Butiran Penuh Snapdragon 765 Dan 765G - Cip Kelas Pertengahan Diberi Kuasa 5G

Snapdragon 730/730G bukan lagi cip paling berkuasa untuk kelas pertengahan. Gelaran itu kini disandang oleh Snapdragon 765/765G. Ia diumumkan bersama-sama dengan Snapdragon 865 sebagai cip pemula untuk membuka tirai tahun 2020. Sepertimana cip lain yang pernah diumumkan sebelum ini, setiap keluaran membawakan sesuatu yang baharu.



Yang paling menarik untuk cip pemprosesan kelas pertengahan kali ini adalah Qualcomm membawakan sokongan rangkaian 5G. 5G untuk kelas pertengahan sudah tidak asing lagi pada tahun 2020 nanti. Bukan itu sahaja, terdapat beberapa penambahbaikan berbanding cip sebelumnya. Ini adalah butiran dan spesifikasi penuh Snapdragon 765/765G :


CPU



  • Konfigurasi 8 teras, pecahan kluster 1 + 1 + 6

  • 1 x Kryo 475 Teras utama (Berpandukan Cortex A76) pada 2.3GHz (2.4GHz pada 765G)

  • 1 x Kryo 475 Teras prestasi (Berpandukan Cortex A76) pada 2.2GHz

  • 6 x Kryo 475 Teras jimat tenaga (Berpandukan Cortex A55) pada 1.8GHz


Dibandingkan dengan Snapdragon 730, Snapdragon 765 tidak mempunyai perubahan besar kerana ia juga masih menggunakan rekaan Cortex A76. Namun, ada perubahan dari segi pecahan kluster dimana Snapdragon 730 menggunakan konfigurasi 2 + 6, manakala untuk Snapdragon 765 ia menggunakan tetapan 1 + 1 +6.

Untuk Snapdragon 765G, kelajuan teras utama sedikit dipertingkatkan kepada 2.4GHz berbanding 2.3GHz pada Snapdragon 765. Selain itu, tiada perbezaan lain kerana teras prestasi dan juga teras jimat tenaga kedua-duanya mempunyai kelajuan yang sama.

 

GPU



  • Adreno 620

  • Snapdragon Elite Gaming (765G sahaja)

  • Sokongan main balik video HDR10+, Dolby Vision


Terdapat sokongan Adreno 620 yang memberikan prestasi grafik 20% lebih bagus berbanding dengan Adreno 618 pada Snapdragon 730. Ia juga menyokong ciri main balik vide0 HDR10+ dan Dolby Vision yang sebelum ini tidak mampu dilakukan oleh Snapdragon 730.

 

Paparan



  • Sokongan maksimum peranti sehingga FHD 120Hz, QHD+ 60Hz

  • Sokongan maksimum output 4K 60Hz


Selama ini peranti dengan panel kadar segar semula melebihi 60Hz tidak dijumpai pada peranti kelas pertengahan. Snapdragon 765 menyokong paparan peranti sehingga 120Hz pada resolusi FullHD. Mungkin tahun hadapan kita bakal menyaksikan peranti kelas pertengahan dengan panel kadar segar semula yang tinggi dengan Snapdragon 765 ini.

AI



  • Hexagon 696 digital signal processor (DSP)

  • AI Engine generasi kelima

  • 5.5 TOPS


AI Engine generasi kelima juga dipakai pada Snapdragon 865. Qualcomm juga turut membawakan teknologi ini kepada Snapdragon 765. Dengan AI Engine yang dimuatkan dalam DSP Hexagon 696 ini, ia mampu melakukan 5.5 TOPS. Sedikit hampir dengan cip flagship tahun lepas, Snapdragon 855 pada 7 TOPS.

 

Memori



  • LPDDR4 pada kelajuan 2133MHz

  • 12GB RAM


Dengan Snapdragon 765, ia menyokong sehingga 12GB RAM. Kelajuan RAM juga adalah lebih baik pada 2133MHZ berbanding 1866MHz pada Snapdragon 730.

 

Kamera



  • Image signal processor (ISP) Spectra 355

  • Kamera tunggal sehingga 192MP

  • Dwi-kamera sehingga 22MP

  • Video 4K HDR 30fps

  • Video slo-mo sehingga 720p 480fps

  • Sokongan rakaman HDR10+


Snapdragon 765/765G telah dibekalkan dengan pemproses ISP Spectra 355 yang baharu. Ia mampu menangkap gambar sehingga 192MP. ISP ini juga lebih berkuasa berbanding ISP pada Snapdragon 730 dengan kemampuan rakaman slo-mo 720p 480fps dan juga sokongan rakaman video dalam format HDR10+.

 

Modem



  • Snapdragon X52 4G LTE dan 5G modem multimode

  • Muat turun sehingga 3.7Gbps (5G), 1.2Gbps (4G)

  • Muat naik sehingga 1.6Gbps (5G), 210Mbps (4G)


Antara teknologi utama yang selalunya flagship dapat, kini diperturun ke kelas pertengahan - 5G. Apa yang menarik dengan Snapdragon 765 adalah ia menyokong modem 5G secara terbina. Ini bermaksud dalam cip Snapdragon 765 itu sendiri ada modem 5G (Snapdragon X52). Jika pada Snapdragon 865, perkakas modem 5G (Snapdragon X55) perlu dipadankan sekali dengan cip kerana ia tidak disokong secara terbina.

Dengan rekaan modem terbina, penggunaan kuasa akan lebih rendah kerana peranti tidak perlu menyalurkan kuasa kepada modem yang berasingan.

Ini menjadikan Snapdragon 765/765G sebagai cip pertama Qualcomm yang mempunyai rekaan modem 5G sebegini. Dengan modem Snapdragon X52, ia mampu memuat turun dengan kelajuan sehingga 3.7Gbps pada rangkaian 5G dan 1.2Gbps untuk 4G. Manakala untuk muat naik pula, ia akan menyokong sehingga 1.6Gbps (5G) dan 210Mbps (4G).



Rangkaian



  • Wi-Fi Modem Qualcomm FastConnect 6200

  • Wi-Fi 6

  • Bluetooth 5.0


Qualcomm telah menyerakan modem Wi-Fi FastConnect 6200 dalam Snapdragon 765. Ia sedia menyokong rangkaian Wi-Fi 6 dan juga Bluetooth 5.0.

Senibina



  • 7nm (EUV Samsung)


Sedikit peningkatan dari segi penjimatan tenaga kerana Snapdragon 765/765G dihasilkan pada proses pembuatan yang lebih kecil pada 7nm berbanding 8nm pada Snapdragon 730. Ia juga menggunakan teknologi EUV dari Samsung yang lebih terkini.

 

Perbezaan antara Snapdragon 765 dan 765G


Didatangkan dengan dua versi, Snapdragon 765G mempunyai sedikit sahaja perbezaan berbanding Snapdragon 765. Sama seperti Snapdragon 730G, ia merupakan cip dengan ciri-ciri memfokuskan kepada gaming. Yang pertama, teras utamanya adalah sedikit laju (dari 2.3GHz ke 2.4GHz) serta 15% prestasi grafik lebih baik. Snapdragon 765G juga menyokong fungsi Snapdragon Elite Gaming seperti (Game Smoother, Game Fast Loader, Game Network Latency Manager, Jank Reducer 2.0 dan Predictive Game Auto Tuner).

Setakat ini Xiaomi Redmi K30 dan juga OPPO Reno3 Pro disahkan akan menggunakan cip Snapdragon 765G ini. Nantikan lebih banyak lagi peranti dengan cip ini pada tahun hadapan.

Kredit gambar: The Verge