Di tengah-tengah keterujaan para pemain permainan PC terhadap emulator PlayStation 5 (PS5) yang semakin meningkat, penjenayah siber dilaporkan secara diam-diam mengambil kesempatan dengan menyebarkan perisian hasad (malware) yang menyamar sebagai emulator PS5.
Menurut laporan, beberapa repositori GitHub palsu telah dikesan dengan menawarkan fail emulator yang kononnya membolehkan permainan PS5 dijalankan pada PC, namun sebenarnya mengandungi malware berbahaya.
Malware tersebut direka untuk mencuri maklumat pengguna, termasuk data peribadi dan akses akaun.
Malah, ia turut menggunakan pelbagai teknik bagi mengelak daripada dikesan perisian keselamatan, selain cuba memadam jejak aktivitinya selepas menjangkiti komputer mangsa.
Ancaman ini dilihat semakin berkesan kerana ramai peminat emulator sanggup memuat turun perisian percubaan atau fail daripada sumber tidak rasmi.
Situasi ini menjadikan mereka sebagai sasaran mudah bagi scammer yang mengeksploitasi keinginan pengguna untuk mencuba permainan PS5 di komputer.
Ekoran itu, pengguna disarankan supaya berhati-hati sebelum memuat turun sebarang emulator PS5, terutama daripada sumber yang tidak dikenali.
Pastikan fail diperoleh daripada pembangun yang dipercayai dan sentiasa mengemas kini sistem PC bagi mengurangkan risiko serangan siber.
