Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
RAM, Memori, AFP

AI Terus Kekalkan Harga Peranti Tinggi Dalam Krisis Cip ‘RAMaggedon’

Diterbitkan Ogos 3, 2026 · Dikemas kini Ogos 4, 2026 oleh Amsyar Latif

Kenaikan harga komputer, komputer riba dan telefon pintar dijangka berterusan apabila industri cip memori global masih berdepan kekurangan bekalan susulan permintaan tinggi daripada sektor kecerdasan buatan (AI).

Menurut laporan AFP, keadaan itu menyebabkan harga cip memori meningkat dengan ketara sehingga ada pihak menggelarkannya sebagai “RAMaggedon”, merujuk kepada krisis bekalan cip RAM (Random Access Memory).

Kekurangan bekalan berlaku apabila pengeluar cip utama memberi tumpuan kepada pengeluaran High-Bandwidth Memory (HBM), iaitu cip memori berprestasi tinggi yang digunakan dalam pelayan AI untuk melatih dan menjalankan model AI.

Peralihan itu menyebabkan bekalan cip memori konvensional seperti DRAM, yang digunakan dalam komputer, komputer riba dan telefon pintar, menjadi semakin terhad.

Minggu ini, Ketua Pegawai Kewangan Samsung Electronics berkata kekurangan bekalan cip memori dijangka menjadi lebih serius pada 2027 dan berterusan sehingga sekurang-kurangnya 2028.

Di Hong Kong, beberapa kedai komputer dilaporkan mula mempamerkan keratan laporan berita mengenai krisis cip memori bagi menerangkan kepada pelanggan mengapa harga komponen komputer meningkat dengan begitu mendadak.

Menurut pengurus sebuah kedai komputer, Wade Lam, ramai pelanggan tidak memahami punca kenaikan harga tersebut.

Seorang lagi pengurus kedai komputer yang menjual PC binaan sendiri berkata harga modul RAM 16GB yang sebelum ini sekitar HK$300 (~RM156) hingga HK$400 kini mencecah kira-kira HK$1,500 (~RM781).

Beliau berkata ramai pelanggan kini menangguhkan pembelian atau memilih spesifikasi yang lebih rendah kerana harga semakin mahal.

Penyelidik pasaran dari TrendForce, Ellie Wang, pula berkata harga cip memori untuk PC dan telefon pintar kini meningkat sekitar lima hingga enam kali ganda berbanding setahun lalu.

Dalam masa sama, ledakan AI terus memberi keuntungan besar kepada pengeluar cip memori utama seperti Samsung Electronics, SK Hynix dan Micron Technology.

Syarikat China, ChangXin Memory Technologies (CXMT), turut mendapat perhatian selepas menjadi syarikat paling bernilai di tanah besar China ketika penyenaraiannya di Bursa Shanghai.

Menurut penganalisis Omdia, James Zhao, walaupun CXMT masih ketinggalan dalam pembangunan teknologi HBM, syarikat itu berpotensi mendapat manfaat dalam pasaran DRAM konvensional yang sedang mengalami kekurangan bekalan.

Selain komputer dan telefon pintar, pengeluar automotif turut memberi amaran bahawa kos sistem komputer dalam kenderaan semakin meningkat, sekali gus berpotensi menyebabkan harga kereta baharu turut naik pada masa depan.

Di Tokyo, pembina PC dan pereka grafik dari Belgium, Charles Brousse, berkata harga RAM, kad grafik dan papan induk kini berada pada tahap yang “tidak masuk akal”.

Beliau berkata kenaikan harga komponen menyebabkan lebih ramai pengguna memilih komputer riba yang lebih murah berbanding desktop, walaupun desktop lazimnya mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

Menurutnya, situasi itu turut didorong oleh ledakan pelaburan AI yang dianggapnya sebagai satu “gelembung spekulatif”, selain memberi kesan kepada kerjayanya sebagai pereka grafik. – AFP

Berkaitan

  • Apple Dilapor Sedang Uji Cip DRAM CXMT, Saham Cip China Melonjak 470%
  • Pertama Di Malaysia, UTeM Tawar Program Sarjana Muda Teknologi Perkomputeran Kuantum

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Apple Creator Studio Terima Ciri AI Baharu, Pembantu AI Kini Dalam Keynote, Pages Dan Numbers
  • Apple Lancar iMac M6, Harga Malaysia Bermula RM6,499
  • MacBook Pro 14 Inci Dengan Cip M6 Kini Rasmi - Harga Bermula RM8,299
  • Siri vivo X500 Kini Tiba Di Malaysia, Harga Bermula RM4,699
  • Malaysia Antara 10 Negara Dengan Penggunaan Data Mudah Alih Tertinggi Di Dunia
  • 2 Laptop ASUS Dipacu RTX Spark Dengan RAM 48GB Tiba Di Malaysia
  • ACE Malaysia 2026 Tampilkan Penggunaan AI Setempat Untuk Perniagaan
  • Lebih Ramai Percaya AI Akan Menyebabkan Manusia Hilang Pekerjaan
©2026 WISER.MY