Tayar sembuh sendiri inovasi pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Raa Khimi Shuib, telah berjaya dibuktikan menerusi sesi pandu uji ekstrem selama dua jam di Horizon Beranang Circuit bersama pelumba profesional negara.
Tayar yang dikenali sebagai JVR Self Heal Tyre adalah teknologi tayar motosikal kalis pancit berasaskan getah sembuh sendiri (self-healing rubber) yang diinspirasikan daripada mekanisme semulajadi pokok getah tempatan dengan pengadunan teknologi moden.

Projek ini turut mendapat sokongan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM3 juta, berserta kerjasama strategik industri dan Majlis Getah Malaysia (MRC).
Sebelum ini pada September lepas, Bahagian Penyelidikan & Inovasi USM juga telah pun memberi peluang kepada warga universiti tersebut menyertai Ujian Lapangan JVR Self Heal Tyre sebagai inisiatif membantu memajukan teknologi tayar tersebut, sekali gus menyumbang kepada pembangunan penyelesaian keselamatan yang lebih baik untuk komuniti penunggang motosikal di Malaysia.

Inovasi USM ini pernah merangkul anugerah utama pertandingan Tech Planter 2024 ini, malah turut diumumkan sebagai pemenang minggu keempat program Innovathon Musim Ke-2.
Dengan potensi pengkomersialan yang luas, JVR Self Heal Tyre dijangka mampu memperkukuh industri getah negara serta membawa teknologi tempatan ke pasaran global.
