Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

TikTok Meterai Usaha Sama Bagi Tamatkan Ancaman Larangan Di AS

Posted on Disember 19, 2025

TikTok memaklumkan pada Khamis bahawa ia telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan sekumpulan pelabur yang membolehkan syarikat itu mengekalkan operasinya di Amerika Syarikat serta mengelakkan ancaman larangan berikutan pemilikan China, lapor media AS.

Menurut memo dalaman yang dipetik oleh Bloomberg dan Axios, Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Chew, memberitahu kakitangan bahawa syarikat media sosial itu bersama pemiliknya dari China, ByteDance, telah bersetuju menubuhkan entiti baharu dengan Oracle, Silver Lake dan MGX yang berpangkalan di Abu Dhabi sebagai pelabur utama.

Pengerusi Eksekutif dan pengasas Oracle, Larry Ellison, merupakan sekutu lama Presiden AS, Donald Trump.

Chew berkata satu pertiga daripada usaha sama di AS itu akan dimiliki oleh pelabur sedia ada ByteDance, manakala hampir 20 peratus akan dikekalkan oleh ByteDance — iaitu had maksimum pemilikan yang dibenarkan kepada syarikat China di bawah undang-undang tersebut.

Struktur baharu TikTok ini adalah tindak balas kepada undang-undang yang diluluskan di bawah pentadbiran bekas Presiden Joe Biden, yang memaksa ByteDance menjual operasi TikTok di AS atau berdepan larangan di pasaran terbesarnya.

Penggubal dasar AS, termasuk Trump semasa penggal pertamanya, telah memberi amaran bahawa China boleh menggunakan TikTok untuk mengumpul data rakyat Amerika atau mempengaruhi mereka melalui algoritma canggihnya.

Trump berulang kali menangguhkan penguatkuasaan undang-undang itu melalui perintah eksekutif, dengan lanjutan terbaharu sehingga Januari.

Perjanjian tersebut sebahagian besarnya mengesahkan pengumuman White House pada September lalu bahawa satu usaha sama baharu telah dipersetujui dengan China dan memenuhi keperluan undang-undang 2024.

“Apabila perjanjian dimuktamadkan, usaha sama TikTok di AS akan beroperasi sebagai entiti bebas dengan kuasa penuh ke atas perlindungan data AS, keselamatan algoritma, moderasi kandungan dan jaminan perisian,” kata Chew dalam memo itu.

Sementara itu, entiti TikTok Global di AS akan mengurus kebolehoperasian produk global serta aktiviti komersial tertentu termasuk e-dagang, pengiklanan dan pemasaran.

Namun, memo tersebut tidak menjelaskan sama ada unit ini masih akan dimiliki oleh ByteDance.

Memo itu juga merupakan petunjuk pertama bahawa TikTok telah bersetuju dengan perjanjian yang diumumkan oleh pentadbiran Trump, yang memerlukan kelulusan kerajaan China untuk diteruskan.

Trump sebelum ini secara khusus menamakan Larry Ellison sebagai pemain utama dalam susunan perjanjian tersebut.

Ellison kembali menjadi tumpuan menerusi hubungannya dengan Trump, yang telah melibatkan rakan lamanya itu dalam beberapa perkongsian AI utama bersama OpenAI.

Ellison juga membiayai pengambilalihan Paramount oleh anaknya, David, serta terlibat dalam persaingan bidaan dengan Netflix untuk mengambil alih Warner Bros. – AFP.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress