ASUS merupakan sebuah jenama yang tidak asing lagi dalam kancah komputer. Mereka telah membuat laptop sejak tahun 1997, dengan laptop ASUS P6300.
Kini, mereka bukan sahaja mengilangkan laptop, malah ada juga pembuatan ‘portable gaming handheld’, telefon, ‘WiFi router’, dan papan kekunci. Laptop yang dikilangkan ASUS juga terdiri daripada pelbagai jenis siri seperti Vivobook, Zenbook, ProArt.
Laptop yang diuji dalam artikel ini tergolong dalam siri ExpertBook, iaitu satu siri yang menggantikan siri lama bernama ASUSPRO. Siri ExpertBook adalah sama kelas dengan ProArt, tetapi untuk dua golongan yang berbeza. Siri ProArt adalah untuk para editor profesional dengan skrin yang mempunyai ketepatan warna (color accuracy) tinggi, dan siri ExpertBook pula untuk para pekerja korporat.
Spesifikasi ASUS ExpertBook Ultra (Model B9406CAA):
Walaupun ASUS ExpertBook Ultra dipasarkan untuk para pekerja korporat dan bisnes, spesifikasinya bukan main-main. Spesifikasi-spesifikasi utama laptop ini adalah seperti berikut:
- CPU: Intel Core Ultra X7 358H (1.90GHz)
- iGPU: Intel Arc B390
- 32GB LPDDR5X RAM pada 8533MT/s
- 2TB storan NVMe (Gen 5 SSD)
- Bateri 70Wh
- Skrin 14 inci Tandem OLED
- Berat 1.09kg
- Tahan calar pada tahap 9H
- Papan kekunci dengan ketahanan terhadap spill and wear
- Lepasan prosedur 24 MIL-STD 810H
Setakat ini, saya amatlah berharapan tinggi terhadap laptop ini kerana spesifikasi yang kelihatan ‘Ultra’. Tetapi, benarkah?
Adakah ASUS ExpertBook Ultra Benar-benar ‘Ultra’?
Kita mulakan acara dengan pembukaan penutup laptop. Dengan satu jari sahaja, saya dapat membuka penutup laptop ini. Cukup mantap.

Sebelum melakukan apa-apa ujian penggunaan dalam keadaan dunia sebenar atau real world scenario, saya mahu cuba mendapatkan sedikit data penanda aras (benchmarking) bagi prestasi CPU dan GPU laptop ini dengan menggunakan aplikasi seperti Cinebench, Geekbench, Geekbench AI, dan CrystalDiskMark. Bagi aplikasi Geekbench dan Geekbench AI, saya hanya mampu menggunakan versi percuma dan hanya dapat mendapat data asas sahaja.
Saya juga memastikan tetapan ‘Best Performance’ dihidupkan dan wayar pengecas disambungkan sebelum melakukan sebarang benchmarking.

Bermula dengan Cinebench, asalnya saya mahu mendapatkan skor CPU dan GPU, tetapi disebabkan iGPU laptop ini, iaitu Intel Arc B390, hanya mempunyai 128MB VRAM, saya tidak dapat buat sedemikian. Jadinya, saya hanya mampu mendapatkan data bagi CPU.
Berdasarkan skor yang diperolehi, Intel Core Ultra X7 358H yang menguasai laptop ini adalah setaraf dengan Snapdragon X dan Intel Core Ultra 9 288V. Cukup baik.
Disebabkan saya tidak dapat menguji prestasi GPU, saya menggunakan Blender Benchmark untuk menguji sedikit prestasi grafik CPU dan GPU laptop ini. Ini data yang saya perolehi:
Geekbench pula menunjukkan data yang menarik. Berdasarkan laman web Geekbench, skor CPU ‘single-core’ adalah sama dengan AMD Ryzen Threadripper 7960X, dan skor ‘multi-core’ lebih kurang dengan AMD Ryzen 7 9700X. Skor Vulkan GPU pula adalah setanding dengan GTX 1660 SUPER. Bagi skor OpenCL GPU juga, ia setanding dengan RTX3050 versi laptop.
Laptop ini juga mempunyai NPU atau Neural Processing Unit yang berfungsi untuk mengendalikan pemprosesan AI tanpa memakan bateri. Disebabkan itu, Geekbench AI digunakan untuk menguji keupayaan pengendalian AI.
CrystalDiskMark pula digunakan untuk menguji kelajuan storan dalam laptop. Seperti bacaan di bawah, storan amat laju, jadi tiada masalah untuk menghantar fail dan membuka aplikasi dengan pantas.

