya mainkan pada tetapan grafik yang tinggi. Ini merupakan satu kelebihan yang sangat dicari untuk pengguna dan mereka yang meminati permainan mudah alih.

Hal ini demikian, Genshin Impact dalam konfigurasi grafik seperti itu mudah menghabiskan bateri pada Black Shark 5 kecuali jika anda memilih tetapan grafik yang lalai. Tetapi jangan risau kerana secara keseluruhannya Black Shark 5 adalah sebuah peranti dengan prestasi bateri yang hebat. Sama ada masa penggunaan mahupun pengecas super pantasnya.

Kelemahan - Saiz yang tebal, Butang 'trigger' yang sensitif


Bagi pendapat peribadi saya, Black Shark 5 mempunyai saiz yang tebal berbanding telefon pintar yang lain. Apabila pertama kali memegang peranti ini, saiz tebal itu memang benar-benar terasa kerana telefon pintar yang saya gunakan sebelum ini tidak mempunyai saiz setebal Black Shark 5.

Walau bagaimanapun, saiz yang tebal itu mungkin diperlukan dan bukan disengajakan Black Shark kerana untuk memberi ruang kepada sistem penyejukan peranti ini. Selain itu, dimensi fizikal tersebut bukanlah asing bagi sesebuah peranti yang memfokuskan gaming seperti Black Shark 5.

Yang keduanya adalah butang trigger pada sisi kanan peranti ini agak sensitif dalam pengaktifannya. Seperti anda tahu, telefon ini boleh mengaktifkan butang fizikal tambahan untuk bermain.



Masalah berlaku apabila butang pengaktifan ini mudah sangat untuk teraktif sendiri dan membuatkan butang trigger itu timbul tanpa kita sedar. Kejadian ini kerap berlaku jika anda menyimpan peranti ini di dalam poket seluar mahupun di dalam beg.

Jika perkara ini kerap sangat berlaku, saya risau struktur butang trigger ini boleh menurun dan akan menjadi rosak.

Harga yang marhaen, Prestasi yang berbaloi


Peranti pintar gaming ini dihasilkan untuk memenuhi kehendak pengguna dan untuk mengendalikan sebarang permainan mudah alih yang ada pada tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah.

Itu merupakan antara faktor utama disebalik kejadian peranti gaming dan tidak salah jika saya katakan Black Shark 5 ini memenuhi tujuan akan kewujudannya.

Di samping itu, peranti ini sememangnya mampu mengendalikan sebarang permainan mudah alih yang anda lemparkan kepadanya dalam apa-apa tetapan grafik sekalipun.

Tambahan lagi, harga permulaannya sebanyak RM2,229 ini agak 'bajet' dengan apa yang anda dapat. Harga jualan itu juga cukup berbaloi dan berpatutan berbanding dengan peranti lain yang berada dalam kelasnya.

Bayangkan sahaja dengan harga tersebut, anda mendapat sebuah peranti yang pantas, lancar penggunaannya, cekap bateri, berprestasi dalam mengendali semua permainan mudah alih yang ada dan pengecas 120W yang sangat pantas disertakan bersama.

Seandainya anda berpendapat sebaliknya selepas saya menyenaraikan kelebihan Black Shark 5 ini, "tak dapek den nak nolong". Peranti ini sangat sesuai bagi anda yang mencari sebuah peranti gaming yang tiada keraguan dalam prestasinya tetapi pada harga yang mampu milik dalam segmen peranti gaming.

Namun, anda boleh pertimbangkan untuk memilih Black Shark 4 jika anda mempunyai bajet sekitar seribu setengah begitu. Hal ini demikian, Black Shark 4 dan 5 mempunyai banyak persamaan dalam spesifikasi seperti cip, sokongan kadar segar semula pada skrin dan kemampuan pengecas 120W yang sama antara kedua-duanya.

Selain itu, yang membezakannya adalah sistem operasi dan bicu audio 3.5mm yang sudah tiada pada Black Shark 5. Walaupun begitu, Black Shark 5 menawarkan sistem operasi (OS) yang lebih terkini dan seterusnya memberi sokongan yang lebih lama berbanding pendahulunya.

Beli jika:

  • Anda seorang pemain dan peminat "mobile games" yang ada di luar sana

  • Anda mencari sebuah peranti gaming dengan pengecas selaju jet Top Gun: Maverick

  • Anda memang sedang mencari sebuah peranti gaming yang berbaloi dan serba lengkap


Jangan beli jika:

  • Anda bukan peminat dalam bermain game pada telefon pintar anda

  • Anda hendak membeli Black Shark 5 Pro yang hadir dengan Snapdragon 8 Gen 1

  • Bajet anda tidak cukup untuk peranti yang harga melebihi RM2000