realme 5i Dilancarkan Di Malaysia - Peranti Kelas Pertengahan Bajet Dengan Harga RM599

Rupa macam pernah dilihat tapi di mana ya? Terlebih dahulu realme 5i ini dilancarkan di Vietnam pada minggu lepas. Untuk pasaran Malaysia, pihak realme tidak menunggu lama untuk membawa realme 5i masuk ke sini. Baru sahaja sebentar tadi, peranti ini sudah rasmi dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Spesifikasi keseluruhan seakan sama dengan realme 5 sebagai model asas siri tersebut. Namun dengan menggunakan sensor swafoto 8MP berbanding 13MP pada realme 5 asal, peranti ini dilihat diposisikan dibawah realme 5.

Bermula dengan paparan hadapan, skrin peranti bersaiz 6.5 inci LCD dengan resolusi HD. Takuk kecil diletakkan untuk memuatkan kamera swafoto 8MP tersebut. Sistem kamera belakang tidak berubah yakni menggunakan kuad kamera. Terdapat 12MP utama, 8MP ultralebar, 2MP lensa makro dan juga 2MP depth.



Peranti dikuasakan oleh cip Snapdragon 665 dengan memori 4GB/64GB. Di samping itu, terdapat juga sokongan kad microSD untuk penambahan storan jika tidak mencukupi.

Saiz bateri yang dimuatkan adalah 5,000mAh melalui pengecasan 10W. Peranti juga boleh melakukan fungsi Reverse Charging dengan saiz bateri yang besar tersebut. Namun sayangnya, ia masih menggunakan lubang pengecasan Micro-USB yang sudah kuno.

 

realme 5i menjalankan perisian Color OS 6.1 yang berasaskan Android Pie. Antara fungsi lain yang peranti termasuklah bicu 3.5mm dan juga pengimbas cap jari di bahagian belakang.

Dengan realme 5i baharu ini, selain perbezaan kamera swafoto, realme menggunakan panel bertekstur di bahagian belakang. Dengan kemasan ini, peranti lebih selesa dan sedap digenggam.

realme 5i dijual di Malaysia pada harga untuk RM599 dalam dua pilihan warna iaitu Aqua Blue dan Forest Green.



Jualan pertama adalah secara luar talian di kedai rasmi realme Malaysia pada 18 Januari. Manakala jualan secara dalam talian boleh dibeli di Lazada pada 28 Januari. Untuk setiap pembelian melalui tarikh yang dinyatakan, anda boleh mendapat hadiah kotak percuma CNY.