(Ulasan) realme 9 Pro+ Free Fire Edition - Tak Susah Nak 'Booyah'

realme 9 Pro+ Free Fire Edition merupakan kolabrasi antara jenama realme dan permainan mudah alih multipemain, Free Fire. Peranti ini dilancarkan dan mula dijual pada bulan Mei lepas.

REALME 9 PRO+ FREE FIRE 2

Selain itu, peranti ini mempunyai spesifikasi yang sama seperti dikuasakan MediaTek Dimensity 920 5G, bateri sebesar 4,500mAh dan paparan Super AMOLED padanya. Selain itu, peranti ini hanya tersedia dalam variasi 8GB memori dan 128GB storan sahaja.

Prestasi


Peranti realme 9 Pro+ Free Fire Edition mampu mengendalikan penggunaan harian seperti menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan lain-lain tanpa sebarang masalah.

Perkara ini saya tidak menafikan dan tidak terkejut kerana sememangnya peranti-peranti yang ada di pasaran sekarang mempunyai prestasi yang lancar untuk penggunaan harian terutamanya untuk kelas permulaan dan pertengahan.

Oleh itu, saya ingin mengulas akan prestasi dan kemampuan peranti ini dalam mengendalikan tugasan lain seperti bermain permainan mudah alih.

FREE FIRE

Disebabkan telefon ini merupakan peranti yang berkolabrasi dengan Free Fire, tidak sahlah jika peranti ini tidak diuji dalam prestasinya mengendali permainan tersebut.

Walaupun Free Fire bukan permainan mudah alih dengan keperluan grafik setinggi PUBG Mobile, tetapi Free Fire tetap memerlukan sokongan grafik yang agak kompetatif jika berada dalam tetapan grafik tertinggi.



Seperti dengan namanya, realme 9 Pro+ Free Fire Edition ini mampu mengendalikan Free Fire dalam setiap tetapan grafik. Tambahan lagi, saya dapat bermain Free Fire tanpa sebarang masalah dalam kelancaran paparan yang diberikan peranti ini walaupun ia menggunakan Super AMOLED.

Selain itu, saya juga tidak menghadapi sebarang masalah dalam bermain Free Fire dalam tetapan grafik maksimum padanya selama tempoh penggunaan peranti ini.

GENSHIN IMPACT

Saya telah menguji kemampuan gaming peranti ini dalam permainan Genshin Impact. Untuk pengetahuan pembaca, Genshin Impact adalah antara permainan dengan keperluan grafik tertinggi yang boleh anda cuba.



Sejujurnya, saya tidak nafikan peranti ini sememangnya mampu mengendalikan Genshin Impact dalam penggunaan ketika masa lapang anda. Walaupun begitu, saya tidak menasihatkan anda untuk meletakkan tetapan grafik yang tertinggi jika anda mahukan sesi permainan yang lancar padanya.

Selain itu, tetapan grafik di pertengahan dan kebawah adalah pilihan yang saya cadangkan untuk anda merasakan pengalaman permainan Genshin Impact yang lancar tanpa lagging.

ASPHALT 9

Asphalt 9 adalah permainan mudah alih lumba kereta terkini dan generasi seterusnya selepas Asphalt 8. Dalam tetapan lalai (default) daripada Asphalt 9, realme 9 Pro+ Free Fire Edition ini mampu mengendalikan permainan ini tanpa sebarang masalah.



Tiada isu seperti lagging, paparan kabur atau kadar bingkai per saat turun. Untuk mengendalikan sebarang permainan yang sedia ada di luar sana, realme Free Fire Edition ini memang boleh 'tapau'.

Malahan, peranti ini juga mampu memainkan permainan yang memerlukan grafik yang tinggi seperti Genshin Impact tanpa sebarang masalah dengan tetapan grafik kekal di paras normal dan ke bawah.

Bateri


Prestasi bateri sangat penting untuk sesebuah telefon pintar, nak nak pula untuk sebuah peranti gaming seperti realme 9 Pro+ Free Fire Edition ini. Tetapi perkara ini agak mengecewakan dan tidak seperti yang saya jangkakan.

Walaupun mempunyai bateri sebesar 4500mAh, tetapi prestasi bateri peranti ini tidak sepadan dengan saiznya. Apatah lagi, dengan peranti dengan saiz dan dalam kelas yang sama dengannya seperti Redmi Note 11 Pro+ 5G.

Tambahan lagi, Redmi Note 11 Pro+ 5G menggunakan cip pemproses yang sama, MediaTek Dimensity 920 5G. Setakat penggunaan saya pada peranti ini sekitar seminggu setengah, peratusan bateri ketika saya menggunakannya lebih rancak penurunannya terutamanya ketika bermain permainan mudah alih.

Ketika bermain permainan mudah alih, saya mendapat tempoh masa penggunaan sekitar 3 jam dan ke atas sahaja biarpun tetapan grafik pada pilihan normal terutamanya ketika bermain Genshin Impact. Saya mendapat tempoh permainan yang lebih lama sedikit ketika bermain permainan mudah alih Free Fire.

Walaupun begitu, perkara ini terjadi kerana permainan tersebut mempunyai keperluan grafik yang tidak setinggi Genshin Impact. Oleh itu, tidak salah untuk saya katakan bahawa sistem operasi (OS) realme UI 3.0 yang ada padanya mungkin tidak mengoptimumkan penggunaan bateri bagi kegunaan 'berat' seperti bermain game.

Tambahan lagi, peranti ini mempunyai prestasi pengecasan yang paling teruk saya pernah jumpa. Hal ini kerana pengecas yang diberikan agak atau sangat perlahan untuk mengecas peranti ini.



Untuk mengecas daripada peratusan bateri yang rendah sekitar 20% dan kebawah hingga penuh, peranti dan pengecas yang diberikan memerlukan masa lebih dari 1 jam setengah untuk memenuhi kapasiti baterinya.

Perkara ini tidak disangkakan saya untuk sebuah peranti seperti ini. Hal ini demikian, bateri dan prestasinya adalah salah satu elemen yang sangat penting dalam sesebuah telefon pintar.

Kesimpulan


realme 9 Pro+ Free Fire Edition merupakan satu peranti yang seimbang dengan kelebihan dan kekurangan. Walaupun pengguna di luar sana termasuk saya sendiri mencari peranti yang tidak banyak kekurangan padanya.

Selain itu, tiada sebarang perkara yang menarik yang ada pada peranti ini melainkan rupa estetika yang berasaskan Free Fire padanya termasuk panel belakang serta antara muka.

Tambahan pula, kekurangannya adalah pada prestasi bateri yang merupakan antara elemen terpenting pada sesebuah telefon pintar. Lain-lain seperti kamera, sama sahaja dengan versi standardnya, iaitu realme 9 Pro+.

Oleh itu, saya berasa kecewa dengan apa yang ditawarkan peranti ini. Malahan terdapat banyak pilihan telefon pintar yang lebih baik daripada peranti ini pada harga yang sama.

Beli jika:

  • Anda peminat tegar Free Fire

  • Anda mencari peranti yang mampu Free Fire max setting

  • Anda ada palam pengecas pantas yang lebih baik di rumah


Jangan beli jika:

  • Anda peminat PUBG Mobile

  • Anda dah lama meninggalkan permainan Free Fire

  • Anda tiada palam pengecas pantas yang lebih baik dirumah


Beli realme 9 Pro+ Free Fire di:

Shopee - https://invol.co/clb1ebx

Baca juga: