Dalam kalangan pengikut teknologi, nama Prism+ semakin terkenal di Malaysia disebabkan gaya pemasarannya yang agak agresif. Di Wiser, kami berkesempatan menggunakan soundbar Prism+ Symphony selama beberapa minggu.
Unit pembesar suara ini hadir dengan 2 unit, satunya boleh soundbar, satu lagi unit subwoofer tanpa wayar. Kuasanya setinggi 760W.
Apabila dihidupkan, kedua-duanya secara automatik akan terhubung. Tinggal disambung pada peranti seperti telefon atau TV saja.
Rekaan
Untuk unit soundbar, ia agak panjang dan mungkin banyak pengguna akan garu kepala untuk letakkannya di mana. Pun begitu, dari segi lebarnya tidak menjadi masalah.
Dari segi estetik, ia akan nampak sesuai jika anda dipadankan dengan TV atau monitor bersaiz 60″ dan lebih besar. Kalau skrin anda seperti bawah 55″, akan nampak sedikit tidak sesuai kerana soundbar akan kelihatan lebih besar.
Selain soundbar, anda juga perlu cari ruang untuk letakkan subwoofer yang agak besar. Namun, mengubah kedudukannya tidaklah sukar kerana ia tidak berat.
Oh ya, dalam jeriji besi di hadapan, ada paparan yang memberitahu jika soundbar dihidupkan, tahap kelantangan, tahap bes dan treble serta mod audio.
Ia menambah rasa ‘cool’ dan kontemporari, sesuai dengan bilik dengan rekaan moden atau minimalisme.
Sambungan
Kami menggunakan Bluetooth untuk menyambungnya dengan TV. Pilihan lain tersedia ialah HDMI, HDMI eARC, coaxial, optikal, USB dan AUX.
Sedikit malang, anda tidak dibekalkan dengan kabel optik dalam kotak.
Menariknya, peranti audio ini hadir dengan alat kawalan jauh atau nama popularnya ‘remote control’. Bukan hanya kelantangan, tapi juga anda boleh laraskan tahap bass dan treble.
Anda boleh turunkan hingga -5 dan tingkatkan sehingga +5 untuk kedua-dua bass dan treble. Seperti peminat muzik lain, saya selalu naikkan bass pada +3 manakala kekalkan treble pada 0.
Disebabkan saya cubanya di tingkat atas, maka bass pada tahap +3 sudah cukup atas nama privasi dan supaya tidak mengganggu warga Wiser lain di tingkat bawah.
Binaan
Saluran 5.1.2 menjadi pilihan seni bina Prism+ untuk pada set pembesar suara ini.
Unit soundbar mempunyai 4 lubang menghala ke depan, 4 lubang menghala ke atas dan 2 lubang di sisi masing-masing kiri dan kanan.
Untuk unit subwoofer pula, ia menghala ke bawah dengan saiz driver 8 inci.
Pada bahagian atas, ada butang main, henti, laras suara, mod, bass, treble. Ia adalah butang fizikal dengan getah dan selesa digunakan.
Secara peribadi, ia agak sukar untuk saya padankan dengan TV di rumah kerana saiz soundbar yang lebih panjang daripada dimensi TV dan sebiji kotak subwoofer yang agak besar.
Ia akan kelihatan tidak simetri jika anda tidak cukup alat/aksesori lain untuk seimbangkan susunannya.
Kualiti audio
Pertama sekali, anda harus tahu ia menyokong Dolby Atmos, Dolby Plus, Dolby Digital, Dolby TrueHD, 360 darjah, audio 3D, “berseni bina” saluran 5.1.2 dengan puncak kuasa setinggi 760W.
Justeru, pengguna sememangnya mempunyai jangkaan tertentu.
Setelah berminggu-minggu dipautkan dengan TV di markas Wiser, saya dapat simpulkan audio yang terbit daripada lubang-lubang pembesar suara ini memuaskan hati saya terutama dari segi bes (bass).
Besnya tidaklah sempurna kerana ia agak ‘berselerak’ dan tidak cukup ‘tight’. Dari segi ‘clarity’ pun ia tidaklah sebagus jenama seperti Sonos tapi sudah cukup untuk pendengar biasa.
Tapi dari segi kelantangan dan secara keseluruhannya, memuaskan. Untuk penggunaan biasa dan bagi mereka yang bukan audiophile, ia memang pastinya sudah cukup rencah.
Suara yang keluar jelas, lantang dan tidak pecah walaupun pada kelantangan maksimum. Namun, yang saya gemar tentangnya ialah tahap bes yang dijananya hasil bantuan subwoofer dibekalkan.
Berdentum, bergendang markas Wiser seandainya dibuka dengan kelantangan maksimum bersama tahap bes +5.
Selain itu, antara kelebihannya ialah kebolehan pengguna untuk laraskan tahap bes dan treble, pilih mod seperti Movie, Music, News.
Lebih menarik, semuanya boleh dilakukan dengan alat kawalan jauh.
Kesimpulan
Saya sangat berpuas hati dengan kualiti audio dikeluarkan corong-corong pembesar suara ini, tambh-tambah dengan lagu yang mempunyai bes yang dalam.
Dengan wireless subwoofer disertakan, sedikit sebanyak terasa seperti di pawagam apabila bass berdentum ke lantai.
Kehadiran alat kawalan jauh menambahkan pengalaman bagus menggunakannya.
Kekurangannya dari segi rekaan kerana unit soundbar agak panjang. Ia sesuai untuk TV bersaiz 55 inci dan ke atas.
Kemudian, untuk kedudukan unit subwoofer juga mungkin akan menjadi dilema kecil untuk mereka yang agak sensitif dengan pandangan sekitar berdekatan TV.
Menurut Prism+, harga asalnya RM4,399, namun kini dijual pada harga RM1,999. Namun, saya yakin ia hanya taktik pemasaran mereka kerana ia agak mustahil harga asalnya lebih RM4,000.
Namun untuk RM1,999, saya boleh katakan Symphony ini terlalu mahal. Dengan sekitar RM2,000, banyak lagi soundbar dan kelengkapan audio lain yang boleh tawarkan kualiti yang lebih bagus.
Betul, saya seronok menggunakannya kerana ia sudah cukup untuk penggunaan harian namun tidak akan berbelanja sehingga RM1,999 untuk model ini.
Itu saja ulasan kami sepanjang menggunakan Prism+ Symphony.
Kalau anda berminat, dapatkan spesifikasi terperinci di SINI terlebih dulu sebelum membelinya melalui pautan di bawah.
Beli di Shopee – https://invl.io/clfo5l5
Beli untuk beli di Lazada – https://invol.co/clfo5lg