Bila bercakap tentang telefon boleh lipat, peranti yang akan terlintas di fikiran pasti siri Fold atau Flip daripada Samsung. Malah, sejak Samsung memperkenalkan Galaxy Z Flip3, makin ramai mula minat terhadap telefon sebegini disebabkan ia terasa lebih moden dan sesuai dengan peredaran zaman.
Tidak dapat dinafikan, Samsung merupakan salah satu jenama terawal yang mempopularkan telefon boleh lipat. Jadi, tidak hairanlah beberapa jenama lain pun mengikuti jejak langkah mereka.
Tahun ini juga, Huawei meneruskan lagi persaingan telefon lipatnya menerusi Mate X2 dan tidak ketinggalan, Xiaomi turut melancarkan peranti lipat pertamanya – Mi Mix Fold. Bagi merancakkan lagi arena telefon boleh lipat, OPPO pun merasmikan telefon yang boleh dilipat pertama mereka, iaitu OPPO Find N.
Sejujurnya, saya bukanlah peminat telefon boleh lipat. Ini kerana kebanyakan jenama memberikan sebuah peranti yang agak besar dan panjang. Akan tetapi, OPPO Find N ini telah mengubah tanggapan saya terhadap telefon sebegini.
Apa Di Dalam Kotak
Terlebih dahulu, mari kita membedah kotak OPPO Find N. Sesuai dengan status andalan yang dibawa OPPO, kotak yang menempatkan peranti ini juga dilihat ‘presentable’.
Mengapa saya kata begitu?
Kotak peranti ini amat mudah untuk dibuka dan apabila ia sudah terbuka, bahagian dalamnya akan sedikit terangkat dan menampakkan sebuah OPPO Find N di dalam.
Selain itu, ia juga mesra alam kerana tiada kehadiran plastik yang membaluti aksesori-aksesorinya seperti kabel dan pengecas 33W. Lain-lain dokumen pun tersimpan rapi dalam bekas yang berasaskan kotak.
Itu sahaja yang anda akan dapat sekiranya membeli OPPO Find N. Tiada kerangka pelindung (casing) mahupun fon telinga berwayar. Namun, tidak pelik kerana mana-mana telefon andalan lain juga memberikan perkara serupa. Melainkan mereka membuang pengecas di dalam kotak.
Spesifikasi
- Snapdragon 888
- 8GB RAM atau 12GB RAM (RAM Maya sehingga 7GB)
- Storan dalaman 256GB atau 256GB UFS 3.1
- Kamera 50MP utama, 16MP ultra lebar, 13MP telefoto
- Kamera swafoto luar dan dalam 32MP
- Skrin luar 5.49 inci AMOLED, 60Hz bernisbah 18:9
- Skrin dalam 7.1 inci AMOLED, 120Hz bernisbah 8.4:9
- Bateri 4500mAh, 33W pengecasan berwayar, 15W pengecasan tanpa wayar
- ColorOS 12 berasaskan Android 11
Rekaan
Telefon ini hadir dengan rekaan berbeza berbanding pesaingya. Jika Huawei, Xiaomi dan Samsung menampilkan rekaan hampir serupa, OPPO mahu menawarkan sesuatu ‘luar biasa’.
Peranti ini walaupun tebal dan agak berat tetapi ia sangat kompak. Umpama peranti-peranti pintar yang bersaiz “mini” di pasaran.
Saya suka akan skrin luarannya kerana tidak memanjang seperti Galaxy Z Fold3. Dengan ini, dapatlah mengubati rindu telefon bersaiz kecil seperti Pixel 4a atau iPhone 13 mini. Nisbahnya pun tak terlalu janggal, ia hadir dengan 18:9 berbanding kebiasaan peranti lain – 16:9.
Ketika saya membuka lipatan peranti ini, apa yang saya lihat adalah skrin dalamannya berbentuk petak. Paparan sebegini saya boleh katakan seimbang. Baik dari segi hiburan atau santai untuk membaca manga serta novel.
Pada bahagian belakang, modul kameranya seperti gabungan Find X3 Pro dan siri Reno6. Bagus juga OPPO berbuat demikian sebab ia merupakan identiti mereka.
Pada bahagian sisi kanan pula, terletaknya pengimbas cap jari. Kadangkala terasa pantas semasa saya cuba nyahkunci peranti, kadangkala tidak terasa susah. Mungkin atas faktor pengimbasnya yang agak kecil. Maklumlah, jari saya sedikit besar.
Sementara bahagian sisi kiri, wujudnya butang laras audio. Bercakap tentang audio, pembesar suaranya berada pada bahagian bawah. Ia masih stereo cuma saya terasa lain kerana sudah biasa dengan bunyi audio pada kedua-dua belah peranti. Bukannya hanya ‘berat sebelah’.
Terdapat dua pilihan warna asas yang ditawarkan, iaitu hitam dan putih. Satu lagi warna ialah ungu. Cumanya saya tak berapa minat dengan warna ungu OPPO Find N kerana ia kebiru-biruan.
Saya lebih suka warna ungu yang ada pada siri Galaxy S21, jauh lebih menyerlah. Satu lagi yang saya kurang berkenan adalah panel belakangnya jenis ‘glossy’.
