Sepatutnya Pixel 4a diumumkan pada bulan Mei lalu, namun disebabkan perkara seperti Covid-19, ia dilewatkan beberapa bulan sehinggalah malam ini.

Ia diperkenalkan secara senyap dan tanpa acara rasmi seperti mana peranti seperti Pixel 3a, ataupun Pixel 4.

Google Pixel 4a merupakan peranti kelas pertengahan dengan bahan binaan plastik polikarbonat untuk menjimatkan kos pembuatan.

Dari segi paparan, ia mempunyai 5.81 inci OLED FHD dengan bezel minimal yang nipis dan juga dilengkapi dengan kamera punch-hole bersaiz 8MP.

IKLAN

Di dalamnya, ia dijana cip Snapdragon 730G dipadankan dengan 6GB RAM. Terdapat juga cip sekuriti Titan M untuk keselamatan yang turut terdapat pada peranti Pixel lain.

Antara tarikan utama peranti adalah kamera tunggal 12MP yang menawarkan kualiti setaraf Pixel 4 yang lebih mahal. Ia dilengkapi OIS, apertur f/1.7 dan dimuatkan juga Night Sight dan mod potret.

Storan juga mengejutkan agak besar kerana ia bersaiz 128GB, bukannya 64GB seperti kebanyakan peranti pada kelasnya.

Bateri bukanlah yang terbesar dengan 3,140mAh, namun dipadankan dengan cip kurang tenaga dan skrin kecil, sudah tentu ia tiada masalah untuk bertahan lama. Untuk pengecasan pantas, ia hanya berkelajuan 18W melalui USB-C.

Copy of Pixel 4a (Front & Back) (2).jpg

Tiada pengecasan tanpa wayar dan ia adalah dijangka berikutan harga jualannya. Terdapat juga bicu audio 3.5mm serta pembesar suara stereo.

Pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian secara tradisional dan tidak mengikuti trend pada bahagian paparan.

Peranti masih lagi menjalankan Android 10, bukan Android 11 seperti yang diharapkan. Namun sebagai peranti Google, sudah tentu ia akan menerima kemaskini lebih pantas dalam jangka masa 3 tahun.

Google hanya menawarkan satu varian sahaja untuk Pixel 4a iaitu warna hitam/128GB. Tiada Pixel 4a versi XL untuk tahun ini.

Namun, yang paling menarik mengenai peranti adalah harga jualan yang agak rendah 349 USD (~RM1,474), meletakkannya sebagai pesaing terdekat untuk iPhone SE dan juga OnePlus Nord.

Buat masa ini, ia hanya ditawarkan di A.S, Kanada, UK, Ireland, Jerman, Jepun, Italy, SIngapura, Taiwan dan juga Australia.

Sumber: Google