vivo Y76 5G adalah merupakan telefon kelas pertengahan baharu dari vivo. Edisi terbaharu vivo kali ini menampilkan kolaborasi dengan Mobile Legends. Tapi bukan apa sangat pun, setakat tebus skin dalam game je. Bukannya betul-betul edisi khas.
Bersambung balik, selain skin yang boleh ditebus, antara tarikan terbaharu vivo Y76 5G adalah kamera utama 50MP dan sistem pengecasan 44W.
Saya telah menguji kamera yang terdapat pada vivo Y76 5G dan ini merupakan apa yang saya dapati.
Tetapan Kamera/Spesifikasi
Pertama sekali, vivo Y76 5G dilengkapi dengan 3 kamera pada bahagian belakang. Namun seperti biasa, kalau dah namanya kelas pertengahan atau kelas bajet ni, memang jaranglah semua kamera itu ada fungsi.
Ada 50Mp utama yang merupakan tarikan utama telefon ini di samping 2MP makro dan 2MP depth yang turut menyendeng masuk duduk sekali buat tak malu pada modul kameranya itu. Manakala pada bahagian swafoto pula, ia dilengkapi dengan 16MP kamera yang sudah menjadi norma untuk vivo meletakkan kamera beresolusi tinggi pada bahagian hadapan telefon mereka.
Kamera Utama
Apa yang saya dapati, kamera utama 50MP ini sememangnya mempunyai butiran yang memuaskan. Walaupun gambar ditangkap secara default, iaitu 12MP, gambar tetap mempunyai perincian yang tinggi. 50MP memang tak payah cakaplah.
Cumanya, ada jelas beberapa kelemahan utama iaitu pemprosesan HDR yang sedikit lemah, dan pewarnaan pekat terutamanya merah dan hijau. Walaupun situasi HDR itu tidaklah seekstrem mana, gambar yang dihasilkan mudah untuk jadi gelap. Tetapi jika pencahayaan normal, gambar elok sahaja tanpa masalah.
Gambar Malam
Untuk Night Mode, kelemahan kamera 50MP ini mula semakin dilondehkan. Tetapi memikirkan konteks ia adalah telefon kelas pertengahan bawahan, ini adalah sesuatu yang normal dialami oleh ramai lagi rakan-rakan seperjuangannya. Butiran yang tinggi dilihat pada waktu siang kini kelihatan comot-comot sedikit dan hingar lebih jelas kelihatan. Walaupun begitu warna yang terhasil masih lagi dalam keadaan baik dan tidak mencacatkan gambar secara total.
Makro
Selagi pengeluar tidak berhenti meletakkan kamera makro 2MP pada telefon mereka, agak sukar sebenarnya untuk kita menghiraukan kewujudan kamera makro ini. Prestasinya seperti mana mana-mana kamera makro 2MP lain. Jika pencahayaan elok, elok jugalah gambar tu. Tapi setakat 2MP, apalah yang nak dibanggakan pun.
Potret/Depth
Satu lagi lensa tambahan adalah 2MP depth yang digunakan oleh mod potret. Saya bukan peminat gambar stail potret, tapi itu masalah peribadilah. Baik, sebagai pendapat, kualiti potret adalah bagi saya hanya sekadar okay. Potongan rambut pun tidak berapa kemas, tetapi mungkin pujian dari segi warna yang bagi saya ‘menarik’ hati walaupun bukan yang paling natural.
Swafoto
Dengan 16MP unit swafoto, sejujurnya saya boleh kata suka juga dengan tahap kualiti yang dipamerkan. Penuh dengan butiran, sesuailah dengan tema 16MPnya itu. Unsur smoothening tak dirasakan terlalu banyak, ada tapi banyak kerana saya boleh melihat liang-liang roma dan bulu-bulu muka dengan sangat baik. Warna kulit pun terpamer elok. Jika ada sedikit kritikan, mungkin gambar berpotensi tinggi untuk overexpose untuk pencahayaan ekstrem, tapi tengoklah balik harga. Bagi saya dah sangat baik dah ni dengan prestasi swafotonya.
Rakaman Video
Salah satu tarikan utama untuk kebanyakan telefon vivo adalah rakaman dengan penstabilan Ultra. Maksimum rakaman untuk vivo Y76 5G adalah 1080P 60fps. Tiada rakaman 4K, cip pun sememangnya tak mampu untuk sokong resolusi rakaman setinggi itu. Untuk rakaman 1080p 60fps jika ditambah dengan mod penstabilan Ultra, smooth memang smooth, tetapi jika dilihat secara dekat, video ada jerking dan sebenarnya nampak ‘buruk’. Bagi saya, jika tidak gunakan mod rakaman Ultra pun tidak mengapa, setidak-tidaknya rakaman nampak lebih natural dengan pergerakan goyang-goyang berjalan yang terjadi semasa rakaman.
Rumusan
Kekuatan yang saya perhatikan pada vivo Y76 5G ini adalah pada kamera utama 50MP pada waktu siang. Saya amat meminati perincian yang tinggi dipersembahkan dalam kamera utamanya. Antara yang lain adalah kualiti swafoto pun sangat menarik tanpa aspek smoothening. Benda itu ada sebagai pilihan, tetapi jika anda mahukan detail dalam swafoto, vivo Y76 5G mampu untuk menawarkannya.
Aspek kamera yang lain tiada yang menarik untuk diceritakan. Jujurnya, ini mungkin sebuah lagi kamera kelas pertengahan 50MP yang sudah biasa dijumpai pada kebanyakan model-model lain dalam pasaran. Untuk penawaran RM1,299, kameranya memuaskan untuk harganya. 50MP itu memang ada unsur ‘kualitinya’. Cuma kena fahamlah ini kelas pertengahan yang bukanlah premium mana. Jadi tidak logiklah jika pengguna mengimpikan kamera 50MP vivo Y76 5G itu lebih dari sekadar sebuah kamera yang hanya cemerlang dari aspek butiran sahaja. Mana maunye, tengok hargalah.
Baca lagi: