Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk mewujudkan syarat pelesenan khas buat syarikat penyedia permainan dalam talian seperti yang telah dilaksanakan kepada platform media sosial.
Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) kini sedang menjalankan kajian untuk menilai perkembangan risiko serta pendekatan kawal selia yang sesuai bagi perkhidmatan permainan dalam talian.
“Kajian ini merangkumi aspek keselamatan kanak-kanak, interaksi antara pengguna, ciri dan juga kandungan permainan serta langkah perlindungan yang dilaksanakan pemberi perkhidmatan. Selain itu, MCMC turut meneliti amalan antarabangsa sebagai sebahagian daripada penilaian,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata hasil kajian CMCF akan menjadi asas dalam menentukan sama ada terdapat keperluan memperkenalkan langkah perlindungan atau pendekatan kawal selia tambahan yang bersesuaian dengan konteks Malaysia, dengan mengambil kira perkembangan industri, risiko dikenal pasti serta keberkesanan langkah perlindungan sedia ada.
Menurutnya, CMCF setakat ini telah mengadakan rundingan awam bagi membangunkan subkod permainan (gaming subcode) sejak September lepas.
Rundingan tersebut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pengendali platform, penyedia aplikasi, pembangun permainan, pemain tempatan dan antarabangsa, pakar keselamatan dalam talian, wakil industri e-sukan, pengamal undang-undang serta penyelidik.
“Maklum balas yang diterima menerusi rundingan awam ini akan dipertimbangkan bagi menambah baik subcode tersebut. Sebarang keperluan untuk menyemak semula peraturan berkuat kuasa akan dinilai berdasarkan maklum balas pihak berkepentingan, perkembangan semasa, risiko yang dikenal pasti serta keberkesanan kerangka kawal selia sedia ada,” tambahnya.
Teo menjelaskan pendekatan tersebut bertujuan memastikan sebarang kawal selia yang dilaksanakan kekal relevan, berasaskan bukti dan setimpal dengan tahap risiko, serta mengutamakan keselamatan pengguna khususnya kanak-kanak dan remaja.
