Sebuah mahkamah Britain pada Selasa menolak saman tindakan kelas yang menuntut ganti rugi hampir £2 bilion (~ RM10.82 bilion) daripada Sony selepas gergasi teknologi Jepun itu didakwa mengenakan caj berlebihan kepada pengguna PlayStation di United Kingdom (UK) bagi permainan digital.
Menurut penghakiman tersebut, pihak plaintif yang diwakili pakar hak pengguna, Alex Neill, gagal meyakinkan Tribunal Rayuan Persaingan London “bahawa Sony menguasai mana-mana pasaran yang berkaitan”.
Tribunal itu turut mendapati pihak plaintif gagal membuktikan bahawa kumpulan hiburan berkenaan terlibat dalam dakwaan salah laku antipersaingan.
“Kami kecewa dengan keputusan Tribunal ini,” kata Neill dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa beliau akan mempertimbangkan sama ada untuk mengemukakan rayuan.
“Kes ini mengambil masa lima tahun untuk dibangunkan dan membangkitkan persoalan penting bagi pihak 12 juta pengguna di UK,” ujar Neill.
“Kami berhujah bahawa pengguna PlayStation dikenakan caj berlebihan untuk permainan digital dan kandungan tambahan kerana mereka secara efektifnya terkunci dalam ekosistem digital Sony.”
Pihak penuntut pada permulaan perbicaraan Mac lalu mendakwa Sony telah mengetepikan persaingan dan mengenakan caj melampau ke atas permainan digital yang dijual menerusi PlayStation Store selama hampir sedekad.
“Keputusan ini mengesahkan model perniagaan Sony Interactive Entertainment,” kata Naib Presiden Kanan dan Penasihat Am SIE, Stephanie Burns dalam satu kenyataan pada Selasa.
– AFP