Skor-skor yang diberikan kelihatan baik, tetapi ia tidak cukup meyakinkan, bukan?
Baiklah, kini, barulah saya mula mencuba penggunaan dunia sebenar atau real world scenario. Sepanjang saya menggunakan laptop ini, saya akui bahawa hayat bateri laptop ini amatlah mantap. Dengan penggunaan ringan seperti melayari laman web, pembukaan banyak tab, menstrim lagu di Apple Music, dengan disambungkan earphone wayarles, ia mampu tahan lebih daripada 8 jam tanpa masalah.

Tetapi, ini bergantung kepada aplikasi broswer yang digunakan. Saya telah menggunakan aplikasi Brave Browser dan Microsoft Edge, jadi berkemungkinan aplikasi-aplikasi ini tidak memakan banyak bateri dan RAM. Satu faktor lain mengapa laptop ini boleh mengendali banyak tab dan window adalah 32GB LPDDR5X RAM yang terkandung dalam laptop ini. Jarang sekali penggunaan RAM melebihi 20GB ketika saya membuka tab dan window sebanyak ini.
Windows 11 juga selalunya memakan RAM sehingga 8-9GB. Jika dikurangkan segala bloatware Microsoft yang ada, mungkin penggunaan RAM akan kurang lagi daripada ini.

Untuk memberikan anda data yang lebih terperinci, saya telah cuba menggunakan laptop ini bermula dengan bateri 44%, dengan tetapan mod bateri ‘balanced’, kecerahan skrin 54%, dan refresh rate 60hz.
Sambil mendengar lagu di Apple Music melalui earbuds wayarles, saya menggunakan laptop ini untuk menulis draf bagi artikel ini, dan melayari laman web dengan lebih daripada 10 tab dibuka. Setelah 3 jam 30 minit, bateri hanya turun 27%. Ini sangat solid. Suhu laptop juga kekal sejuk dan tidak panas sepanjang saya membuat kerja menggunakan laptop ini.
Jika tetapan ‘battery saver’ dihidupkan, mungkin hayat bateri akan lebih panjang daripada ini.
Tambahan pula, laptop ini menyokong pengecasan pantas 90W. Hanya 75-80 minit diperlukan untuk cas laptop ini sehingga penuh. Jadinya, hayat bateri tidak perlu dirisaukan kerana ia pasti boleh tahan lama.
Seterusnya ialah dimensi dan berat laptop ini. 1.09kg adalah sangat ringan bagi sebuah laptop, dicampurkan dengan saiznya yang kompak iaitu 14 inci dan ketebalan 10.9mm, ini menjadikan ia mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja tanpa memberatkan beg anda. Disebabkan ini juga, saya mampu membuat kerja dalam kereta tanpa perlu risau akan berat.
Satu perkara yang saya nampak adalah hinge laptop ini tidak cukup ketat, maka jika anda terfikir untuk membuat kerja sambil on-the-go seperti di dalam kereta, ingatlah bahawa penutup laptop (bahagian atas laptop) akan banyak bergerak. Tetapi, siapa sahaja yang akan membuat kerja sambil bergerak, bukan?

Satu lagi perkara, laptop ini tidak boleh dibuka sebesar 180 darjah, hanya sekitar 150-160 darjah. Bagi saya, ini hanyalah masalah kecil.
Apa yang berkaitan dengan dimensi adalah reka bentuk. Laptop ini mempunyai permukaan luar yang tahan calar pada tahap 9H, kerana ketika saya mula menguji laptop ini, saya terlihat ada calar di permukaan luar.
Kerana bimbang, saya cuba untuk menggosok kesan calar itu. Setelah digosok, hilang kesan calar. Jadi, tidak perlu risau jika laptop ini tergesel dengan kunci dan keychain. Badan laptop ini juga terasa premium walaupun ringan.
ASUS juga ada menyebutkan bahawa badan laptop ini juga tahan lasak, tetapi saya tidaklah cuba untuk mendera laptop ini. Tetapi, saya yakin bahawa anda tidak perlu risau ketika menggunakan laptop ini jika anda jenis pengguna yang liar sedikit.
Jika spesifikasi-spesifikasinya setakat ini mantap, tiada guna jika papan kekunci tidak rasa puas untuk digunakan untuk menaip.
Berita gembira untuk anda: papan kekunci ini terasa sedap dan selesa untuk ditaip. Jarak antara kekunci juga tidak sempit, maka ketepatan menaip (typing accuracy) adalah lebih tinggi berbandingkan dengan laptop-laptop kompak yang lain.
Papan kekunci laptop ini juga mempunyai lampu atau ‘backlit’, membolehkan saya untuk membuat kerja dan menaip dalam gelap. Terdapat juga satu pengesan atau sensor di bahagian webcam yang boleh mengesan jika anda berada dalam persekitaran cerah atau gelap.

