Siri Redmi Note 9 Dilancarkan - Kesemua Gunakan Cip Snapdragon 720G Dan Bateri 5020mAh

Seperti yang diketahui acara Redmi Note 9 terpaksa dibatalkan berikutan wabak Covid-19 yang belum reda. Namun mereka tetap melancarkan produk terkini mereka secara dalam talian.

Hari ini di India, pihak Redmi mula memperkenalkan 2 jenis model di bawah siri Xiaomi Redmi Note 9 iaitu Note 9 Pro, dan Note 9 Pro Max. Tiada lagi model "Redmi Note 9" dan versi model dimulakan dengan Redmi Note 9 Pro.

Redmi Note 9 Pro Max


Menurut Redmi, Pro Max merupakan penambahan baru dalam siri Note yang juga merupakan varian paling berkuasa memfokuskan kepada rekaan, kamera dan juga prestasi.

Untuk Redmi Note 9 Pro Max, peranti ini direka dengan rekaan Aura Balance yang baharu. Ia mempunyai rekaan simetri dan juga lengkungan 3D untuk genggaman selesa. Paparan juga tidak lagi menggunakan takuk kecil, dan ia telah digantikan dengan lubang kamera kecil dipanggil DotDisplay.

Paparan peranti adalah bersaiz 6.67 inci LCD Full HD+ dengan nisbah 20:9. Namun ia tidak seperti siri realme 6 yang menyokong panel 90Hz, kerana panel pada Note 9 Pro Max hanya pada 60Hz sahaja.



Untuk bahagian kamera, peranti menggunakan 4 lensa iaitu 64MP utama + 8MP sudut lebar + 5MP makro + 2MP depth. Kamera juga turut menyokong format RAW untuk fleksibiliti mengedit yang lebih luas dan juga Night Mode.

Note 9 Pro Max juga menyokong fungsi Pro Colour iaitu mengubah keseluruhan warna imej ketika mengedit secara mudah. Selain itu, ia mempunyai mod rakaman 21:9 untuk rakaman persis filem.

Kamera swafoto pula bersaiz 32MP yang merupakan naiktaraf tinggi berbanding 20MP pada Redmi Note 8 Pro.



Apa yang menarik adalah pihak Redmi memuatkan motor getaran Z-axis yang lebih berkualiti untuk pengalaman penggunaan yang lebih ke arah sebuah flagship.

Terdapat juga pengimbas cap jari dibahagian sisi. Redmi mengatakan pengimbas cap jari adalah lebih selesa kerana peranti tidak perlu diangkat untuk dinyahkunci.



Cip pemprosesan pula dijana oleh Qualcomm Snapdragon 720G dan merupakan siri Redmi Note pertama yang menggunakan cip Qualcomm siri 700. Konfigurasi memori pula adalah bermula dari 6GB sehingga 8GB serta storan dalaman 64GB sehingga 128GB yang berasaskan UFS 2.1.

Rangkaian juga dinaik taraf dengan 2x MIMO untuk penerimaan signal Wi-Fi yang lebih pantas.

Bateri pula berkapasiti 5,020mAh yang merupakan kapasiti bateri paling besar pernah dimuatkan dalam jenama Redmi. Namun, ia juga tidaklah setebal yang disangka kerana hanya mempunyai ketebalan 8.81mm iaitu 0.01 tebal berbanding dengan Redmi Note 8 Pro yang hanya berkapasiti 4,500mAh. Selain itu, pengecasan juga lebih pantas dengan 33W menggunakan USB-C.



Peranti juga mendapat perlindungan Gorilla Glass 5 yang melindungi 3 bahagian iaitu paparan, panel belakang, dan juga modul kamera.

Selain itu, peranti juga turut dilengkapi dengan bicu audio 3.5mm, piawaian kalis renjisan airP2i. dan juga IR blaster. Untuk warna terdapat 3 pilihan iaitu Aurora Blue, Glacier White, Interstellar Black.



 

Untuk model Redmi Note 9 Pro Max, ia dijual berharga Rs. 14,999 (~RM860) untuk model 6GB/64GB, Rs. 16,999 (~RM975)  untuk versi 6GB/128GB, dan Rs. 18,999 (~RM1,090) untuk versi paling berkuasa 8GB/128GB.

Redmi Note 9 Pro


Redmi Note 9 Pro merupakan penjaya kepada model Redmi Note 8 Pro sebelum ini. Kebanyakan spesifikasi adalah berkongsi dengan model utama Redmi Note 9 Pro mereka. Rekaan, rupa dan fungsi juga adalah sama.

Paparan menggunakan panel 6.67 inci LCD Full HD+ dengan nisbah 20:9.

Apa yang berbeza adalah tetapan kamera yang menggunakan 48MP utama + 8MP sudut lebar + 5MP makro + 2MP depth. Manakala kamera swafoto pula menggunakan sensor 16MP.



Cip juga dijana oleh Snapdragon 720G dan juga konfigurasi RAM 6GB/8GB dan storan dalaman UFS 2.1 128GB.

Bateri juga dimuatkan 5,020mAh namun untuk pengecasan pantas ia hanya setakat 18W sahaja.

Redmi Note 9 Pro dijual berharga Rs. 12,999 (~RM745) untuk versi 4GB/64GB dan Rs. 15,999 (~RM917) rupee untuk versi 6GB/128GB.



Model-model yang diumumkan ini hanya dijual di India buat masa ini. Untuk pasaran Malaysia, masih lagi belum diketahui kehadirannya.

Berkaitan