Gergasi cip Amerika Syarikat (AS), NVIDIA pada Selasa menolak kemungkinan bekas CEO Jensen Huang akan kembali menerajui syarikat itu.
Huang sebelum ini menyatakan hasrat untuk kembali memegang jawatannya selepasmeletakkan jawatan minggu lalu susulan hubungan sulit dengan seorang wanita yang didakwa sebagai perisik China. Namun, penggantinya yang juga CEO interim, Colette Kress, berkata syarikat kini kembali menjalankan operasi seperti biasa sambil merancang hala tuju seterusnya tanpa beliau.
“..Lembaga pengarah NVIDIA sebulat suara menerima peletakan jawatannya dan tidak berhasrat untuk melantik semula Jensen sebagai CEO,” kata Harvey Jones, pengerusi lembaga pengarah syarikat itu, dalam panggilan persidangan hasil kewangan Q3 2026.
Pelabur meneliti keputusan kewangan positif itu bagi mencari petunjuk sama ada lonjakan industri kecerdasan buatan (AI) mampu bertahan meskipun NVIDIA sedang berdepan krisis yang mendedahkan satu kelompangan peraturan yang didakwa dieksploitasi oleh syarikat-syarikat China.
“Momentum kami adalah nyata. NVIDIA merupakan peneraju teknologi yang luar biasa, didorong oleh inovasi berterusan daripada warga kerja kami,” kata Kress dalam kenyataan pertamanya sejak dilantik oleh lembaga pengarah minggu lalu.
Beliau meramalkan pertumbuhan hasil yang lebih kukuh sebanyak 75% pada tahun kewangan akan datang, berbanding 70% sebelum ini.
Usaha Huang untuk mendapatkan semula jawatannya pada Selasa merupakan perkembangan terbaharu bagi syarikat yang berada di tengah-tengah lonjakan AI, yang telah melonjakkan pasaran ke paras tertinggi dan merancakkan pertumbuhan ekonomi global.
Pergolakan baru-baru ini telah memberi kesan besar kepada saham NVIDIA. Syarikat itu kehilangan AS$700 bilion daripada nilai pasarannya sejak skandal berkenaan terbongkar. Huang juga dijadualkan disoal oleh anggota penggubal undang-undang AS pada 1 Disember berhubung kebimbangan keselamatan negara.
Huang, yang terkenal sebagai tokoh berpengaruh dalam mempromosikan teknologi AI, mencetuskan desakan agar beliau kembali menerajui syarikat sebaik sahaja peletakan jawatannya diketahui. Desakan itu turut disuarakan Elon Musk dan beberapa pihak lain. Malah, Presiden Donald Trump berkata beliau “tidak kisah” sekiranya Huang kembali ke NVIDIA, sambil memperkecilkan dakwaan pengintipan tersebut.
Pertikaian Berhubung Cip AI
“Sejak saya berundur, saya menerima banyak seruan daripada pekerja, pelabur, rakan kongsi perniagaan dan pelanggan NVIDIA yang mahu saya kembali sebagai CEO,” kata Huang beberapa jam sebelum keputusan kewangan diumumkan.
“Jika Lembaga Pengarah memutuskan bahawa kepulangan saya adalah demi kepentingan terbaik para pemegang saham, pekerja, syarikat dan Amerika, saya berbesar hati untuk menyahut seruan ini dan kembali sebagai CEO”.
Over the past week, I’ve been overwhelmed by the love and support of friends, industry colleagues, and people I've never met. Thank you to everyone who has shown kindness to my family and me. It means the world to me.
I came to the United States 53 years ago, and becoming an…
— Jensen Huang (@JensenHuang) November 17, 2026
Ketika skandal pengintipan semakin mendapat perhatian, Washington pada Isnin mengumumkan sekatan baharu terhadap eksport cip AI, sekali gus mencetuskan bantahan daripada Beijing.
Sekatan eksport baharu AS itu serta skandal lebih besar yang melibatkan NVIDIA berisiko membayangi rundingan antara Trump dengan Presiden China, Xi Jinping, sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang bermula minggu ini di Shenzhen, China.
Di bawah peraturan baharu Washington, pusat data di seluruh dunia perlu mendapatkan lesen AS sekiranya mahu menyediakan kapasiti pengkomputeran berskala besar menggunakan cip canggih kepada syarikat yang beribu pejabat di China, Macau atau negara lain yang tertakluk kepada sekatan senjata AS.
Peraturan itu turut mewajibkan lesen bagi penghantaran cip canggih ke Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia dan Brazil. Menurut Jabatan Perdagangan AS, negara-negara berkenaan mempunyai “risiko pengalihan cip yang lebih tinggi daripada kebiasaan”.
Perubahan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap satu kelompangan peraturan yang membolehkan syarikat China menyewa kuasa pengkomputeran AI daripada pusat data di Asia Tenggara dan beberapa lokasi lain yang menggunakan perkakasan AS, yang tidak boleh dieksport terus ke China.
Berbalik kepada konteks, pelabur kini memerhatikan sama ada Kress akan memperlahankan strategi pelaburan agresif Huang, yang sebelum ini menyaksikan beliau komited untuk melaburkan puluhan bilion dolar dalam syarikat-syarikat AI. – AFP
