Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
GTA 6

GTA VI Lebih Mencabar, Ini Antara Perubahan Utamanya

Diterbitkan November 19, 2026 oleh Amsyar Latif

Grand Theft Auto VI (GTA VI) kini rasmi dilancarkan untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X|S pada 19 November 2026. Pengalaman awal permainan menunjukkan Rockstar Games berusaha keras memenuhi jangkaan tinggi selepas lebih sedekad penantian.

AFP, yang berpeluang mencuba beberapa jam pertama GTA VI, menyifatkan permainan itu lebih besar, lebih berani dan lebih hidup berbanding siri sebelumnya.

Berlatarkan Leonida, negeri fiksyen yang diinspirasikan daripada Florida, GTA VI mengikuti kisah Jason dan Lucia, dua penjenayah kecil yang cuba naik dalam dunia jenayah Vice City.

Gaya ‘Cinematic’ Dan Permulaan Perlahan

Menurut AFP, Rockstar jelas mahu GTA VI terasa seperti filem. Pertemuan pertama Jason dan Lucia dipaparkan dalam jujukan tajuk gaya filem, lengkap dengan nama pembangun di skrin. Babak aksi awal pula diselitkan gerak perlahan dan sudut kamera dramatik ala filem blockbuster Hollywood.

Beberapa jam pertama memberi tumpuan kepada hubungan Jason dan Lucia. Ia bermula dengan pertemuan secara kebetulan ketika sekatan polis, sehinggalah satu rompakan gagal yang menyebabkan Lucia dipenjarakan. Kebanyakan cerita ini disampaikan melalui cut-scene yang panjang.

Selepas itu barulah pemain mengawal kehidupan harian Jason, bekas tentera yang kini melakukan kerja sambilan untuk kumpulan samseng tempatan. Antara tugasnya ialah mengambil bungkusan dadah yang digugurkan di laut, mencuri kereta dan mengutip hutang.

Dunia Lebih Hidup, Permainan Lebih Mencabar

AFP turut memuji tahap perincian GTA VI. Rambut watak bergerak ditiup angin, dan pergerakan watak kelihatan semula jadi. Dunia permainan yang luas juga boleh diterokai sehingga ke dasar laut dengan menyelam skuba.

Watak bukan pemain (NPC) menjalani kehidupan masing-masing tanpa bergantung kepada pemain. Perjalanan biasa merentasi bandar boleh berdepan sekatan trafik polis, kemalangan jalan raya atau rompakan di tepi pantai.

Dari segi permainan, GTA VI kini lebih mencabar. Kereta terasa lebih berat dan sukar dikawal, dan pemain perlu memantau tahap minyak. Pemain juga perlu memilih barang untuk disimpan di but kereta, menguruskan panggilan dan mesej, serta menggunakan aplikasi untuk mengenal pasti sasaran. Polis pula digambarkan lebih sukar untuk dilepaskan.

Walaupun begitu, formula asas GTA masih kekal: memandu dari satu misi ke misi lain, melakukan kerja meragukan dan mengumpul wang. Unsur humor juga masih ada menerusi dialog Jason dan Lucia serta watak sampingan seperti Cal Hampton, yang taasub dengan teori konspirasi.

Seperti siri terdahulu, GTA VI menawarkan lebih 20 stesen radio dengan muzik daripada Simple Minds, Daft Punk dan Van Halen. Kali ini Rockstar turut menambah podcast, termasuk siri gaya true crime mengenai Vice City.

Harga Di Malaysia

Di Malaysia, GTA VI dijual pada harga RM339 untuk Edisi Standard dan RM419 untuk Edisi Ultimate di PlayStation Store. Pemilik PS5 perlu menyediakan sekurang-kurangnya 212GB ruang storan, dan permainan ini tidak boleh dimainkan di PS4. – AFP

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Berkaitan

  • Percuma GTA VI Apabila Anda Beli Konsol PS5 Dengan Pelan CelcomDigi One
  • Selepas 13 Tahun, GTA VI Akhirnya Dilancarkan Dengan Ulasan Hampir Sempurna

Terbaru

  • Skor AnTuTu Xiaomi 18 Pro Max Melebihi 5 Juta
  • Curbie, Robot Tolak Tong Sampah Secara Automatik
  • Selepas 13 Tahun, GTA VI Akhirnya Dilancarkan Dengan Ulasan Hampir Sempurna
  • Google Perkenal Gemini 4 Neon, Kualiti Setanding Carbon Dengan Kos Tugasan 32% Lebih Rendah
  • Instagram Kini Benarkan Pengguna Edit 'Story' Selepas Dimuat Naik
  • Maklumat Mengenai Ujian Sistem Amaran Bencana Pada 19 November Adalah Palsu - MCMC
  • Malaysia Minta Penjelasan AS Berhubung Sekatan Cip AI, Siasat Dakwaan Eksport Semula - Johari
©2026 WISER.MY