Google Pixel 5 Dilancarkan - Hadir Dengan Cip Snapdragon 765G, Panel OLED 90Hz Dan Bateri 4,080mAh

Hari ini, Google telah mengadakan acara khas untuk melancarkan telefon pintar terbaharu iaitu Pixel 5.

Berbeza dengan strategi pemasaran sebelum ini, tahun ini hanya 1 model sahaja Pixel 5 dilancarkan - tiada versi XL.

Malah ia juga bukanlah telefon pintar kelas mercu kerana menggunakan cip kelas pertengahan.

Secara keseluruhan, Pixel 5 menggunakan rekaan luaran yang sama seperti Pixel 4a. Ia mempunyai rekaan kamera berlubang di hadapan dan juga modul kamera berbentuk petak empat segi.

https://www.youtube.com/watch?v=QOU9nAzHY7I&ab_channel=MadebyGoogle

Di hadapannya adalah paparan berukuran 6 inci Full HD+. Ia merupakan paparan jenis OLED, HDR, 19.5:9 dan juga 90Hz.

Telefon ini dijana oleh cip Snapdragon 765G dan grafik Adreno 620. Cip ini merupakan cip kelas pertengahan menyokong 5G tidak seperti Snapdragon 730G pada Pixel 4a.



Terdapat cip sekuriti Titan M untuk ciri keselamatan dan juga penyulitan data. Namun, apa yang mengecewakan adalah tiada lagi Pixel Neural Core iaitu cip khas untuk memproses gambar lebih pantas.

Antara lainnya adalah RAM 8GB dan juga storan dalaman 128GB. Seperti kebiasaanya, Google Pixel tidak pernah menawarkan storan microSD jadi ia sama sahaja pada Pixel 5 ini.

Untuk kamera, ia menggunakan 12.2MP kamera belakang utama dan juga sudut lebar 16MP. Tiada lagi lensa telefoto dan sebaliknya lensa sudut lebar membuat kemunculan ulung pada model Pixel.



Pada swafoto pula, ia memuatkan sensor 8MP. Kemampuan kamera utama adalah mampu merekod pada 1080p 240fps atau 4K 60fps manakala swafoto pula sehingga 1080p 30fps.

Untuk penawaran kamera terbaharu dalam Pixel 5, terdapat ciri Portrait Light untuk mencerahkan sesuatu kawasan dalam potret. Selain itu, Night Sight kini berfungsi dalam mod Potret.



Antara kritikan utama menggunakan model mercu Pixel adalah penggunaan hayat bateri yang ala kadar. Disebabkan itu, Google memuatkan bateri berkapasiti 4,080mAh yang agak besar untuk norma model Pixel.

Telefon ini dicas menggunakan USB-C yang selaju 18W melalui USB-PD. Sebagai ukur aras, ia tidaklah sepantas jenama lain yang rata sudah mencapai sehingga 60W lajunya.

Pixel 5 juga turut memperkenalkan mod Extreme Battery Saver. Ia adalah mod jimat bateri yang menghentikan aplikasi secara spesifik selama 48 jam.



Pengecasan tanpa wayar tetap ada, termasuk juga tanpa wayar berbalik. Tambahan, Pixel 5 adalah telefon rekaan premium dengan binaan kaca dan aluminium serta piawaian kalis air/debu IP68.

Ia juga hanya menggunakan pengimbas cap jari di belakangnya dan masih tiada bicu audio 3.5mm.

Pixel 5 menjalankan Android 11 secara terbina dan dijamin untuk menerima kemaskini Android sehingga 3 tahun.

Terdapat dua pilihan warna iaitu Just Black dan juga Sarge Green. Harga jualan Pixel 5 adalah $699 di Amerika Syarikat iaitu sekitar RM2,904.

Sumber: Pixel 5