Apa yang duduk berhampiran dengan papan kekunci adalah trackpad. Saiznya besar, jadi tidak perlu risau jika tidak cukup ruang untuk menggerakkan ‘pointer’. Ia juga clicky, tetapi tidak bising. Ini kerana ia menggunakan sistem haptic untuk mengsimulasi rasa klik, tanpa ada mekanik klik fizikal. Terasa seperti benar-benar ada mekanik fizikal itu. Cukup mantap.

Beralih kepada skrin, antara kelebihan laptop ini adalah aspect ratio 16:10, yang mempunyai vertical height lebih tinggi berbanding 16:9 yang tradisional. Ini memudahkan saya untuk membaca dokumen secara menegak disebabkan ketinggian ekstra ini.
Selain itu, skrin laptop ini mempunyai resolusi 2880×1880, jadinya segala video dan dokumen akan nampak cukup tajam. Ditambah pula dengan Tandem OLED, memang seronok digunakan untuk menonton filem kerana warna yang lebih menonjol, vivid, dan warna hitam yang dalam. Dengan sokongan refresh rate 120hz, skrin terasa sangat lancar. Ia juga cukup cerah, dengan kecerahan lebih daripada 1000 nits, jadi laptop ini boleh digunakan di bawah matahari.
Skrin ini juga mempunyai kemasan matte, jadi ia anti-silau yang mampu mengurangkan pantulan dan gangguan.

Ia juga menyokong HDR dan kecerahan tertinggi pada 1600 nits, tetapi kedua-dua ini hanya tersedia apabila laptop disambungkan kepada wayar pengecas.

Bukan itu sahaja, skrin ini juga boleh disentuh. Setakat saya mencuba, ia cukup responsive dan terasa sedikit seperti melukis atas kertas.
Kalau skrin sudah cukup mantap untuk membuat kerja dan melayan filem, pastinya speaker juga perlu berbunyi sedap, bukan?
Bagi speaker pula, terdapat 6 spatial speaker dengan tuning Dolby Atmos. Berdasarkan pendengaran saya, kualiti bunyi cukup jelas dan soundstage kedengaran luas disebabkan susunan speaker spatial, dengan kedudukan instrumen yang sangat ketara ketika memasang lagu-lagu tertentu.
Tetapi, ia kekurangan bass dan ‘oomph’ daripada speaker Macbook yang bagi saya masih lagi antara terbaik. Walau bagaimanapun, saya masih menyukai speaker laptop ini. Memang layan ketika menonton filem dan mendengar lagu.
Setakat ini, laptop ini sememangnya ‘ultra’. Bagaimana pula dengan permainan video? ASUS ada membuat dakwaan bahawa prestasi grafik laptop ini adalah lebih baik berbanding RTX4050.
Disebabkan rasa ingin tahu, saya cuba sedikit permainan video Resident Evil 3 Remake. Satu sahaja yang saya boleh katakan: laptop seperti ini bukanlah untuk gamers.
Ini disebabkan suhu laptop yang menjadi cepat panas, dan satu faktor utama adalah kenipisan laptop dan sistem penyejuk laptop yang tidak sebaik laptop-laptop gaming. Bukanlah anda tidak boleh menggunakannya untuk melakukan sedemikian, anda pasti boleh. Seperti yang dapat anda lihat di bawah, laptop ini mampu mengendali tetapan grafik ‘High’ dan 120hz dengan lancar, tanpa masalah.
Tetapi, anda perlu memastikan wayar pengecas disambungkan untuk mendapatkan prestasi terbaik, dan digalakkan untuk menggunakan kipas penyejuk luaran untuk mengelakkan thermal throttling.

