Spesifikasi Pixel 4a 5G Didedahkan - Berkongsi Cip Dan Kamera Yang Sama Seperti Pixel 5

Google menjadualkan acara pelancaran Pixel 5, Pixel 4a 5G dan pelbagai lagi peranti akan berlangsung pada 30 September ini. Menjelang pelancaran, spesifikasi penuh Google Pixel 5 telah pun didedahkan sebelum ini.

Terbaru, spesifikasi Pixel 4a 5G pula diperlihatkan melalui laman WinFuture. Sama seperti Pixel 4a, ia merupakan peranti kelas pertengahan dengan bahan binaan plastik polikarbonat bagi menjimatkan kos pembuatan.

Pixel 4a 5G mempunyai skrin paparan lebih besar dengan saiz 6.2 inci OLED dan resolusi Full HD+. Berbanding Pixel 5, telefon pintar ini hanya mempunyai perlindungan Gorilla Glass 3 serta dijana cip Snapdragon 765G yang hanya dipadankan dengan RAM 6GB.



Ia hadir dengan sokongan HDR dan imbasan cap jari di bahagian belakang. Terdapat cip sekuriti Titan M untuk ciri keselamatan dan juga penyulitan data.

Untuk kamera, sama sahaja seperti yang dimuatkan pada Pixel 5. Ia menggunakan tetapan kamera dengan 12.2MP utama dan 16MP sudut lebar. Kamera swafoto pula dimuatkan dengan sensor 8MP. Peranti ini turut mempunyai kemampuan merekod pada 1080p 240fps atau 4K 60fps manakala swafoto pula sehingga 1080p 30fps.

Antara lain-lain yang dimuatkan pada Pixel 4a 5G adalah Android 11, penarafan IP68, bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo serta pengecasan pantas 18W menerusi port USB-C. Peranti ini hanya dilengkapi bateri berkapasiti 3885mAh.

Untuk maklumat lebih rasmi mengenai peranti Pixel 4a 5G yang akan diumumkan bersama Pixel 5, nantikan acara pelancaran pada 30 September ini.

Sumber: WinFuture