Sebab Mengapa Snapdragon 865 Tidak Mempunyai Modem 5G Secara Terbina

Baru sahaja lagi Snapdragon 865 dan Snapdragon 765/765G diumumkan. Ia diposisikan sebagai cip kelas flagship dan juga kelas pertengahan, menggantikan Snapdragon 855 serta Snapdragon 730/730G. Akan tetapi, terdapat perbezaan jelas yang utama di antara kedua-dua jenis cip ini. Kedua-duanya merupakan cip yang memfokuskan kepada 5G. Namun, tahukah anda bahawa Snapdragon 865 tidak mempunyai modem 5G secara terbina. Ini adalah berbeza dengan Snapdragon 765/765G.

Jadi, apa maksud modem 5G secara terbina?

Adakah ini bermaksud Snapdragon 865, cip kelas flagship tidak mempunyai rangkaian 5G, pada masa yang sama Snapdragon 765/765 pula ada 5G?

Terlebih dahulu, anda perlu fahamkan apa maksud 'terbina' yang diungkapkan. Untuk konteks dalam cip Snapdragon, 'modem terbina' bermaksud modem tersebut diletakkan sekali, dibentukkan sekali dalam cip tersebut. Ini bermakna ia tidak boleh dicabut (jika pengeluar tidak mahu menggunakan modem tersebut) sewenang-wenangnya.

Jadi, untuk kes Snapdragon 765/765G ini, ia mempunyai rekaan modem terbina dengan kata lainnya dalam cip tersebut ada modem untuk menyambungkan rangkaian. Rekaan ini adalah berbeza dengan Snapdragon 865 kerana modem untuk cip tersebut tidak dibina sebegitu.

Persoalannya, mengapa cip kelas flagship direka sebegitu? Adakah dengan rekaan modem terbina, ia merupakan satu kelebihan buat Snapdragon 765/765G dan kelemahan untuk Snapdragon 865?

Untuk ketahui dengan lebih lanjut, ayuh teruskan pembacaan anda.

Cip Snapdragon 865 tidak mempunyai sebarang modem langsung


Sebelum ini, pada Snapdragon 855 dan cip-cip sebelumnya, Qualcomm menyertakan modem 4G yang terbina di dalam cip. Jika pengeluar mahu menyertakan sokongan rangkaian 5G, mereka perlu mempakejkan sekali modem 5G (secara luaran) seperti Snapdragon X55 di atas satu papan induk yang sama.

Kapsyen: Ini adalah cip Snapdragon 855. Perhatikan terdapat modem Snapdragon X24 untuk penyambungan rangkaian 2G, 3G, dan 4G LTE.


Untuk Snapdragon 865, Qualcomm membuat rekaan yang sedikit berbeza. Dalam cip tersebut tidak mempunyai sebarang modem. Baik 2G, 3G, 4G, mahupun 5G. Jadi untuk mendapatkan rangkaian-rangkaian tersebut, termasuklah 5G, modem Snapdragon X55 telah disertakan sebagai modem luaran (external).

Kapsyen: Ini adalah cip Snapdragon 865. Jika perhatikan elemen-elemen di dalam Snapdragon 865 - tiada modul untuk modem. Mengapa?


Melalui konfigurasi (cip + modem luaran) ini, terdapat beberapa kelebihan dan juga kelebihan yang boleh dilihat. Yang pertamanya, semestinya tujuan Qualcomm mereka modem 5G dalam Snapdragon 765/765G adalah untuk penjimatan tenaga yang lebih berbanding dengan rekaan modem luaran.

Kapsyen: Snapdragon 765/765G. Berbanding Snapdragon 865, ia mempunyai modem (Snapdragon X52) di dalam cip tersebut.


Ini adalah disebabkan modem tersebut sudah berada dalam satu silikon yang sama. Bermakna tiada lebihan kuasa yang diperlukan untuk menghidupkan modem berbanding dengan rekaan modem yang berada di luar cip pemprosesan.

Kelebihan utama rekaan modem luar cip


Jadi, mengapa Qualcomm tidak menggunakan rekaan cip dengan modem terbina? Semestinya ia adalah disebabkan alasan yang lebih kukuh. Dengan rekaan tersebut, terdapat beberapa kelebihannya. Menggunakan rekaan modem luaran, ia adalah cara Qualcomm menyatakan 'untuk prestasi terbaik rangkaian 5G, rekaan sebegini sahajalah yang patut dilakukan' buat masa ini.

Disebabkan Snapdragon 865 merupakan cip kelas flagship, semestinya Qualcomm mahukan prestasi rangkaian yang terbaik pada peranti yang menggunakannya. Walaupun Snapdragon 765/765G juga mempunyai rangkaian 5G (terbina). Namun, rangkaian 5Gnya tidak sebaik pada Snapdragon 865 disebabkan modem yang kurang berkuasa.

