(Kemaskini: Kit Ujian Palsu) Terima Bacaan Ujian Dalam Masa 30 Minit, MyEG Tawarkan Kit Ujian Covid-19 Dengan Harga RM99

Kemaskini 18/3/2020: KKM menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat mengenai kit ujian yang didakwa adalah berita palsu. Namun, masih tiada penjelasan lebih terperinci, sama ada kit ujian atau penjualan itu yang palsu. Sehingga kini, produk tersebut juga masih tidak dikeluarkan dari laman rasmi MyEG. 



MyEG Services Berhad telah memperkenalkan kit ujian rapid Covid-19 di Malaysia dan Filipina. Menurut MyEG, kit ujian ini dihasilkan oleh sebuah syarikat yang diluluskan pihak kesihatan China. Pengujian Covid-19 yang dilakukan dengan kit ini menggunakan kaedah pengesanan kualitatif wabak melalui sampel darah yang boleh diambil melalui jari.

Kit ujian darah ini direka untuk mengesan antibodi COVID-19 yang akan muncul dalam masa 3-7 hari jangkitan dan boleh digunakan sebagai pengesanan awal. MyEG turut menyatakan bacaan keputusan ujian ini boleh diterima dalam tempoh 30 minit.

 



Pada masa ini, myEG masih menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan kit ini dan tempahan boleh dilakukan melalui portal dalam talian MyEG. Kit ujian ini ditawarkan pada harga RM99 setiap satu, namun dijual secara pek dimana setiap pek mengandungi 10 kit ujian. Penghantaran akan dilakukan dalam tempoh 14 hari setelah bayaran penuh dilakukan.