Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Spotify Investor Day 2026 Morning Presentation

Spotify Dan Universal Kini Benarkan Peminat Hasilkan Remix AI Secara Sah

Diterbitkan Mei 22, 2026 · Dikemas kini Mei 22, 2026 oleh ariff bukhari

Spotify bekerjasama dengan Universal Music Group (UMG) untuk membolehkan pengguna menghasilkan remix dan lagu cover berasaskan kecerdasan buatan (AI) menggunakan lagu artis di bawah label tersebut — dengan bayaran tambahan selain langganan standard.

Ciri baharu yang diumumkan pada Khamis itu hanya melibatkan artis yang memberikan persetujuan, manakala penyanyi asal serta penulis lagu akan menerima bahagian daripada hasil pendapatan yang dijana.

“Buat pertama kali, peminat boleh menghasilkan cover dan remix secara sah daripada katalog artis dan penulis lagu yang mengambil bahagian, dengan kedua-dua pihak berkongsi nilai yang diwujudkan,” kata Ketua Muzik Spotify, Charlie Hellman, ketika hari pelabur syarikat itu.

Sehingga kini, Spotify melarang muzik AI yang dihasilkan daripada karya artis tertentu tanpa kebenaran jelas, walaupun platform itu membenarkan muat naik muzik AI secara lebih meluas termasuk kandungan yang dikaitkan dengan artis yang imej dan identitinya dijana menggunakan AI.

Perjanjian tersebut meletakkan Spotify dalam persaingan langsung dengan Suno dan Udio, dua aplikasi muzik AI dominan yang sedang berkembang pesat.

Selepas pada awalnya membenarkan pengguna mencipta muzik AI tanpa perjanjian bersama artis atau label, kedua-dua syarikat pemula itu mengubah pendekatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Udio telah memeterai perjanjian dengan Universal Music Group dan Warner Music Group, manakala Warner turut mencapai persetujuan dengan Suno.

Bagaimanapun, UMG dan Sony masih terlibat dalam tindakan undang-undang terhadap Suno yang sedang berlangsung di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat di Massachusetts.

Hellman berkata ciri baharu itu akan memberi artis dan penulis lagu “sumber pendapatan baharu” selain hasil sedia ada mereka di Spotify.

Ketua Pegawai Eksekutif UMG, Lucian Grainge, menyifatkan inisiatif itu sebagai “benar-benar berteraskan artis dan diasaskan kepada AI yang bertanggungjawab”, selain mampu merangsang pertumbuhan seluruh ekosistem muzik.

Spotify turut mengumumkan bahawa pelanggan berbayar akan menerima akses awal untuk membeli tiket konsert artis kegemaran sebelum jualan umum dibuka.

Perkhidmatan baharu dikenali sebagai “Reserved” itu akan dilancarkan di Amerika Syarikat pada musim panas ini sebelum diperluaskan ke pasaran lain.

Pelanggan akan dipilih berdasarkan data pendengaran termasuk kekerapan menstrim artis tertentu, jumlah variasi lagu yang dimainkan serta sama ada lagu disimpan dalam pustaka mereka.

Spotify berkata inisiatif itu membantu memastikan tiket sampai kepada peminat sebenar dan bukannya bot pembeli semula yang sering menimbulkan masalah kepada peminat dan artis. – AFP.

https://x.com/Spotify/status/2057480702611128796?s=20

Berkaitan

  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • Keuntungan Spotify Meningkat, Kini Miliki 761 Juta Pengguna Aktif Setiap Bulan
  • Google Workspace Terima Rekaan Logo Baru, Langganan Serendah RM14.60/bulan

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • MyDigital ID Nafi Guna Teknologi Blockchain Pihak Ketiga
  • HONOR 600S 5G Kini Dijual Di Malaysia, Bateri 8,100mAh Pada Harga RM1,299
  • CMF Perkenal Speaker S Dan Speaker M, Bateri Sehingga 18 Jam
  • COROS PACE 4 Pro Dilancar 21 Oktober Ini, Skrin Lebih Besar, Bateri Tahan Lama
  • Pengguna Nothing Mula Terima Kemas Kini Nothing OS 5.0
  • Pengguna WhatsApp Kelak Boleh Kongsi, Cipta 'Sticker' Berbunyi
  • Microsoft Perkenal Maia 300 Dengan Memori HBM4 288GB
  • Microsoft Mula Guna Cip AI Sendiri Dalam Pusat Data, Perlu Tenaga Setara Beberapa Loji Nuklear
©2026 WISER.MY