Jadi buat masa ini, jika pengeluar mahukan prestasi 5G terbaik, rekaan modem di luar cip inilah solusi terbaik yang Qualcomm mampu berikan.

Terdapat juga faktor lain seperti jika Snapdragon X55 diletakkan sekali bersama-sama dalam Snapdragon 865, mungkin ia akan mengeluarkan haba yang melampau. Ini adalah kerana kedua-dua perkakas sangat berkuasa untuk kategori (cip pemprosesan dan modem) mereka. Mungkin juga rekaan cip akan menjadi besar jika disekalikan dan meninggikan kos pembuatannya.

Kelemahan-kelemahan ini semestinya sudah diambil kira oleh Qualcomm lalu mereka tidak menggunakan rekaan modem terbina seperti Snapdragon 765/765G itu.

Dan hasilnya?


Dengan rekaan sebegini, Snapdragon mampu memuat turun dengan kelajuan sehingga 7.5Gbps menggunakan rangkaian 5G. Terdapat juga sokongan dwi-sim (eSIM), dwi-sedia rangkaian, 5G standalone (SA), 5G non-standalone (NSA), 5G mmWave, 5G sub-6GHz, Dynamic Spectrum Sharing dan pelbagai lagi teknologi terkini dan terbaik yang dimuatkan dalam Snapdragon 865.

Kapsyen: Modem rangkaian untuk Snapdragon 865 iaitu Snapdragon X55. Menyokong pelbagai teknologi rangkaian terkini.

Adakah Snapdragon 865 hanya menyokong rangkaian 5G sahaja?


Tidak juga. Modem 5G Snapdragon 865 iaitu Snapdragon X55 menyokong teknologi yang dinamakan Dynamic Spectrum Sharing (DSS). Dengan kewujudan teknologi ini, ia membolehkan satu fungsi menarik multi-mode (2G/3G/4G/5G) pada modem itu. Jadi, rangkaian selain 5G juga boleh disambungkan dengan teknologi DSS ini.



Ia agak sedikit teknikal namun apa yang boleh dikatakan adalah rangkaian 5G boleh disambung kepada spektrum frekuensi 4G sedia ada dan juga sebaliknya.

Mudah kata, Snapdragon 865 juga menyokong rangkaian selain 5G iaitu 2G, 3G, dan 4G menggunakan teknologi DSS yang terdapat dalam modem Snapdragon X55 ini. Menariknya, teknologi ini juga disokong oleh modem terbina Snapdragon X52 dalam Snapdragon 765/765G.

Kelebihan lain rekaan modem luaran Snapdragon 865


Menurut Qualcomm, dengan penggunaan modem Snapdragon X55 dan Snapdragon 865, rangkaian 4G pada peranti akan lebih jimat tenaga berbanding dengan 4G pada Snapdragon 855. Ia akan menawarkan hayat bateri yang lebih baik kerana teknologi pada Snapdragon 865 dan modem Snapdragon X55 lebih bagus. Ya, walaupun rekaan modemnya di luar cip.

Kapsyen: Teknologi yang lebih matang pada konfigurasi cip Snapdragon 865 membolehkan anda menggunakan rangkaian 4G LTE dengan hayat bateri yang lebih lama.


Sudah tentu jika menggunakan rangkaian 5G, ia akan memakan hayat bateri lebih laju. Namun jika dibandingkan dengan 4G, pengguna akan mendapati hayat bateri yang lebih lama berbanding dengan generasi sebelumnya.

Jika di Malaysia, kita mungkin akan mendapat teknologi rangkaian 5G lebih lambat berbanding negara maju. Tetapi, walaupun dengan ketiadaan rangkaian 5G tersebut, anda masih lagi mendapat manfaat menggunakan Snapdragon 865 dengan bateri hayat yang lebih baik ketika menggunakan rangkaian 4G LTE.

Kesimpulan


Jadi, dengan cip Snapdragon 865 ini, kesemua peranti yang menggunakannya akan mampu menyambungkan kepada rangkaian 5G. Tiada lagi peranti dengan 2 versi (1 versi LTE, 1 versi 5G) yang terdapat pada peranti flagship tahun ini seperti OnePlus 7 Pro (4G) dan OnePlus 7 Pro 5G. Akhir kata, ia merupakan rekaan cip untuk rangkaian 5G yang terbaik buat masa ini, baik buat Qualcomm mahupun untuk pengguna mereka.

Artikel olahan semula dari:
Android Authority
Gary Explain