Di sebalik lorong berselirat pasar elektronik Huaqiangbei yang bermandikan cahaya neon di Shenzhen, pembeli dari Afrika hingga Bangladesh memborong berpuluh-puluh telefon terpakai pada satu-satu masa termasuk yang berskrin retak, untuk dijual semula di negara asal mereka.
“Dari seluruh China, telefon bimbit yang rosak akan dihimpunkan ke sini,” kata Akhtar Muhammad, 38, seorang ahli perniagaan warga Pakistan, kepada AFP sambil membelek timbunan peranti di bandar selatan China itu.
“Kami akan membaikinya di Pakistan,” ujarnya. Bekalan yang ada sangat menakjubkan.
Sebagai pengeluar telefon pintar terbesar dunia, China melupuskan lebih 400 juta peranti setiap tahun, menurut anggaran Persatuan Ekonomi Kitaran China.
Ketika krisis kekurangan cip dan kenaikan harga di seluruh dunia menjadikan peranti baharu semakin sukar untuk dimiliki, permintaan terhadap telefon terpakai turut melonjak.
Mama, seorang pembeli warga Nigeria berusia 24 tahun berkata, beliau membeli sekitar 40 telefon terpakai dalam masa sehari di Shenzhen, bandar yang minggu ini menjadi tuan rumah kepada pemimpin Asia-Pasifik termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Harganya lebih mahal di Afrika kerana kami tidak mempunyai pembekal besar atau pasar seperti ini,” kata Mama kepada AFP. “Jika saya beli dan hantar ke negara saya, saya akan dapat keuntungan.”
Berhampiran dengannya, seorang lagi pembeli dari Nigeria sedang tawar-menawar dengan pemilik gerai.
Hasil borongannya termasuk model iPhone 13 Pro dan 14 Pro yang rosak pada harga 1,000 hingga 2,000 yuan (~RM660 hingga RM1,320) setiap satu.
Beliau merancang membaiki skrin peranti tersebut di sini sebelum menghantarnya pulang untuk dijual semula dengan keuntungan lumayan.
Baiki, bukan ganti
Secara khususnya, penduduk di pasaran sedang pesat membangun seperti Asia Selatan dan Afrika, yang mempunyai kuasa beli lebih rendah, kini beralih kepada model terpakai, kata penganalisis Counterpoint Research, Ivan Lam kepada AFP.
Pasaran telefon pintar terpakai global berkembang 13 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2026 kepada 150 juta unit, menurut Counterpoint.
Di Pakistan, orang ramai sering memilih untuk membaiki berbanding menggantikan peranti yang rosak, kata Muhammad, yang telah berulang-alik ke China sejak tahun 2007.
“Mungkin orang menggunakan satu telefon bimbit selama empat atau lima tahun. Tidak sama seperti di AS atau Eropah. Mereka tukar setiap tahun atau setiap enam bulan,” katanya.
Namun di luar gerai-gerai sesak Huaqiangbei, satu alternatif yang lebih tersusun mula bertapak: PaiJiTang Mall, sebuah pusat beli-belah barangan terpakai layan diri yang dikendalikan oleh syarikat kitar semula China, ATRenew.
Di dalamnya, deretan lebih 20,000 telefon terpakai dipamerkan.
Pembeli hanya perlu mengimbas kod QR untuk mendapatkan laporan pemeriksaan serta harga secara serta-merta, menguji unit berkenaan dan membelinya secara pukal.
Kedai itu menarik sehingga 1,000 pengunjung setiap hari, dengan peniaga antarabangsa membentuk kira-kira satu pertiga daripada jumlah tersebut, kata pengurus kedai, Zhang Xiaoming.
Abdul Rahim, seorang pekedai berusia 20 tahun yang terbang ke China sehingga tiga kali sebulan untuk menambah stok kedai telefon dan aksesorinya di Algeria, memanfaatkan jurang perbezaan harga sebanyak 100 hingga 120 euro (~RM485 hingga RM580) bagi setiap peranti.
“Sangat mudah untuk rakyat Algeria mendapatkan visa ke China. Anda serahkan dokumen dan dalam masa dua atau tiga hari anda sudah dapat visa dalam pasport,” katanya kepada AFP.
“Untuk ke Eropah, memang tiada visa… Jadi kami datang ke sini.”
‘Beli, beli, beli’
Peranti Apple menyumbang 70 hingga 80 peratus daripada jualan, manakala selebihnya terbahagi antara jenama China seperti Huawei, Xiaomi, Oppo dan Vivo, jelas Zhang.
Model lama seperti iPhone 11, 12 dan 13 yang semakin hilang taring berdepan telefon Android murah di China, masih mengekalkan kuasa jenama yang kukuh di luar negara, di mana ia mendapat “nyawa kedua”, terang Jeremy Ji, ketua strategi korporat dan perniagaan luar negara ATRenew.
Di hab pemprosesan mega milik ATRenew di Dongguan, utara Shenzhen, kira-kira 30,000 gajet terpakai tiba setiap hari dan diperiksa serta dibungkus oleh lebih 300 juruteknik.
Kenaikan harga turut mengubah tabiat pembelian di China sendiri apabila pengguna semakin memilih model terpakai, terutamanya model premium yang hampir baharu, kata Arthur Guo, penganalisis di IDC China.
Kebanyakan telefon yang dilupuskan di China masih dijual di pasaran domestik, dan eksport pukal melalui saluran rasmi tidak menunjukkan peningkatan ketara, kata Lam dari Counterpoint kepada AFP.
Bagi Mama, mencari bekalan telefon masih merupakan proses yang memerlukan penelitian sendiri.
“Jika saya datang, saya luangkan masa sebulan untuk memeriksa (telefon). Saya beli, beli, beli,” katanya. “Selepas selesai, saya pulang ke negara saya.”
– AFP
