Selepas Sony Dan Amazon, Intel Turut Menarik Diri Dari Acara MWC 2020

Selepas Amazon, Sony, dan beberapa syarikat lain menarik diri menyertai MWC 2020, kini Intel dan NTT Docomo turut mengambil keputusan yang sama berikutan wabak Coronavirus.

Sebelum ini, syarikat LG, ZTE, Nvidia dan Ericsson telah mengumumkan membatalkan pelbagai acara yang akan diadakan di MWC di Barcelona, yang merupakan acara tahunan terbesar bagi pameran perdagangan teknologi mudah alih. TCL juga mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengadakan sidang media pada acara itu, tetapi masih merancang untuk hadir.

Intel MWC 2020

Menurut jurucakap Intel dalam satu kenyataan yang disiarkan di Venturebeat, keselamatan dan kesejahteraan semua pekerja dan rakan kongsi syarikat tersebut adalah keutamaan mereka dan langkah tersebut diambil untuk lebih berhati-hati.

Pada 10 Februari, GSMA mengeluarkan kenyatan terkini yang memperincikan tindak balas lanjut yang diambil terhadap penularan wabak Coronavirus. Tiada pelawat dari daerah Hubei yang akan dibenarkan untuk akses masuk pada acara ini. Selain itu, bagi sesiapa yang melawat daerah lain di China perlu membuktikan mereka telah keluar dari negara tersebut 14 hari sebelum itu.

Dengan MWC yang akan bermula dalam masa dua minggu lagi, ia mungkin merumitkan rancangan beberapa syarikat dari China yang merancang untuk hadir.

Sumber: The Verge