Jika anda seorang gamer, pastinya ada dua jenis cip yang timbul di minda: Snapdragon dan MediaTek Dimensity. Kedua-dua jenis cip ini diiktiraf sebagai cip yang sesuai untuk permainan video, permainan video natif secara spesifik, dengan prestasi yang semakin baik setiap tahun dan penggunaan tenaga yang bertambah efisien.
Yang pasti, Exynos, iaitu siri cip buatan Samsung, jarang terlintas di fikiran kerana ia terkenal dengan ketahanan suhu yang kurang baik.
Sejujurnya, saya agak skeptikal dengan Exynos kerana telah dikecewakan oleh Exynos 9825 yang menguasakan Samsung Galaxy Note 10+ kerana ia sangat mudah menjadi panas apabila bermain sedikit permainan video natif, dan pengalaman gaming juga kurang memuaskan.
Apakan daya bagi seorang Snapdragon fanboy…
Tetapi setelah hampir 7 tahun, mungkin Exynos banyak bertambah baik, bukan? Jadi, mari kita lihat apakah itu benar atau dusta.
Cukup Berbisa Tak Exynos 2600?
Samsung Galaxy S26, iaitu telefon kompak bersaiz 6.3 inci, dikuasakan dengan cip Exynos 2600, iaitu cip 2 nanometer yang mempunyai skor AnTuTu 3.1 juta, setanding dengan cip Snapdragon 8 Elite. Di teras cip ini, wujudnya GPU Samsung Xclipse 960 yang juga tidak jauh beza prestasinya dengan Snapdragon 8 Elite, berdasarkan data NanoReview.
Spesifikasi lain telefon ini termasuklah 256GB storan, UFS 4.0, 12GB LPDDR5X RAM, bateri 4300mAh, dan ‘vapor chamber’ untuk penyebaran haba yang lebih cekap.
Walaupun terdapat spesifikasi-spesifikasi sebegini yang mendampingi Exynos 2600, saya masih lagi sedikit skeptikal, tetapi saya cuba juga memberi “The benefit of the doubt” kepada cip ini.
Untuk keseluruhan ujian kali ini, saya membuat tetapan kecerahan skrin pada 20-25%, refresh rate skrin pada 60 Hz, dan mod ‘Balanced’ di Game Booster untuk menyeimbangkan prestasi permainan dan hayat bateri. Ciri ‘RAM Plus’ pula telah dimatikan untuk memastikan tiada gangguan prestasi.

