Tesla kini yang sedang giat membangunkan robot humanoidnya, Optimus telah mengiklankan jawatan kosong membantu mengumpul data untuk melatih robot berkuasa AI yang direka untuk mengautomasikan kerja di kilang syarikat itu.
Mereka yang berjaya akan dibayar antara USD25.25 sejam (~RM110/jam) sehingga USD48 sejam (~RM209/jam).
Berdasarkan deskripsi skop kerja bagi jawatan Pengendali Pengumpulan Data, Bot Tesla (Syif Malam) di laman rasmi Tesla menyatakan, mereka sedang mengupah “pengendali pengumpulan data” untuk mengumpul maklumat pergerakan dan memberikan maklum balas peralatan pada robot Optimus.
Pekerja dikehendaki memakai sut tangkapan gerakan (motion capture) dan set kepala realiti maya untuk mensimulasikan pergerakan dan tindakan bot.
Mengikut penyenaraian pekerjaan, pemohon mesti boleh berjalan selama lebih tujuh jam sehari dan berketinggian antara 5’7″ dan 5’11” untuk mengendalikan sut tersebut.
Sebelum ini dalam bulan Mei yang lalu, Tesla telah berkongsikan video yang memaparkan berpuluh-puluh pekerja dilihat memakai sut lengkap tangkapan gerakan dan peralatan VR serta berdiri di samping robot Optimus.
Berdiri di atas tikar hitam di dalam bilik putih yang besar, para pekerja itu dilhat meniru mengangkat dan meletakkan item secara perlahan dan mekanikal.
Manakala robot Optimus menyelesaikan gerakan yang sama, tetapi dengan item sebenar di hadapan mereka. Di ruang yang sama, robot berlatih berjalan dan menyelesaikan tugas lain seperti melipat pakaian, tanpa ditemani oleh pekerja manusia.
https://x.com/Tesla_Optimus/status/1787027808436330505