Nubia telah memperkenalkan dua model terbaharu dalam siri telefon gaming mereka, RedMagic 11 Pro dan RedMagic 11 Pro+, di pasaran China. Kedua-dua peranti ini menumpukan kepada prestasi tinggi dengan sistem penyejukan yang dipertingkat bagi kegunaan permainan intensif.
Kedua-dua model dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama cip R4 yang dibangunkan sendiri oleh Nubia untuk mengoptimumkan prestasi grafik. Ia dilengkapi sehingga 24GB RAM LPDDR5T dan storan UFS 4.1 Pro sehingga 1TB.
RedMagic 11 Pro dan 11 Pro+ menggunakan paparan BOE X10 AMOLED bersaiz 6.85 inci dengan resolusi 1.5K dan kadar segar semula 144Hz. Kamera hadapan 16MP diletakkan di bawah skrin, manakala pengimbas cap jari ultrasonik 3D turut disertakan. Skrinnya menawarkan nisbah skrin-ke-badan 95.3 peratus dengan bezel setipis 1.25mm.
Bagi sistem penyejukan, kedua-duanya mempunyai kipas aktif terbina dalam dan liquid metal VC chamber, sementara RedMagic 11 Pro+ turut dilengkapi pulsating water cooling engine untuk penyejukan tambahan. Sistem ini direka untuk mengekalkan suhu peranti pada tahap optimum semasa bermain permainan atau menjalankan aplikasi berat.
Dari segi bateri, RedMagic 11 Pro hadir dengan kapasiti 8,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 80W, manakala RedMagic 11 Pro+ menampilkan bateri 7,500mAh dengan pengecasan berwayar 120W serta tanpa wayar 80W. Kedua-dua model menampilkan kamera utama 50MP dan kamera ultralebar 50MP, dengan kamera hadapan 16MP di bawah skrin.
Antara ciri tambahan lain termasuk butang bahu sensitif 520Hz, Wi-Fi 7, NFC, bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo, dan penarafan kalis air IPX8. Kedua-duanya menjalankan RedMagic OS 11 berasaskan Android.
Harga RedMagic 11 Pro di China bermula dari CNY 4,999 (~RM2,963), manakala RedMagic 11 Pro+ dijual bermula CNY 5,699 (~RM3,378). Menurut laporan, pelancaran global untuk model ini akan diumumkan dalam masa terdekat.
{suggest}