Bagi suhu telefon, aplikasi seperti Ampere dan CPU-Z digunakan untuk mengukur darjah celsius, tetapi saya lebih gemar menggunakan Ampere kerana saya terus boleh nampak bacaan suhu berbanding CPU-Z. Mungkin ia tidak 100% tepat, tetapi ia boleh memberikan anda sedikit gambaran tentang kepanasan telefon setelah tamat sesi permainan. Ketika bermain juga, tiada phone case dipakai.
Kita mulakan ujian dengan permainan video yang standard iaitu Genshin Impact. Tetapan grafik asal adalah ‘medium’ dan 30 fps. Dengan tetapan grafik ‘High’ dan 60 fps, cip ini pada mulanya berjalan dengan lancar ketika bersiar-siar. Apabila mula masuk ke dalam arena untuk melawan boss, prestasi kekal pada 60 fps, tetapi telefon mula terasa suam. Setelah bermain selama 15 minit, bateri telah turun 10% dan suhu telefon mula menjadi panas. Bermungkinan bateri turun cepat disebabkan grafik nombor-nombor skor yang muncul bertubi-tubi apabila berlawan dengan boss.
Seterusnya, Odin: Valhalla Rising. Dengan tetapan grafik paling tinggi, saya mampu mendapat 60 fps dengan sedikit rasa sangkut dan lagging. Tetapi, bateri cepat turun dengan hilangnya 14% setelah bermain selama 30 minit. Suhu telefon juga mula menjadi suam dan lama kelamaan menjadi panas, sehingga ke tahap telefon ini tidak boleh dipegang. Saya terpaksa berhenti bermain selepas 30 minit untuk membiarkan suhu surut semula. Walaupun CPU-Z memberikan bacaan suhu setinggi 38 darjah celsius, ia terasa lebih panas daripada itu bagi saya.
Giliran Neverness to Everness pula untuk dimainkan. Tetapan grafik asal adalah ‘Balanced’ dan 30 fps. Apabila dinaikkan tetapan grafik kepada ‘Extreme’ dan 60 fps, pengalaman bermain terasa lancar dengan sedikit rasa lagging, tetapi masih boleh layan. Tetapi, suhu telefon cepat menjadi suam dan sedikit panas. Nasib baik ia masih boleh dipegang sepanjang saya bermain. Belum lagi terasa seperti ia membakar tangan. Dalam 30 minit, hilang 14% hayat bateri, tetapi prestasi masih konsisten.
Setelah gagal melawan raksasa besar dan dimasukkan ke dalam lokap di NTE, kini tiba masa untuk berlumba dalam CarX Street. Tetapan grafik asal adalah tahap 4, dan ‘fps limit’ pada 30 fps. Dengan tetapan grafik paling tinggi dan tiada ‘fps limit’, telefon menjadi cepat panas (38 darjah celsius tetapi rasa seperti 43 celsius) dan bateri turun 8% dalam 12 minit, tetapi prestasi cukup baik dengan sedikit grafik glitching. Mungkin tetapan grafik perlu diturunkan untuk memperlahankan penurunan bateri dan mengurangkan suhu telefon untuk berlumba lebih lama. ‘External phone cooler’ juga diperlukan jika anda masih lagi mahu bermain pada grafik yang tinggi.
Bagi Where Winds Meet yang merupakan antara permainan video dalam talian (online) yang benar-benar memerlukan kuasa GPU yang tinggi, telefon ini mengendalinya dengan baik. Tetapan grafik asal ‘Ultra’ dan frame rate pada ‘High’. Apabila dinaikkan frame rate kepada ‘Extremely High’ dan tetapan grafik semua tertinggi, masih terasa lancar dan hanya sedikit rasa lagging. Dalam 20 minit bersiar-siar dalam dunia permainan video ini dan bertarung dengan enemy, bateri turun 8%, dengan suhu telefon menjadi suam dan sedikit panas (37 darjah celsius), tetapi masih boleh dipegang.
Tidak pasti mengapa bateri turun dengan lebih perlahan untuk permainan video ini berbanding CarX Street, tetapi berkemungkinan disebabkan permainan video ini adalah lebih optimized.
Kini, tiba masa untuk keluar dari alam dalam talian, dan pergi ‘off-grid’, bermula dengan Alien: Isolation. Untuk permainan luar talian (offline) ini, diingatkan bahawa ada ‘fps cap’ atau pengehad fps pada 30 fps, jadi ia tidak akan mencapai lebih daripada 30 fps, kecuali jika membuat sedikit penggodaman. Saya berjaya untuk menukarkan had fps kepada 120 fps. Perkara ini terbongkar kerana saya ada rasa curious.

Satu masalah yang telah saya hadapi adalah overlay Game Booster tidak muncul ketika permainan dibuka. Maka, saya perlu memuat turun aplikasi Game Booster+ di Galaxy Store untuk mendapatkan overlay itu.

Sepanjang bermain Alien: Isolation, terasa lancar walaupun ditetapkan grafik ‘Performance’, tetapi ada sedikit sahaja rasa sangkut-sangkut. Bateri pula hanya berkurang 5% dalam 20 minit saya bermain, dan suhu hanya sedikit suam dan tidak panas (34 darjah celsius). Dapatlah saya menakut-nakutkan diri saya tanpa terlalu risau akan suhu telefon.
Asalnya, saya ingin terus mencuba permainan video natif luar talian yang lain seperti Hitman: Absolution dan Tomb Raider, tetapi malangnya tidak berkemampuan. Jadi, saya akan mencuba sedikit prestasi emulasi permainan konsol untuk menggantikan yang tiada.
Baiklah, bagi emulasi konsol PlayStation 2, saya kembali ke Silent Hill 2: Restless Dreams untuk dihantui. Apa yang menghantui saya adalah betapa konsisten prestasi cip ini. Ia kekal pada 29-30 fps tanpa lagging, walaupun tetapan grafik adalah 2.5x upscaling atau 1080p. Bateri juga hanya berkurang 3% setelah bermain selama 20 minit, dan suhu telefon hanya sedikit suam (28 darjah celsius). Dengan yakin, saya boleh katakan bahawa saya boleh main permainan video ini selama sejam tanpa perlu risau akan bateri dan suhu.
Setakat ini, prestasi cip Exynos 2600 ini cukup berbisa, dengan fps yang konsisten, sekitar 55-60 fps. Walau bagaimanapun, satu perkara yang jelas dalam semua permainan yang telah diuji adalah suhu. Bergantung kepada jenis permainan video yang dimainkan, telefon menjadi cepat suam hanya selepas beberapa minit bermain, tidak kira dakwaan Samsung bahawa ‘vapor chamber’ dalam Samsung Galaxy S26 adalah untuk memastikan haba disebarkan dengan baik. Telefon sentiasa terasa panas di bahagian kamera.

