Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

TM Berminat Sertai Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI

Posted on Ogos 21, 2026Ogos 21, 2026

Telekom Malaysia Berhad (TM) berminat untuk menyertai projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM), kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Amar Huzaimi Md Deris.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata TM optimis dalam menilai pilihan untuk meningkatkan kesalinghubungan di antara Malaysia Timur dengan Barat menerusi projek berkenaan.

“Kami optimis dalam menilai pilihan untuk menghubungkan Malaysia Timur dan Barat. Sudah tentu SALAM merupakan satu daripada projek yang kami berminat untuk sertai,” katanya kepada pemberita pada taklimat media mengenai keputusan suku kedua 2026 TM di sini hari ini.

Pada 16 Julai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjemput pemegang lesen yang layak untuk mengemukakan draf cadangan bagi inisiatif SALAM, sebuah projek strategik nasional di bawah rangka kerja Pemberian Perkhidmatan Sejagat.

Inisiatif SALAM akan mewujudkan sistem kabel dasar laut baharu yang menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak, merangkumi 10 Stesen Pendaratan Kabel yang dihubungkan melalui empat segmen kabel dasar laut, dengan jumlah panjang laluan dianggarkan sekitar 5,582 kilometer.

Sementara itu, Amar Huzaimi berkata kumpulan itu optimis terhadap prestasinya pada separuh kedua tahun ini dengan momentum positif yang dicatatkan menerusi ketiga-tiga segmen perniagaannya, iaitu Unifi, TM One dan TM Global, dijangka terus meningkat.

“Kami mencatatkan rekod yang baik pada tahun ini merentasi ketiga-tiga teras perniagaan. Unifi, TM One dan TM Global semuanya mencatatkan trajektori pertumbuhan yang positif dan kami menjangkakan momentum ini akan berterusan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Momentum positif Unifi turut dapat dilihat daripada peningkatan muat turun aplikasinya. Dalam maklumat yang dikongsikan TM Group, siaran Piala Dunia FIFA 2026 dilaporkan mendorong hampir 400,000 muat turun tambahan aplikasi Unifi TV.

Foto: TM Group

Gambar utama: TM

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress