Redmi 9 Mungkin Peranti Seterusnya Yang Akan Gunakan Cip MediaTek Helio G80

Redmi baru sahaja mengumumkan siri Note 9 iaitu Note 9 Pro dan Note 9 Pro Max bulan ini. Di Malaysia, minggu lepas pula Note 9S iaitu model Note 9 versi global pula dilancarkan. Namun, untuk Redmi 9 yang biasa, iaitu kelas permulaan untuk jenama Redmi, masih belum lagi kedengaran tentang berita mengenainya.

Hari ini, telah dimuat naik beberapa maklumat berkenaan peranti yang dikatakan Redmi 9 dari laman Twitter. Melihat kepada imej yang telah dimuat naik tersebut, kelihatannya Redmi 9 akan menggunakan konfigurasi kuad kamera belakang. Jika diimbas kembali, Redmi 8 sebelum ini hanya menggunakan 2 kamera belakang sahaja. Jadi peningkatan bilangan kamera belakang sehingga 4 ini sangat drastik.

https://twitter.com/Sudhanshu1414/status/1243865128572833792

Untuk spesifikasi kamera, ia hanya menggunakan 13MP lensa utama. Selain itu, terdapat lensa 8MP sudut lebar, 2MP makro, dan 2MP depth.

Keseluruhan modul kamera belakangya direka menegak dan hampir serupa dengan rupa kamera yang terdapat pada Redmi Note 8 Pro. Untuk cip pemprosesan, ia bakal menggunakan MediaTek Helio G80. Jadi, Redmi 9 ini mungkin akan jadi peranti kedua yang menggunakan cip tersebut selepas realme 6i.

Spesifikasi lain peranti ini masih lagi belum diketahui seperti bateri, kamera swafoto, memori dan lain-lain. Dikhabarkan ia akan dilancarkan pada suku ketiga 2020. Jadi masih banyak lagi maklumat yang bakal kita ketahui tentang Redmi 9 ini sehingga tarikh pelancarannya kelak.

Sumber: Sudhansu Ambhore