Tetapi, telefon ini hanya memerlukan 5 minit untuk sejuk semula jika anda membiarkannya tanpa digunakan. Jadinya, ada masa untuk anda merehatkan mata seketika sehingga tiba masa untuk sambung bermain.
Pada pendapat saya, faktor suhu juga bergantung kepada varian telefon yang digunakan kerana telefon yang lebih kompak seperti Samsung Galaxy S26 ini mungkin akan menjadi lebih panas berbanding Samsung Galaxy S26+ yang bersaiz lebih besar. Hal ini kerana dengan ruang yang lebih kecil, penyebaran haba menjadi kurang efektif.
Satu lagi faktor yang perlu diambil kira adalah persekitaran. Mungkin jika anda bermain outdoor, telefon akan cepat panas. Tetapi, saya banyak bermain dalam kawasan berpenyaman udara (aircond), dan suhu telefon masih mampu menjadi panas. Apa nak dikata…
Ingin dirumuskan di sini bahawa Exynos 2600 masih lagi mempunyai masalah suhu, tetapi tidak seteruk cip-cip yang terdahulu.
Setelah mengetahui perkara ini, pastinya anda tertanya-tanya jika telefon seperti Samsung Galaxy S26 ini masih berbaloi atau tidak.
Ada satu sebab mengapa anda masih boleh mempertimbangkan telefon Samsung.
Satu Ciri Hebat Telefon Flagship Samsung
Satu kelebihan menggunakan telefon Samsung ini adalah Samsung Dex, iaitu satu ciri yang memberikan pengguna ‘desktop mode’ seolah-olah sistem operasi Windows. Apabila anda menyambungkan telefon ini kepada sebuah monitor, anda akan mendapat UI ini:

Boleh main permainan video menggunakan Samsung Dex, tetapi ia tidak sempurna.
Contohnya, jika tersentuh skrin telefon ketika menggunakan controller wayarles, ia akan mengawal skrin telefon dan bukan skrin pada Samsung Dex. Jadinya, anda perlu menggunakan ‘touchpad’ pada skrin telefon untuk klik semula skrin Samsung Dex supaya boleh terus mengawal skrin itu menggunakan controller wayarles.
Tambahan pula, telefon akan menjadi cepat panas kerana USB hub yang dipakai akan memakan bateri. Maka, digalakkan untuk mencari USB hub dengan slot USB-C untuk pengecasan agar boleh menggunakan Samsung Dex sambil mengecas telefon. Penggunaan ‘external cooler’ juga digalakkan untuk prestasi yang paling baik.

Tetapi, ingin diingatkan bahawa Samsung Dex hanya wujud pada peranti-peranti flagship Samsung sahaja kerana semuanya mempunyai USB versi 3.2 yang menyokong pancaran skrin melalui HDMI. Peranti-peranti yang midrange dan bajet hanya mempunyai USB versi 2.0, dan tidak menyokong ciri ini.
Kesimpulan
Exynos 2600 merupakan sebuah cip yang amat berkuasa, tetapi masalah suhu yang cepat panas masih lagi menghantui. Yang pasti, masalah suhu cip ini tidak seteruk dahulu.
Saya tidak menafikan bahawa cip ini ada potensi yang tinggi, tetapi faktor seperti saiz telefon, reka bentuk, dan saiz bateri yang menghalang cip ini dan telefon-telefon yang dikuasainya untuk mencapai potensi sebenarnya.
Setakat saya memakai telefon ini, bateri cepat berkurang dengan penggunaan yang ringan, walaupun mempunyai bateri berkapasiti 4300mAh. Mungkin juga ini disebabkan cip ini kurang efisien berbanding Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang menguasakan telefon-telefon Samsung varian Amerika dan China. Varian Snapdragon juga lebih berkuasa kerana cipnya mempunyai skor AnTuTu 25% lebih daripada Exynos, dan dikatakan mempunyai ketahanan suhu yang lebih baik.
Bagi saya, Samsung sepatutnya lebih mementingkan meningkatkan kapasiti saiz bateri dan menawarkan sistem penyejukan yang lebih baik serta kecekapan cip pemproses ini. Tetapi, pada akhirnya, Exynos 2600 masih lagi sebuah cip yang berkuasa dan ada penambahbaikan berbanding cip-cip Samsung yang lalu.
{suggest}


















