INNOVATHON Musim 2, sebuah program realiti tv berteraskan sains, teknologi dan inovasi kini kembali di mana ia sudah pun bermula pada 30 November 2024.
Baru sahaja melepasi minggu ke-4, peserta yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Raa Khimi Shuib, pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM telah dinobatkan sebagai pemenang bagi minggu itu.
Memperkenalkan inovasi yang dikenali sebagai ’Puncture Proof Self Healing Tyre‘, inovasi ini menggunakan ‘self-healing rubber‘ yang diinspirasikan daripada mekanisme pokok getah Malaysia dan adaptasi teknologi moden – yang mampu menyembuhkan kebocoran pada tayar dengan segera.
Ia sekali gus menawarkan penyelesaian tayar motosikal yang kalis pancit dan kekal utuh walaupun tertusuk objek tajam seperti paku atau jalan berlubang.
Teknologi yang dibangunkan hampir 7 tahun oleh pasukan itu menawarkan kelebihan berikut:
- mampu menahan objek tajam semasa memandu dalam keadaan jalan yang berbeza
- menjimatkan kos alat ganti dan penjimatan bahan api
- boleh diguna pakai untuk semua jenis tayar kenderaan
Menurut pasukan itu, material yang dibangun berasaskan getah semula jadi dengan agen kuratif penyembuhan diri itu akan kembali pulih sendiri, menutup setiap ruang bocor yang ada dengan pantas.
“self-healing rubber boleh digunakan untuk tayar baharu atau dilekat pada lapisan dalam pada tayar sedia ada yang tidak memerlukan rim khas atau sistem pemantauan tekanan tayar”

Setiap episod ‘INNOVATHON’ Musim 2 menampilkan beberapa idea tetapi hanya satu atau dua idea terbaik akan dipilih untuk mara ke Pentas Akhir.
Pada peringkat ini, mereka akan bersaing untuk memenangi dana sokongan pembangunan perniagaan dengan nilai terkumpul sehingga RM1,000,000.00.
Lapan peserta untuk setiap episod akan memperkenalkan dan mempersembahkan idea mereka di hadapan 100 pengguna dan 5 juri professional termasuklah gandingan dua Menteri Kabinet Malaysia iaitu Menteri Ekonomi, YB Mohd Rafizi Ramli dan juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang sebagai juri tetap serta gandingan bersama juri selebriti Erra Fazira dan Zahirah MacWilson. Datuk Aznil Hj. Nawawi selaku Mentor Persembahan ‘INNOVATHON’.
Saksikan ‘INNOVATHON’ Musim 2 bermula 30 November 2024, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan saluran TV1 RTM. Strim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi AstroGO dan sooka untuk pilihan yang fleksibel.
{suggest}
Sumber: USM, Dr. Raa Khimi Shuib, Astro