Bank Britain, Barclays mengumumkan rancangan untuk mengurangkan kira-kira 5,000 pekerja, bersamaan hampir 5% daripada keseluruhan tenaga kerja globalnya, menjelang akhir 2026 sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan operasi menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menurut laporan AFP, pengumuman pada Khamis itu dibuat ketika Barclays mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 13% bagi suku ketiga tahun ini, didorong oleh pertumbuhan pendapatan dalam bahagian dagangan ekuitinya.
Dalam pembentangan keputusan kewangan, Barclays memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan penyederhanaan struktur organisasi serta perubahan teknologi bagi meningkatkan kecekapan melalui penggunaan AI.
Kira-kira 60% daripada pengurangan pekerja tersebut melibatkan fungsi sokongan, termasuk pengurangan jumlah pembangun perisian berikutan peningkatan produktiviti pekerja dengan bantuan AI.
Walaupun merancang pengurangan tenaga kerja, Barclays mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak £1.65 bilion (AS$2.2 bilion) pada suku ketiga 2026, meningkat daripada £1.46 bilion dalam tempoh Julai hingga September tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Barclays, C. S. Venkatakrishnan berkata prestasi operasi dan kewangan bank itu terus menunjukkan momentum positif, khususnya dalam bahagian perbankan pelaburan.
Pendapatan daripada dagangan ekuiti meningkat 47% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala jumlah pendapatan keseluruhan kumpulan meningkat 3% kepada £7.37 bilion.
Harga saham Barclays turut mencatatkan sedikit peningkatan susulan pengumuman tersebut.
Bagaimanapun, Pengarah Pelaburan AJ Bell, Russ Mould berkata pengumuman berkaitan AI itu dibuat ketika prestasi kewangan suku ketiga Barclays gagal memenuhi jangkaan pasaran.
Menurutnya, pengumuman pembelian semula saham yang dilihat positif juga tidak dapat menghilangkan sepenuhnya kekecewaan pelabur.
Beliau turut membangkitkan peningkatan kos operasi kumpulan serta dua isu yang membayangi perniagaan Barclays.
Pertama, jangkaan kenaikan cukai terhadap sektor perbankan dalam pembentangan belanjawan Britain minggu depan.
Kedua, laporan mengenai siasatan berhubung kemungkinan salah nyata risiko dalam portfolio kredit swasta bank tersebut. – AFP
