realme C3 Dengan Cip Helio G70 Dan Bateri 5,000mAh Akan Tiba Tidak Lama Lagi

Siri "C" dalam jenama realme merupakan model kelas permulaan. Setelah hampir setahun realme C2 berada di pasaran, akhirnya model tersebut bakal digantikan dengan realme C3. Peranti ini akan diperkenalkan minggu ini di India terlebih dahulu dan ini adalah spesifikasinya.

Peranti ini bakal menggunakan cip MediaTek Helio G70 yang baru sahaja diumumkan dengan 2 konfigurasi iaitu 3GB/32GB dan juga 4GB/64GB. Untuk paparan, ia akan dilengkapi dengan 6.5 inci takuk kecil. Paparan ini lebih besar dari model C2 sebelum ini yang hanya bersaiz 6.1 inci sahaja.



Resolusi paparan walau bagaimanapun tidak dinyatakan. Namun kemungkinan ia panel HD+ sahaja memandangkan peranti adalah model kelas permulaan.

Kamera belakang dimuatkan dengan 2 lensa, satu 12MP utama dan juga satu lagi sama ada sensor depth atau lensa makro. Kamera swafoto yang terletak pada takuk kecil tersebut walau bagaimanapun tidak dinyatakan butirannya.

realme memuatkan bateri yang terbesar setakat ini dalam siri "C" pada peranti ini iaitu sebanyak 5,000mAh. Syarikat tersebut juga mendakwa ketahanan bateri standby sehingga 30 hari, 43.9 jam panggilan, 19.4 jam muzik, 20.8 jam tontonan YouTube dan juga 10.6 jam permainan PUBG Mobile.



Masih ada lagi spesifikasi yang tidak diketahui mengenai peranti. Dengan pelancarannya dalam beberapa hari lagi, mungkin kita akan dapat melihat dengan lebih banyak lagi maklumat dan spesifikasi mengenai realme C3 sebelum pengumumannya.

Sumber: GSMArena, Flipkart