Setelah menguji hayat bateri, penggunaan seharian, skrin, papan kekunci, trackpad, speaker, dan sedikit permainan video, pastinya ia mampu untuk memegang nama ‘ultra’. Tetapi, sebelum melompat kepada kesimpulan, terdapat spesifikasi-spesifikasi lain yang turut menyumbang kepada nama ‘ultra’ ini tetapi bukan semua.
Spesifikasi-spesifikasi Lain ASUS ExpertBook Ultra
Webcam: 5MP sensor dan boleh rakam video sehingga 1080p 30fps. Dynamic range tidak mantap, biasa-biasa sahaja. Cukup untuk masuk mesyuarat dalam talian di Microsoft Teams. Yang penting, masih kelihatan muka dan tidak nampak gelap. Kualiti mikrofon juga cukup baik untuk menangkap suara saya.

Sambungan I/O yang ada: 2x Thunderbolt 4 Type-C, 2x USB 3.2 Gen1 Type-A, HDMI, dan headphone jack. ASUS tidak kedekut memberikan sambungan yang cukup.
Sambungan wayarles: Bluetooth 6.0, WiFi 7. Setakat ini, tiada masalah untuk sambung ke mana-mana WiFi, dan kelajuan internet juga memuaskan.
Satu perkara yang anda perlu tahu: jika anda sambungkan earbuds atau headphone wayarles, pastikan anda turunkan dahulu ‘volume’ daripada peranti tersebut dan bukan pada sistem laptop kerana terdapat satu ‘bug’ dimana ‘volume’ yang ditunjukkan di sistem tidak sama dengan ‘volume’ sebenar di peranti wayarles. Ini untuk mengelakkan anda menyakiti gegendang telinga secara tiba-tiba.
Pengesan cap jari: Ada pengesan cap jari atau fingerprint scanner pada butang ‘power’, ia cukup pantas untuk membaca cap jari saya.

ASUS ExpertPanel: Ada ciri-ciri tambahan berkaitan AI dan bisnes. Terdapat satu ciri bernama ‘ExpertLumi’. Bagi saya, ia hanya satu gimik sahaja buat masa ini. Dijangka ASUS akan menambah lagi kegunaan ciri ini pada masa akan datang.
Studio effects: Ciri tambahan bagi webcam yang boleh digunakan ketika bermesyuarat dalam talian. Boleh kaburkan pemandangan belakang dan mengubah pandangan mata anda seakan-akan anda membuat eye contact.

Smart Gestures: Ciri alternatif untuk melaraskan kecerahan skrin dan ‘volume’ bunyi. Ada haptic feedback atau sedikit gegaran apabila anda melakukan sedemikian. Sangat satisfying.
Kebolehtingkatan/upgradability: Hanya storan sahaja yang boleh ditukar. RAM adalah jenis terpatri atau soldered, dan tidak boleh ditambah.
Kesimpulan
ASUS ExpertBook Ultra merupakan sebuah laptop flagship yang tidak main-main dengan spesifikasinya: CPU dan iGPU yang efisien dan cukup berbisa jika ingin membuka banyak tab dan window, dan sedikit sesi permainan video, hayat bateri yang mampu tahan seharian (bergantung kepada penggunaan masing-masing), storan dan RAM yang banyak, skrin Tandem OLED jenis matte yang berresolusi tinggi dan refresh rate tinggi, speaker spatial, badan laptop yang tahan lasak dan kalis calar, permukaan papan kekunci yang juga tahan wear and tear, pengalaman menaip yang mantap, trackpad besar, saiz yang kompak, dan sambungan I/O yang banyak.
Laptop juga tidak mudah panas walaupun telah dibuka banyak aplikasi, tab, dan window. Jadi, ini semua memang ‘ultra’.
Apa yang tidak ‘ultra’ pula adalah RAM yang tidak boleh ditambah atau tukar, kualiti webcam yang kurang memuaskan dan nampak seperti ia dari tahun 2012, dan penutup laptop yang tidak boleh dibuka seluas-luasnya.
Untuk permainan video juga, ia akan cepat panas, walaupun telah disambungkan wayar pengecas. Tetapi, ini semua masalah yang tidak besar. Sekurang-kurangnya, storan masih boleh ditukar.
Pada tanda harga bermula dari RM8,999, saya mengaku bahawa ia adalah ‘ultra’.
Jika anda seorang gamer, ini bukan untuk anda. Tetapi jika anda seorang pekerja bisnes atau mungkin seorang programmer, dan ingin mempertimbangkan laptop ini untuk produktiviti, saya mengesyorkan laptop ini untuk anda.
{suggest}






















