Google kini menawarkan aplikasi Google Wallet kepada pengguna iOS di Amerika Syarikat (AS), membolehkan pelbagai kad dan maklumat digital disimpan serta diurus dalam satu aplikasi.
Bagaimanapun, Google memaklumkan fungsi pembayaran tanpa sentuh yang tersedia pada Google Wallet untuk Android masih belum ditawarkan pada versi iOS buat masa ini. Sebaliknya, pengguna boleh menyimpan kad pembayaran untuk memudahkan transaksi dalam talian menerusi perkhidmatan Google dan platform yang menerima Google Pay.
Aplikasi itu turut diselaraskan dengan Gmail dan perkhidmatan Google lain bagi memudahkan pengguna menjejak penghantaran bungkusan, selain menyimpan tiket konsert, pas masuk penerbangan dan resit dalam satu tempat.
Selain itu, pengguna juga boleh mendigitalkan kad ganjaran dan kad keahlian dengan mengimbas kad fizikal menggunakan kamera iPhone. Maklumat kad berkenaan kemudiannya boleh diakses terus melalui aplikasi tanpa perlu membawa kad fizikal.
Google Wallet is now available on iOS in the U.S., making managing your everyday credentials and passes simpler. With Google Wallet on iOS, you can:
💳 Digitize your physical cards
🔒 Securely manage payments
💎 Stay in control of purchases made with @GeminiApp pic.twitter.com/m3LfTsQygU— News from Google (@NewsFromGoogle) November 17, 2026
Walaupun menawarkan beberapa fungsi yang turut tersedia pada Apple Wallet, ketiadaan sokongan tap-to-pay menjadi batasan utama Google Wallet pada iPhone. Ini bermakna pengguna masih perlu menggunakan Apple Pay untuk membuat pembayaran tanpa sentuh di terminal pembayaran.
Buat masa ini, Google hanya mengumumkan ketersediaan Google Wallet untuk pengguna iOS di AS.
