Huawei Mate X2, Telefon Boleh Lipat Dengan Harga Yang Tidak Murah

Telefon pintar boleh lipat terbaharu dari Huawei kini rasmi dilancarkan di China sebentar tadi. Datang dengan nama Huawei Mate X2, ia menghamparkan skrin seluas 8 inci (2480 x 2200). Sekiranya dilipat, skrin berukuran 6.45 inci (2700 x 1160) boleh digunakan. Seberat 295g dan mempunyai empat pilihan warna.



Skrin luar dan dalam ini merupakan jenis OLED dan menyokong kadar segar semula 90Hz. Menguasakan peranti dari dalam adalah cip Kirin 9000, cip sama yang dilengkapkan pada siri Mate 40 Pro tahun lalu. Pengimbas cap jari disertakan pada butang kuasa.



Konfigurasi memori pula menampilkan RAM 8GB dan pilihan storan antara 256GB sehingga 512GB. Bahagian rakaman digalas empat lensa kamera terdiri daripada 50MP sudut lebar, 16MP ultra lebar, 12MP telefoto (3x zoom optikal) dan 8MP "SuperZoom" dengan keupayaan 10x zoom optikal. Terdapat juga satu kamera swafoto 16MP pada sebelah luar.



Huawei Mate X2 dijana dengan bateri berkapasiti 4400mAh yang boleh dicas secara pantas melalui pengecasan Huawei SuperCharge 55W. Harga jualan telefon boleh lipat ini diletakkan pada nilai ¥17,999 (~RM11253) sehinggalah ¥18,999 (~RM11879), berbeza mengikut kapasiti storan.