Apple App Store Dilapor Akan 'Berpecah Dua'

Apple kini dilaporkan sedang bersiap sedia untuk membahagikan App Store kepada dua, bagi mematuhi Akta Pasaran Digital (DMA) Kesatuan Eropah yang akan memaksa Apple untuk membenarkan sideload aplikasi.

{suggest}

Dalam edisi terbaharu Power On, Mark Gurman menjelaskan bahawa Apple dijangka akan melancarkan kemas kini yang akan membolehkan sideloading untuk pengguna iPhone dan iPad di Eropah dalam beberapa minggu akan datang.

Tarikh akhir untuk Apple mematuhi DMA ialah 7 Mac, jadi syarikat itu mempunyai tempoh sekitar tujuh minggu untuk melaksanakan perubahan itu.

Menariknya, Gurman mengatakan bahawa disebabkan perubahan itu, App Store akan dipisahkan kepada dua - akan terdapat versi untuk negara Eropah dan versi untuk pengguna global.

Melalui peraturan DMA, ia akan membenarkan pembangun mengedarkan aplikasi iOS di luar App Store. Tidak hanya itu, aplikasi pihak ketiga juga boleh menggunakan sistem pembayaran pihak ketiga untuk pembelian dalam aplikasi.

Selain pelaksanaan sideloading, DMA dijangka akan memaksa Apple membuat pelbagai perubahan ketara pada cara ‌App Store‌, FaceTime dan Siri berfungsi di Eropah.

Lebih banyak negara dijangka laksanakan undang-undang serupa


Dalam perkembangan lain, laporan baru-baru ini mendedahkan bahawa Jepun sedang menyediakan undang-undang antimonopoli yang akan memaksa Apple untuk membolehkan sideload dalam iOS. Sama seperti EU, Jepun juga mahu Apple membenarkan pembangun melaksanakan kaedah pembayaran alternatif dalam aplikasi mereka.

Pada masa yang sama, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat juga nampaknya bersedia untuk memaksa Apple membenarkan sideload pada iPhone dan iPad.

Mengambil kira keadaan itu, tidak mustahil jika Apple akhirnya terpaksa menyediakan sideloading secara global, dan bukannya mengendalikan secara individu untuk setiap negara yang melululuskan undang-undang antimonopoli serupa.

Sumber: Bloomberg, via 9to5Mac