Mengapa OPPO tidak memberikan kemasan matte untuk warna ini? Sekiranya ia hadir dengan panel belakang matte, pasti lebih garang dan nampak premium. Sesuai dengan status andalan.
Pengalaman Awal Guna OPPO Find N
Seperti yang saya sudah nyatakan, saya tidak suka telefon boleh lipat pada awalnya kerana saiznya yang kurang praktikal. Jika dilihat kembali, kita pun sudah ‘dihidangkan’ peranti serupa dimana ia tebal, panjang dan terasa janggal apabila melihat skrin luarannya.
Mungkin disebabkan itu, OPPO sedikit bijak dengan menawarkan sesuatu yang lain. Ketika mana saya mula pegang OPPO Find N, saya bercakap dengan diri sendiri bahawa mungkin ini adalah definisi sebenar telefon boleh lipat.
Peranti ini walaupun terasa tebal dan berat tetapi disebabkan saiznya yang kompak, ia memang selesa dipegang. Kadangkala tak terfikir yang sebenarnya saya sedang menggunakan telefon lipat.
Pada skrin luaran, ia seolah-olah sedang memakai iPhone 13 mini. Perkara ini yang membuatkan saya berasa selesa ketika menatal aplikasi atau melakukan tugasan lain seperti menonton video di YouTube.
Apabila telefon ini dibuka, benda utama yang saya akan lihat adalah ‘crease line’ atau bahasa mudahnya garisan kesan lipatan. OPPO ada mendakwa di mana rekaan Find N mampu mengurangkan sebanyak 80% kesan ‘crease’ tersebut.
Nampaknya, mereka tidak bercakap kosong. Saya teringat tentang peranti Galaxy Z Flip3 dan Galaxy Z Fold3 dimana ‘crease’ itu ketara dilihat. Namun pada peranti ini, boleh dikatakan OPPO berjaya menghilangkannya.
Biarpun teknologi engsel yang ada pada peranti ini berjaya melenyapkan ‘crease’, anda perlu ingat yang ia tiada penarafan kalis air dan debu seperti mana Galaxy Z Fold3. Tidak hairanlah peranti ini lebih mampu milik berbanding Samsung. Selesai berbicara tentang kesan lipatan, kita beralih pada pengalaman menggunakan skrin dalamannya.
Paparan dalamannya berbentuk agak petak walaupun bukan petak yang sempurna. Dari segi penggunaan untuk hiburan seperti melayan video YouTube atau menikmati siri Netflix, memang tiada masalah dan sememangnya puas. Bahkan, saiz sebegini memang suai bagi individu yang mahukan telefon dengan padanan tablet mini tetapi tidak besar seperti tablet. Orang kata ‘just nice’ sebab ia ‘phablet’.
Cumanya apabila saya melancarkan aplikasi-aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok, ia masih belum sempurna. Mungkin disebabkan belum wujudnya aplikasi khusus untuk peranti boleh lipat. Saya mengharapkan ada aplikasi yang dicipta untuknya agar pengalaman penggunaan lebih seronok.
Saya akur yang itu adalah dari pihak pembangun sendiri. Jenama seperti OPPO hanya dapat memberikan pengalaman seperti multi-tugasan sahaja supaya tidak kekok ketika menggunakan telefon lipat.
Selain itu, walaupun ColorOS 12 sudah ditambah baik dengan fungsi-fungsi baharu tetapi masih jauh lagi jika nak dibandingkan One UI yang lebih mesra bersama Galaxy Z Fold3.
Sebelum terlupa, saya sudah mencuba bermain permainan mudah alih seperti PUBG: New State dan Pokemon Unite. Dua genre berbeza, satu battle royale dan satu lagi jenis MOBA.
Saya mendapati resolusi permainan PUBG tidak sempurna walaupun saiz skrin sudah besar. Ia sedikit ‘pecah’. Ini tidak terjadi pada permainan Pokemon Unite. Seperkara lagi, peranti ini cepat panas ketika bermain walaupun belum mencecah 30 minit permainan.
Akan tetapi bagi saya tak apalah sebabnya telefon ini bukan dipasarkan untuk gaming. Setakat ringan-ringan pada masa lapang, okay.
Permulaan Baik Dari OPPO
Secara keseluruhannya, saya berterima kasih kepada OPPO kerana berjaya menarik minat saya terhadap telefon boleh lipat. Bagi saya, peranti boleh lipat sepatutnya didatangkan dengan rekaan sebegini. Tidak perlu terlalu besar atau panjang. Biarlah sedap dipegang, disimpan dan tak terasa lenguh ketika memegangnya terlalu lama.
Saya boleh memuji peranti ini dan berpendapat sekiranya ia ditawarkan buat pasaran Malaysia, mungkin ramai yang akan berani mencuba. Harganya pun hanyalah sekitar RM5090 untuk permulaan dan bagi segmen telefon boleh lipat, ia sememangnya mampu milik.
Apa-apa pun, ini merupakan pendapat awal daripada saya. Adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Adakah ‘phablet’ ini sudah boleh menggantikan tablet pada satu hari nanti? Bagaimana pula dengan kemampuan fotografinya? Nantikan untuk ulasan selanjutnya dalam masa terdekat.
Baca juga: