Pemegang kad Public Bank kini boleh menggunakan Apple Pay untuk membuat pembayaran menggunakan iPhone, Apple Watch dan peranti Apple lain yang serasi.
Menurut Public Bank, semua kad Public Bank dan Public Islamic Bank menyokong Apple Pay, kecuali PB-AIA Visa Gold Credit Card, PB Visa Commercial Card, PB Visa Business Card dan PB UnionPay Lifestyle Debit Card.
Kad yang layak boleh ditambahkan ke Apple Wallet untuk membuat pembayaran tanpa sentuh di kedai. Pengguna juga boleh menggunakannya untuk membuat pembayaran dalam aplikasi dan laman web yang menerima Apple Pay.
Cara tambah kad Public Bank ke Apple Pay
Untuk menambahkan kad, pengguna hanya perlu membuka aplikasi Apple Wallet pada iPhone, tekan ikon tambah (+) dan pilih “Debit or Credit Card”. Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menambahkan kad dengan mendekatkannya pada iPhone. Kemudian, ikuti arahan pada skrin untuk melengkapkan proses penambahan kad.
Selain itu, kad juga boleh ditambah melalui aplikasi MyPB dengan memilih pilihan “Apple Pay” di halaman utama dan melengkapkan proses pengesahan.
Setelah kad berjaya ditambahkan, pengguna boleh menggunakannya untuk membuat pembayaran di kedai yang menerima Apple Pay. Caranya, pastikan terminal pembayaran mempunyai simbol pembayaran tanpa sentuh sebelum membuat transaksi.
Untuk maklumat lanjut mengenai sokongan Apple Pay, layari laman rasmi Public Bank atau rujuk Soalan Lazim (FAQ) Apple Pay untuk kad PB/PIB.
