Siri vivo V di Malaysia kini menerima ahli baru melalui pelancaran rasmi vivo V23e. Diletakkan dalam keluarga produk yang memfokuskan kepada prestasi kamera dan mengikut citarasa semasa, anda mungkin tertanya-tanya apa kemampuan sebenar telefon ini. Sewaktu kami terima unit ulasan, harganya tidak didedahkan lagi dan pandangan mengenai telefon ini dibuat tanpa berlandaskan harga jualan.
Kalau nak tahu tentang maklumat jualan dan lain-lain boleh ke artikel ini – vivo V23e Rasmi, Fokus Masih Sama – Gambar Swafoto Yang Lebih Cantik
Buka kotak
Tiada apa yang istimewa dibahagian luar kotak. Dalamnya diisi dengan manual, sarung pelindung, kabel jenis USB-C, pengecas 44W, dan fon telinga berwayar dan penyesuai 3.5mm ke USB-C. Ketika mana, pengeluar-pengeluar lain, membuang pengecas dan dari dalam kotak, vivo masih lagi setia memberikan fon telinga berwayar kepada pengguna. Bagus vivo. Mungkin masing-masing sudah ada TWS atau fon telinga kegemaran tetapi disaat memerlukan, fon telinga berwayar ini boleh berkhidmat.
Spesifikasi
- Funtouch OS 12
- MediaTek Helio G96
- RAM 8GB (boleh ditambah 4GB secara maya)
- Storan 128GB
- Pengecasan Flash Charge 44W
- Bateri 4050mAh
- Kamera hadapan 50MP
- Kamera belakang 64MP, 8MP ultra lebar, 2MP makro
- Skrin AMOLED 6.44 inci FHD+
Rekaan
Kalau lihat tawaran siri vivo V sebelum ini, kita akan disajikan dengan pilihan warna-warna yang meriah. Sesuai untuk golongan hawa ataupun muda-mudi, Model kali ini ada dua warna, kalau nak rileks-rileks sikit boleh pilih Moonlight Shadow. Sementara unit ditangan saya adalah Sunshine Coast, sesuai untuk mereka yang gemarkan warna menonjol.
Warna pada panel belakang berubah-ubah mengikut pantulan cahaya dengan tekstur halus yang sedap dipegang tangan. Kata vivo, ia tidak meninggalkan kesan cap jari. Tapi saya jenis yang bukan mudah percaya. Saya tenyeh jari-jemari di panel belakang dan didapati cap jari kelihatan, tetapi samar-samar atau hampir tak nampak. Ok, bagus.
Untuk makluman, bahagian belakang diperbuat daripada kaca jenis Fluorite AG, bahan sama yang digunakan pada model lebih mahal iaitu siri vivo X70 yang dijual sekitar RM2500 ke RM3300.
Namun secara peribadi, rekaan petak mengelilingi peranti ini kurang saya gemari disebabkan ia berlapis. Tak sedap tangan pegang untuk tempoh lama, kerana anda akan rasa lekuk-lekuk disisi badan peranti. Lebih elok dipakaikan ‘baju’ yang disertakan sekali dalam kotak. Genggaman lebih sedap dan kemas dibuat.
Modul kamera terletak dipenjuru kiri yang diisi dengan tetapan tiga kamera. Sentuh sedikit tentang modul kamera, ini antara rekaan yang saya suka kerana ia kelihatan kemas. Sejak siri V20 lagi kita boleh lihat rekaan sebegini, dimana bonggolnya nipis dan tiada masalah telefon berjoget-joget bila diletakkan diatas permukaan rata.
Sebelah hadapan, rekaan takuk disumbat dengan kamera 50MP. Sejujurnya, saya dah mula muak dengan rekaan takuk ‘titisan air’, ‘titisan embun’ dan segala titisan lain. Kalau dahulu V17 boleh ditawarkan dengan skrin berlubang, mengapa vivo berpatah balik dengan skrin bertakuk.
