Sonos Era 300 Yang Sokong Spatial Audio Apple Music Masuk Malaysia, Turut Dijual Ialah Era 100

Sonos melancarkan 2 pembesar suara baharu iaitu Era 300 dan Era 100 dan akan mula dijual seluruh dunia termasuk Malaysia bermula 28 Mac 2023.

Pratempahan sudah pun dibuka melalui laman web TCA Acoustic Asia dan Sonos Concept Store di Starhill, Bukit Bintang.

Kedua-duanya tersedia dalam warna hitam dan putih, boleh disambungkan dengan Wi-Fi 6, Bluetooth 5.0, Apple AirPlay 2.0, dan USB-C.

Dengan ciri Trueplay yang diaktifkan di aplikasi Sonos, peranti akan mengimbas ruang atau bilik untuk menyelaraskan talaan audio.

Era 300




Ia hadir dengan 6 pemacu (driver) yang mengeluarkan bunyi ke atas, bawah, sisi kiri dan kanan serta depan dan belakang, memenuhi ciri audio ruangan (spatial) yang kini semakin diterapkan dalam pasaran.

Menariknya, Era 300 antara yang menyokong Spatial Audio daripada Apple Music selain Arc dan Beam (Gen 2).



Jika anda rasa rekaannya sedikit unik daripada pembesar suara biasa, ia sebenarnya menggunkan konsep reka bentuk hourglass atau jam pasir.



Selain itu, peranti audio ini juga boleh digabungkan dengan 2 pembesar suara Sonos Arc atau Beam (Gen 2) untuk pengalaman Dolby Atmos yang lebih memuaskan terutamanya ketika menonton filem di rumah.

Harganya ialah RM2,799.

Era 100




Model ini sebenarnya penerus legasi Sonos One yang laris sebelum ini.

Dalam kenyataan Sonos, model ini tidak tersenarai antara yang menyokong Spatial Audio Apple Music.

Apa yang ditawarkannya ialah pembesar suara dalam saiz kecil tetapi berkuasa yang mengandungi 2 tweeter bersama midwooder yang lebih besar.



Dengan tubuh kompak itu, ia sesuai diletakkan di pelbagai tempat dan digunakan dalam banyak situasi seperti di dapur, rak buku, meja kecil dan lain-lain.

Kalau anda tidak puas dengan satu unit, boleh gunakan 2 unit bersama untuk cipta sistem stereo.

Pembesar suara Era 100 ini dijual pada harga RM1,599.

Sumber: Siaran Akhbar SONOS

Berkaitan