Selamat Tinggal Kamera Pop-up

Tahun 2019 adalah tahun di mana kita dihidangkan dengan pelbagai jenis kamera selfie pop-up termasuk dari jenama seperti OnePlus, Redmi, Vivo dan banyak lagi.

Namun, nampaknya bagi tahun 2020 populariti kamera selfie pop-up telah diambil alih oleh kamera selfie punch hole yang lebih banyak digunakan pada masa kini.



Kelebihan kamera pop-up salah satunya adalah dapat menggunakan skrin penuh tanpa perlu menyediakan ruang untuk takuk atau bezel yang tebal bagi kamera hadapan.

Namun, pelbagai masalah lain perlu dihadapi termasuk keperluan untuk menyediakan papan induk dengan lebih mencabar. Tambahan lagi, kamera pop-up kebiasaannya terdedah kepada habuk dan air.

Tiada kamera pop-up yang telah berjaya mengatasi penarafan kalis air. Oleh itu, ia mempunyai risiko tersendiri kerana telefon mudah rosak selepas jatuh dan peranti tidak mempunyai ketahanan kalis air yang sesuai.



Kini, dengan teknologi baru yang beralih kepada punch hole, ia bukanlah suatu perkara yang mengejutkan. Ini kerana, rekaan punch hole adalah lebih baik berbanding rekaan kamera pop-up dalam meningkatkan saiz skrin tanpa perlu menjejaskan ciri-ciri premium tertentu termasuk penarafan kalis air dan sebagainya.

Sudah pasti, mempunyai ruang skrin yang lebih besar menjadikan peranti lebih kelihatan menarik dan terkini. Dengan rekaan punch hole, anda tidak akan mengalami apa-apa gangguan di skrin semasa menggunakan telefon. Sebagai contoh, jika menonton filem pada telefon pintar, punch hole akan berada pada salah satu penjuru dan kurang ketara untuk memberikan gangguan pada penglihatan.

Juga, status navigasi bar akan menjadi lebih lancar. Ditambah lagi dengan fungsi yang membenarkan anda menyembunyi kedudukan punch hole seperti yang terdapat pada S10 dan sebagainya.

Bagaimanapun, dengan teknologi punch hole, kita mungkin perlu melihat jika ia mampu bertahan lebih lama dalam pasaran berbanding kamera pop-up yang semakin tidak kelihatan.

Jadi, apa pandangan anda mengenai perkara ini? Adakah peranti terkini masih relevan untuk menggunakan kamera pop-up?