Sisi kanan diletakkan dengan butang pelaras kelantangan bunyi dan butang kuasa sementara sisi bertentangan dibiarkan bersih tanpa sebarang lubang dan butang. Sebelah bawah anda akan lihat corong pembesar suara mono, USB-C dan slot kad hibrid. Boleh masuk dua kad SIM nano, atau satu kad memori MikroSD.
Skrin paparan
Menghamparkan kandungan dalam resolusi FHD+, sekali pandang setiap warnanya cukup terang jelas. Sudut pandangnya juga agak baik. Namun begitu, ia masih tersekat dengan kadar segar semula 60Hz.
Ada tiga profil warna yang boleh ditetapkan, Standard, Professional, dan Bright. Kalau pilih Professional, tona warnanya agak warm sedikit. Lebih redup dimata berbanding Bright, warnanya lebih menonjol berbanding dari Standard.
Antara muka
Apa yang kita akan dapat melalui vivo V23e adalah sistem operasi Funtouch OS 12 berasaskan Android 11. Sekali pandang, sistem ini cukup kemas, ringan dan responsif. Ditambah pula dengan ikon dan skema warna lembut, cukup sedap mata memandang.
Fungsi imbasan cap jari dan wajah berfungsi dengan baik. Tidak lembab dan mampu cam wajah walaupun dalam keadaan kurang cahaya. Di dalam sistem, akan disertakan dengan aplikasi yang sedia terpasang macam Agoda, Booking.com, MiChat, Lazada. Saya faham tak semua gunakan aplikasi-aplikasi ini, jangan risau anda boleh padam.
Apa yang menarik perhatian saya adalah ciri Nano Music Player. Untuk makluman, ciri ini salah satu ciri baru yang diperkenalkan pada Origin OS. Ia benarkan anda untuk pilih platform penstriman seperti contoh antara aplikasi pemain muzik sedia, Joox atau Spotify. Lagipun dua aplikasi ini saja yang disokong. Entah bila Origin OS nak masuk pasaran global.
Selain itu, melalui ciri ini juga anda boleh kawal terus muzik, tanpa perlu buka aplikasi pemain tersebut. Antara ciri lain yang dibawakan pada Funtouch OS 12 adalah Ultra Game Mode. Mod ini mudahkan anda untuk buat pintasan masuk ke tetapan permainan.
Ada dua pilihan mod, Esports Mode dan Off-Screen Autoplay. Secara ringkasnya, jika anda aktifkan mod ini anda akan kurangkan gangguan ketika bermain aplikasi. Notifikasi disembunyikan, permainan masih berjalan walaupun skrin tidak menyala dan banyak lagi.
Setakat ini saya belum ada masa untuk lenjan telefon ini dengan aplikasi permainan seperti PUBG Mobile dan lain-lain. Saya akan cuba, kongsikan pada artikel gaming test/prestasi akan datang.
Sebelum terlupa, vivo turut menyediakan ciri RAM tambahan maya pada vivo V23e. Anda boleh dapat 4GB tambahan untuk lebih prestasi pada sistem. Untuk lebih kefahaman tentang RAM maya yang semakin banyak ditawarkan pengeluar, boleh tonton video penerangan oleh saudara Meor disini.
Kesimpulan
Bagi penggunaan beberapa ketika, reaksi awal saya adalah, vivo V23e sebuah telefon yang ada gaya, ada DNA vivo dari segi reka bentuk, sistem antara muka yang kemas dan lancar.
Namun begitu, pertaruhan utama adalah pada sistem kameranya kerana kita perlu tahu siri V ini sasarkan kepada pengguna yang gemarkan kamera. Awal ini saya tak mahu cerita lanjut kerana untuk sampel gambar akan saya kepilkan dalam artikel lain dimasa terdekat untuk anda nilaikan sendiri kemampuan sebenar sistem tiga kamera vivo V23e ini.
Adakah gabungan cip Helio G96 yang memfokuskan fotografi dan perkakasan serta perisian kamera vivo V23e mampu buahkan hasil imej yang terbaik, nantikan ulasan selanjutnya.