Google secara rasmi memperkenalkan Pixel 11, Pixel 11 Pro dan Pixel 11 Pro XL, yang menjadi tiga model utama dalam siri terbaharunya. Siri ini membawa peningkatan pada beberapa aspek utama, termasuk prestasi, ciri kecerdasan buatan berasaskan Gemini serta keupayaan kamera dan video yang lebih tinggi pada model Pro.
Ketiga-tiga model menggunakan cip Google Tensor G6 dan dilancarkan dengan Android 17. Pengalaman penggunaan pula diperkukuh dengan Gemini Intelligence, Gemini Nano, Gemini Live, aplikasi Gemini dan Magic Cue, yang menjadi sebahagian daripada ciri AI pada siri Pixel 11.
Dalam masa yang sama, Google turut memperkenalkan HiLight sebagai ciri eksklusif pada Pixel 11 Pro dan Pro XL. Ciri ini menggunakan susunan lampu LED di sekeliling flash kamera belakang untuk memberikan isyarat kepada pengguna tanpa perlu melihat skrin, termasuk apabila terdapat panggilan daripada Favourite Contacts atau ketika berinteraksi dengan Gemini.
Selain ciri-ciri tersebut, semua model hadir dengan sokongan Bluetooth v6, Wi-Fi 6E (Pixel 11), Wi-Fi 7 (Pixel 11 Pro dan Pro XL), serta tujuh tahun kemas kini sistem operasi, keselamatan dan Pixel Drop. Dari segi ketahanan pula, semuanya mempunyai penarafan IP68, selain ciri keselamatan seperti Satellite SOS, Emergency SOS, Car Crash Detection, Safety Check dan Theft Protection.
![]()
Bagi pengecasan, ketiga-tiganya turut serasi dengan Pixelsnap wireless charging sehingga 25W. Dengan asas yang sama ini, perbezaan antara setiap model lebih tertumpu kepada saiz skrin, konfigurasi kamera, kapasiti bateri serta beberapa ciri tambahan yang ditawarkan pada model Pro.
Pixel 11
Sebagai model asas, Pixel 11 hadir dengan skrin Actua OLED 6.3 inci yang menyokong kadar segar semula antara 60Hz hingga 120Hz, kecerahan puncak 3,000 nits serta perlindungan Corning Gorilla Glass Victus 2. Saiz ini menjadikannya pilihan lebih kompak berbanding Pixel 11 Pro XL, tetapi masih menawarkan ciri utama yang sama dalam siri tersebut.
![]()
Dari segi prestasi, Pixel 11 dipadankan dengan 12GB RAM dan pilihan storan 256GB atau 512GB. Ia menggunakan bateri berkapasiti 4,985mAh yang menyokong pengecasan pantas sehingga 55% dalam kira-kira 30 minit menggunakan pengecas USB-C PPS 30W atau lebih tinggi.
Untuk kamera, Pixel 11 menggunakan sistem tiga kamera belakang yang merangkumi kamera utama 48MP, ultralebar 13MP dan telefoto 10.8MP dengan zum optikal 5x. Sistem ini turut menawarkan Super Zoom sehingga 30x, manakala kamera hadapannya menggunakan sensor 10.5MP dengan autofokus.
![]()
Ia ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Frost, Pistachio, Hibiscus dan Obsidian.
Pixel 11 Pro
Bagi pengguna yang mahukan kemampuan kamera lebih tinggi, Pixel 11 Pro membawa konfigurasi yang lebih lengkap berbanding model asas.
Ia masih menggunakan skrin 6.3-inci, tetapi panel Super Actua LTPO OLED pada model ini menyokong kadar segar semula 1Hz hingga 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 3,600 nits. Pixel 11 Pro hadir dengan perlindungan Corning Gorilla Glass Victus 2 untuk bahagian hadapan dan belakang.
Dari segi memori pula, ia menawarkan RAM 12GB atau 16GB dengan pilihan storan 256GB, 512GB dan 1TB.
Peningkatan paling ketara kemudiannya dapat dilihat pada kamera. Pixel 11 Pro menggunakan kamera utama 50MP, ultralebar 48MP dengan autofokus dan telefoto 48MP dengan zum optikal 5x, selain menawarkan Pro Zoom sehingga 120x.
Google turut menyediakan ciri seperti Pro Controls, High-Res sehingga 50MP dan High-Res Portrait Mode 50MP. Keupayaan video juga dipertingkatkan dengan rakaman 8K pada 24/30fps melalui Video Boost, bersama Pro Stable Video dan Night Sight Video.
Pixel 11 Pro mempunyai bateri berkapasiti 4,850mAh dengan jangka hayat lebih 30 jam. Ia menyokong pengecasan pantas sehingga 55% dalam kira-kira 30 minit menggunakan pengecas USB-C PPS 30W atau lebih tinggi, selain pengecasan tanpa wayar Pixelsnap sehingga 25W.
Model ini hadir dalam pilihan warna Canyon, Olive, Fog dan Obsidian (matte).
Pixel 11 Pro XL
Jika Pixel 11 Pro memfokuskan kepada peningkatan kamera dan ciri Pro, Pixel 11 Pro XL pula membawa pengalaman tersebut kepada peranti dengan paparan yang lebih besar.
Model ini dilengkapi skrin Super Actua LTPO OLED 6.8-inci dengan kadar segar semula 1Hz hingga 120Hz. Pixel 11 Pro XL mengekalkan binaan seperti model Pro, termasuk perlindungan Corning Gorilla Glass Victus 2.
Konfigurasi kameranya juga sama seperti Pixel 11 Pro, termasuk kamera utama 50MP, ultralebar 48MP dan telefoto 48MP dengan zum optikal 5x serta Pro Zoom sehingga 120x.
Jadi, perbezaan utama antara kedua-dua model Pro lebih ketara pada saiz dan bateri. Pixel 11 Pro XL mempunyai kapasiti bateri 5,115mAh dan menyokong pengecasan pantas sehingga 75% dalam kira-kira 30 minit menggunakan pengecas USB-C PPS 45W atau lebih tinggi.

Ia ditawarkan dalam pilihan warna yang sama seperti Pixel 11 Pro, iaitu Canyon, Olive, Fog dan Obsidian (matte).
Harga dan ketersediaan
Untuk pasaran Malaysia, Pixel 11 bermula RM3,999, manakala Pixel 11 Pro dan Pixel 11 Pro XL masing-masing bermula pada RM4,999 dan RM5,999.
Prapesan dibuka mulai 12 Ogos, sementara jualan rasmi ketiga-tiga model akan bermula pada 20 Ogos 2026.
Siri Pixel 11 boleh didapati melalui CelcomDigi, Maxis, Urban Republic, Senheng, Shopee secara dalam talian, U Mobile dan Thundermatch.
{suggest}


