Ujian Prestasi MediaTek Helio G70 Pada realme C3 Mendapati Ia Lebih Berkuasa Dari Snapdragon 665

Awal bulan lepas MediaTek telah memperkenalkan cip Helio G70. Ia merupakan cip gaming untuk kelas bajet dan buat pertama kalinya telah dimuatkan dalam peranti realme C3. Peranti ini baru sahaja dilancarkan di India beberapa hari lepas dan telah diuji prestasi membandingkannya dengan peranti yang menggunakan cip Snapdragon 665.

Melalui laman teknologi Beebom, mereka telah berkongsikan hasil ujian prestasi antara Helio G70 pada realme C3 dan Snapdragon 665 pada Xiaomi Mi A3.

Spesifikasi Helio G70 vs Snapdragon 665



  • MediaTek Helio G70


Secara ringkas, MediaTek G70 menggunakan 8 teras dengan 2 pecahan kluster. Ia dibina dengan proses 12nm mempunyai 2 teras utama Cortex-A75 (2.0GHz) dan juga 6 teras jimat tenaga Cortex-A55 (1.7GHz).

Untuk GPU ia menggunakan pemprosesan dari ARM iaitu Mali-G52 pada kelajuan 820MHz bersama-sama teknologi HyperEngine MediaTek.

  • Snapdragon 665


Untuk Snapdragon 665 pula ia menggunakan 8 teras dengan 2 pecahan kluster. Namun ia dibezakan dengan 4 teras utama Kryo 260 Gold Cortex-A73 (2.0GHz) dan juga 4 teras jimat tenaga Kryo Silver Cortex-A53 (1.8GHz).

Bahagian GPU pula, ia menggunakan pemprosesan grafik Adreno 610.

Ujian Prestasi AnTuTu


Ujian prestasi yang pertama dilakukan oleh realme C3 adalah AnTuTu V8. Melalui ujian ini, MediaTek Helio G70 memperlihatkan skor 191731 yang lebih baik berbanding Snapdragon 665 dengan markah 183212. Apa yang menarik adalah Helio G70 mendapat skor lebih tinggi pada bahagian pemprosesan grafik. Ini bermakna bahagian GPU Mali-G52 juga berkuasa dan mampu mengalahkan Adreno 610 pada Snapdragon 665.

Kapsyen: Kiri (Xiaomi Mi A3), tengah (realme C3), kanan (vivo U20). Sumber dari: Beebom


Turut dibandingkan adalah markah AnTuTu V8 dari peranti vivo U20. Namun disebabkan Snapdragon 675 lebih berkuasa, ia meletakkan Helio G70 selesa di antara cip Snapdragon 665 dan juga 675.

Ujian CPU Geekbench 5


Ujian prestasi Geekbench 5 menguji prestasi CPU dari segi teras tunggal dan juga multi-teras. Untuk ujian ini, Helio G70 memperoleh skor teras tunggal sebanyak 351 iaitu sedikit tinggi berbanding 301 pada Snapdragon 665. Sebaliknya untuk skor multi-teras pula Snapdragon 665 peroleh sebanyak 1393 yang lebih tinggi berbanding 1256 pada Helio G70.

Kapsyen: Kiri (Xiaomi Mi A3), tengah (realme C3), kanan (vivo U20). Sumber dari: Beebom


Untuk skor teras tunggal, Helio G70 menggunakan teras terkini Cortex-A75 berbanding Cortex-A73 pada Snapdragon 665. Jadi, sudah semestinya Helio G70 lebih berkuasa. Namun untuk skor multi-teras pula, Snapdragon 665 mendapat nilai yang lebih tinggi disebabkan penggunaan 4 teras utama berbanding 2 sahaja pada Helio G70.

Boleh dikatakan dari segi prestasi dan penggunaan harian, G70 sedikit lebih pantas dengan penggunaan teras Cortex-A75 yang lebih berkuasa berbanding Snapdragon 665.

Ujian Kecerdasan Buatan AITuTu


Ujian kecerdasan buatan (AI) pada kedua-dua cip ini pula menceritakan kisah yang berbeza. Walaupun Helio G70 dipasarkan dengan ciri kecerdasan buatan yang pantas, skor diperoleh dari prestasi AITuTU pula tidak mengiyakan hal berkenaan.

Kapsyen: Kiri (Xiaomi Mi A3), kanan (realme C3). Sumber dari: Beebom


Dari aspek AI, AI Engine Qualcomm pada Snapdragon 665 jauh meninggalkan Helio G70 dari MediaTek.

Ujian Grafik 3DMark


Helio G70 merupakan cip yang memfokuskan kepada gaming. Untuk itu, ujian prestasi grafik diuji untuk membandingkan kekuatan GPUnya dengan Snapdragon 665. Ujian ukur aras melalui Sling Shot Extreme memperlihatkan prestasi GPU Helio G70 sedikit lebih baik berbanding Snapdragon 665.

Kapsyen: Kiri (realme C3), kanan (Xiaomi Mi A3). Sumber dari: Beebom


Walaupun hanya sedikit perbezaan antara kedua-duanya, kesemua aspek ujian menunjukkan Mali-G52 lebih berkuasa menjadikannya satu peningkatan prestasi yang sangat berbaik untuk kelas permulaan berbanding Adreno 610.

Relevan Perbandingan Dan Konklusi


Dari keseluruhan perbandingan yang dibuat, kita sudah jelas mengetahui peranti yang menggunakan cip Helio G70 seperti realme C3 adalah lebih berkuasa dari peranti menggunakan Snapdragon 665 seperti Xiaomi Mi A3.

Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan adalah mengenai peranti realme 5i yang baru dilancarkan beberapa minggu lalu menggunakan cip Snapdragon 665. Ia disasarkan untuk kelas pertengahan bajet. Adalah sedikit janggal dari segi pemasaran jika realme C3 yang merupakan kelas permulaan menggunakan Helio G70 yang lebih berkuasa.

Jika sebelum ini realme C2 dipasarkan dengan harga yang rendah bermula RM429, realme C3 juga sudah semestinya akan dijual pada harga sekitar yang sama. Dengan harga jualan yang lebih rendah berbanding realme 5i, pembelian realme 5i dilihat sangat tidak berbaloi untuk pengguna yang mengutamakan prestasi dan juga permainan video.

Apa-apa pun, melihatkan kepada prestasi cip Helio G70 yang sangat berkuasa untuk kelas permulaan ini, kami tidak sabar untuk menantikan harga jualan realme C3 ketika kehadirannya untuk pasaran Malaysia nanti.

*Segala gambar dan hasil ujian adalah dari laman Beebom, anda boleh layari laman web berkenaan untuk membaca sumber asal artikel ini.

Sumber: Beebom

 

Berkaitan