Sekat Pornografi Atau Anda Disekat, Amaran Indonesia Kepada Google Dan Twitter

Negara jiran, Indonesia tampil tegas kali ini dengan memberi amaran kepada syarikat gergasi seperti Google dan Twitter untuk menapis laman-laman pornografi dan  kandungan yang dianggap lucah.

Menteri Informasi dan Informatika Indonesia, Rudiantara, telah mengingatkan penyedia platform media sosial bakal berdepan tindakan serius sekiranya gagal mematuhi permintaan republik itu dalam menyekat kandungan berunsur lucah.

"Akibat paling buruk adalah saya tidak membenarkan mereka beroperasi di Indonesia. Kami memfokuskan terhadap kandungan. Jika anda melanggar kandungan bermakna anda melanggar undang-undang Indonesia" tegas Rudiantara ketika ditemubual Khamis lepas.

Beberapa minggu yang lalu, negara itu turut mengugut untuk menyekat penggunaan WhatsApp selepas aplikasi pemesejan itu terkandung dengan imej GIF berunsur lucah. Dengan jumlah rakyat menghampiri 260 juta, sudah pasti syarikat-syarikat ini mengambil pendekatan yang selari dengan kehendak Indonesia kerana tidak mahu disekat seperti apa yang berlaku di China.

Sumber: Jakarta Post