Tips Elak Penipuan Menerusi Panggilan Telefon

Sejak kebelakangan ini, kerap kali kita mendengar laporan polis dibuat berkenaan penipuan dari panggilan telefon palsu.

Ramai mangsa penipuan tersebut terpedaya dengan taktik panggilan palsu yang menyamar sebagai pihak bank, pihak polis dan lain-lain.

Jenayah yang dikategorikan sebagai "telecommunication fraud" atau Macau Scam biasanya dijalankan dengan empat jenis modus operandi iaitu tipu culik dan minta wang tebusan, cabutan bertuah, penyamaran sebagai pegawai polis atau agensi kerajaan dan penyamaran sebagai pegawai dari Bank Negara Malaysia atau bank-bank yang lain.

Kebanyakkan panggilan dibuat menggunakan kaedah spoofing. Spoofing bermaksud pemanggil menggunakan platform voice over internet protocol (VoIP) dalam membuat panggilan dimana mereka akan meletakkan sebarang nombor telefon.

Apabila panggilan dibuat, mangsa akan terpedaya dan menyangka panggilan itu dibuat daripada nombor berkenaan walhal ia hanyalah taktik si penipu.

Berikutan masih kurangnya pemahaman terhadap kes-kes penipuan yang dibuat melalui panggilan telefon, Consumer Forum Malaysia (CFM) telah berkongsi tips yang boleh digunakan untuk mengelak dari terjerumus dalam penipuan tersebut.

  1. Jangan jawab panggilan daripada nombor luar negara yang tidak dikenali kecuali ia dari senarai kenalan anda.

  2. Jangan berikan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, kata laluan perbankan dalam talian, nombor kad kredit, atau nombor TAC kepada orang yang tidak dikenali. Sekiranya pemanggil bertanyakan maklumat kad debit/kredit dan perbankan dalam talian anda, segera tamatkan perbualan.

  3. Apabila mendapat panggilan daripada bank atau pihak berkuasa tentang isu undang-undang, minta serta catit maklumat pemanggil dan katakan padanya yang anda sibuk untuk meneruskan panggilan. Tenang dan jangan panik, dapatkan nombor telefon bank atau pihak berkuasa melalui laman web rasmi mereka di internet dan buat panggilan untuk mengesahkan maklumat yang anda perolehi tadi. Lebih elok sekiranya anda hadir sendiri ke pejabat mereka untuk mengesahkannya.

  4. Jangan muat turun sebarang aplikasi atau tekan apa-apa pautan yang diberikan pemanggil kerana dikhuatiri ia mengandungi perisian hasad atau perisian intip yang mampu mencuri data peribadi anda.

  5. Hubungi syarikat telco anda apabila terlalu kerap menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

  6. Pengguna boleh menggunakan aplikasi Truecaller untuk mengenalpasti atau menyekat nombor yang cuba menghubungi anda.


Sumber: CFM