Syarikat-Syarikat Telekomunikasi Berjanji Untuk Menambah Baik Perkhidmatan Kepada Pelanggan Mereka

Syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia mengumumkan komitmen mereka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini memaklumkan bahawa syarikat-syarikat utama penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia yang terdiri daripada Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, TIME dotcom Berhad, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd telah berjanji akan meningkatkan lagi perkhidmatan kepada pelanggan mereka.

Janji tersebut dibuat setelah Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif dan wakil-wakil dari syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut menandatangani perjanjian Ikrar Mengutamakan Pengguna yang telah berlangsung hari ini. Jadi, pengguna kini boleh yakin bahawa aduan-aduan yang dibawa mereka kepada syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut kini akan diteliti secara menyeluruh.

Ketika ini, semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia perlu mematuhi peruntukan seperti yang ditetapkan dalam Kod Pengguna Am (GCC) yang menyatakan bahawa 90% daripada aduan yang diterima hendaklah diselesaikan dalam tempoh 15 hari bekerja dan 95% daripada aduan yang diterima pula hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari bekerja.

Maka, ikrar janji terbaru yang dibuat hari ini adalah bagi memperkukuhkan lagi mandat yang diberikan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut supaya mereka mematuhi peruntukan-peruntukan yang ditetapkan dalam Kod Pengguna Am itu.

Malah garis panduan yang tersedia ada di dalam kod itu juga akan turut dipertingkatkan di mana semua aduan yang diterima hendaklah diselesaikan dalam tempoh 3 hari bekerja sahaja bagi aduan yang kurang kompleks. Manakala aduan yang lebih kompleks perlulah diselesaikan dalam tempoh 15 hari bekerja.

Kapsyen: Selain itu, Kod Pengguna Am juga akan mengetatkan perlindungan terhadap pengguna berkaitan iklan-iklan yang dipaparkan oleh syarikat telekomunikasi bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pengguna. Gambar sekadar hiasan.


Penambahbaikan terhadap perkhidmatan ini dijangka akan mula berkuat kuasa menjelang akhir suku tahun 2019.

Menurut kutipan data Indeks Kepuasan Pelanggan yang dijalankan oleh SKMM pada tahun lepas, indeks kepuasan pengguna terhadap penyedia perkhidmatan telekomunikasi Di Malaysia adalah pada tahap 4.00 daripada 5.

Oleh itu, SKMM mensasarkan peningkatan kepuasan pengguna setelah penambahbaikan telah dilaksanakan sepenuhnya nanti akan meningkat pada tahap 4.30 daripada 5.

Indeks kutipan data oleh SKMM ini diukur melalui kaji selidik kepuasan pelanggan yang dilakukan secara tahunan yang merangkumi aspek-aspek kepuasan pelanggan dalam kualiti perkhidmatan seperti kualiti perkhidmatan rangkaian, produk, bil dan pelanggan.