Samsung Electronics menjangkakan kekurangan bekalan cip memori global akan menjadi lebih buruk pada 2027 dan berlarutan sehingga 2028, didorong permintaan tinggi daripada industri kecerdasan buatan (AI).
Amaran itu dibuat semasa pembentangan keputusan kewangan suku kedua (Q2) 2026 syarikat tersebut, apabila Naib Presiden Eksekutif Bahagian Memori Samsung, Kim Jaejune, berkata jurang antara bekalan dan permintaan dijangka terus melebar dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menurut beliau, sekitar 60 hingga 70 peratus kapasiti pengeluaran memori Samsung kini telah diperuntukkan menerusi kontrak jangka panjang dengan syarikat pengendali pusat data utama bagi memastikan bekalan lebih stabil.
Permintaan terhadap cip DRAM, NAND Flash dan High Bandwidth Memory (HBM) terus meningkat susulan pelaburan besar-besaran dalam pembangunan infrastruktur AI di seluruh dunia.
Amaran Samsung itu turut mengukuhkan pandangan pemain industri lain sebelum ini.
Pada Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif SK hynix, Kwak Noh-jung, menjangkakan 2027 akan menjadi tempoh paling kritikal bagi bekalan cip memori global.
Sementara itu, Pengerusi ADATA, Simon Chen, pula berpandangan kekurangan bekalan memori boleh berlarutan sehingga sedekad berikutan pertumbuhan pesat penggunaan AI.
Perkembangan ini memberi isyarat bahawa tekanan terhadap rantaian bekalan cip memori masih belum reda dan berpotensi mengekalkan harga komponen serta peranti elektronik seperti komputer, komputer riba dan telefon pintar pada paras yang tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
{suggest}
