Ujian Kereta Terbang Tidak Dijalankan Kerana Tidak Mendapat Kebenaran CAAM

Sepertimana laporan beberapa hari yang lalu, ujian kereta terbang telah dijadualkan berlangsung pada hari ini (21 November 2019) dimana ia akan turut disertai oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Dalam keterujaan rakyat menunggu hasil ujian tersebut, semalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tampil mengeluarkan kenyataan bahawa ujian tersebut tidak boleh dijalankan.


Hal ini adalah kerana ia tidak mendapat kebenaran daripada pihak CAAM, serta tapak ujian tersebut berada berhampiran dengan laluan udara bagi penerbangan komersial dan helikopter yang dikawal selia oleh pusat trafik kawalan udara.

Turut dinyatakan, kereta terbang atau Super Dron terbabit yang juga dikenali sebagai UAS E-Hang 216 (EH216) hanya mendapat permit penerbangan (SFP) oleh Civil Aviation Administration of China yang hanya terhad bagi penerbangan di  Grand World Science Park, Guangzhou sahaja.

Dalam pada itu, pihak CAAM bersedia untuk memberi pertimbangan bagi melaksanakan ujian EH216 dilokasi yang lebih sesuai.

Ehang 216 merupakan pesawat tanpa pemandu (UAV) yang boleh memuatkan dua orang penumpang dan ia dikatakan hasil usahama EastCap Bhd dan dua syarikat dari China, Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology Co. Ltd serta Strong Rich Holdings Limited.