Syarikat telekomunikasi berasaskan awan pertama di ASEAN, Tune Talk, hari ini mengumumkan kejayaannya memperoleh kelulusan lesen Penyedia Kemudahan Rangkaian (Individu) [NFP(I)] daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kelulusan ini membolehkan Tune Talk memiliki serta menyediakan kemudahan rangkaian tertentu seperti peralatan penghantaran, pautan tetap, kabel dan menara.
Digabungkan dengan lesen Penyedia Perkhidmatan Rangkaian [NSP(I)] dan Penyedia Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] sedia ada, Tune Talk kini memegang lesen merentasi keseluruhan rantaian kemudahan, perkhidmatan rangkaian dan aplikasi.
Dibina berasaskan rangkaian teras awannya di AWS yang dilancarkan pada Mac lalu, lesen NFP(I) memberi asas kawal selia kepada syarikat untuk merancang rangkaian dengan lebih fleksibel, meneroka pemilikan infrastruktur serta membina kebebasan operasi yang lebih besar.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda berkata, pencapaian ini memberikan pijakan lebih kukuh untuk syarikat menentukan hala tuju perkembangan rangkaiannya demi manfaat rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Tune Talk menjelaskan lesen ini merupakan kelulusan kawal selia dan tidak mengubah pelan, nombor atau perkhidmatan pelanggan sedia ada.
Sebarang pelaksanaan infrastruktur atau akses spektrum pada masa hadapan kekal tertakluk kepada kelulusan kawal selia berkaitan.
