Kereta Terbang Pertama Negara Akan Diuji Pada Khamis Ini

Menteri sendiri akan melakukan pandu uji ke atas kenderaan tersebut.


Selepas sekian lama menjadi persoalan dan bahan bualan rakyat, sesi pandu uji kereta terbang pertama negara dijangka akan dilakukan buat pertama kalinya pada hari Khamis ini.

Ujian ke atas kereta terbang itu akan dijalankan di Subang. Menurut laporan oleh BH, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof sendiri akan melakukan pandu uji ke atas kenderaan yang boleh memuatkan dua orang itu.


Malah beliau turut mengundang ahli Parlimen lain untuk turut sama menyaksikan sendiri sesi pandu uji kereta terbang berkenaan, bagi melihat sendiri kenderaan tersebut.

Ia dimaklumkan oleh Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 yang telah berlangsung awal tahun ini, kementerian telah mempamerkan prototaip kenderaan terbang yang dinamakan ‘Vector’.