Microsoft Surface Go 3 vs iPad Gen 9 - Jangan Tersalah Pilih

Tempoh hari, saya telah mengulas tentang kelebihan dan kekurangan  Microsoft Surface Go 3. Kali ini, saya akan membandingkan pula tablet ini dengan table dari Apple iaitu iPad Gen 9.

Dalam banyak-banyak tablet Apple, kenapa saya pilih iPad Gen 9? Ini kerana Surface Go 3 dan iPad Gen 9 mempunyai persamaan iaitu kedua-dua tablet ini berada dalam barisan paling rendah dalam siri pengeluaran mereka. 



Saya juga akan bandingkan kedua-dua tablet dari segi konsep dan penggunaan dan bukannya dari harga semata-mata. Oleh itu, anda akan dapat gambaran tablet mana yang lebih sesuai untuk melakukan sesuatu tugas itu mengikut perspektif anda sendiri. 

Windows ke iPadOS?


Perkara yang paling ketara jika dibezakan Microsoft Surface Go 3 dengan iPad Gen 9 ini semestinya sistem operasi yang digunakan. Surface Go 3 ini menggunakan Windows dan iPad pula menggunakan iPadOS. 

Saya akan ceritakan tentang Windows pada Surface terlebih dahulu. Windows yang hadir pada Surface ini merupakan Windows 11 Home. Selain itu, ia juga berada dalam S Mode yang mana mod ini akan memastikan tablet Surface ini dijanjikan lebih selamat dari sebarang kod hasad, menjaga prestasi dan hanya mampu memasang aplikasi daripada Microsoft Store sahaja. 



Bagi sesetengah pengguna, kebiasaannya mereka akan muat turun Google Chrome terlebih dahulu apabila menggunakan komputer baharu. Tetapi dengan S Mode yang diaktifkan, anda tidak dapat memasang aplikasi Google Chrome ini. 

Anda perlu keluar daripada S Mode ini terlebih dahulu untuk pasang sebarang aplikasi yang tiada dalam Microsoft Store. Perlu juga diingatkan bahawa S Mode ini juga merupakan satu hala, jika anda keluar daripada S Mode anda tidak boleh kembali kepada S Mode semula. 

Selain daripada S Mode, Surface Go 3 ini mampu berfungsi penuh seperti komputer riba yang biasa jadi anda boleh pasang semua aplikasi Windows ke dalam Surface ini. Cuma anda perlu pertimbangkan sama ada aplikasi tersebut sesuai ataupun tidak dengan spesifikasi Surface ini.



Untuk iPad Gen 9 pula, ia menggunakan iPadOS yang mana sistem operasi ini seakan-akan iOS tetapi ia lebih dioptimasikan kepada penggunaan iPad. Untuk muat turun aplikasi ke dalam iPad, anda hanya boleh muat turun daripada Apps Store sahaja.



Semua aplikasi dalam iPad ini juga adalah berkonsepkan tablet sepenuhnya dan bukan kepada sebuah komputer riba. Oleh itu, cara guna navigasi untuk aplikasi adalah bergantung kepada skrin sentuh dan bukan kepada papan kekunci dan kursor tetikus. Kalau anda beli papan kekunci fizikal berasingan pun, ia tidak mempunyai ciri pan sesentuh. 

Selain itu, kelebihan produk Apple ini adalah ia mempunyai ekosistem Apple seperti AirDrop. Windows juga boleh untuk menggunakan fungsi sebegini, cuma ia perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga.

Perbandingan perisian pertama yang saya cuba bandingkan antara Microsoft Surface Go 3 dan iPad Gen 9 ini adalah Adobe Photoshop. Saya memilih Adobe Photoshop ini adalah kerana perisian ini boleh dipasang pada kedua-dua tablet ini. 



Untuk Surface, saya perlu muat turun perisian Adobe Creative Cloud yang mana saya akan memasang Adobe Photoshop dari perisian tersebut. Manakala untuk iPad pula, saya hanya perlu muat turun terus aplikasi Adobe Photoshop daripada Apps Store

Prestasi Surface menjalankan Photoshop bagi saya boleh diterima. Kerana tablet ini menggunakan cip janaan Intel Core i3-10100Y, jadi anda tidak boleh letakkan jangkaan yang tinggi jika sekiranya ingin menyunting dengan efek berat. 



Berdanding dengan iPad, disebabkan aplikasi Photoshop ini telah dioptimasikan dengan iPadOS, Photoshop yang dijalankan pada iPad ini lebih lancar dan lebih pantas. 

Cuma perbezaan yang saya dapat ialah, terdapat sesetengah fungsi pada Photoshop ini tiada pada iPad seperti Effects, dan Smart Filters. 



Aplikasi kedua yang saya ingin bandingkan ialah Genshin Impact, permainan rentas platform paling popular buat masa ini. 

Prestasi Surface Go 3 untuk bermain permainan video ini amat menyedihkan. Walaupun dengan tetapan grafik yang paling minimum, Surface Go 3 masih tidak boleh menjalankan aplikasi ini dengan lancar. Seperti yang telah ingatkan sebelum ini, prestasi cip i3 ini tidak boleh diletakkan jangkaan yang tinggi. 

Kapsyen: Genshin Impact pada Surface Go 3


Untuk iPad Gen 9 pula, untuk bermain Genshin Impact memang tiada masalah. Ye lah, versi mudah alih kan, mestilah boleh main dengan lancar. Lebih-lebih lagi dengan cip Apple A13, cipset ini masih mampu untuk bermain permainan video ini dengan tetapan sederhana 60FPS. 

Jadi untuk simpulkan prestasi Surface Go 3 dan iPad Gen 9 menjalankan kedua-dua aplikasi ini, saya boleh simpulkan bahawa Surface Go 3 mampu menggunakan semua fungsi yang terdapat pada Adobe Photoshop berbanding dengan iPad. 

Untuk Genshin Impact pula, prestasi iPad Gen 9 lebih bagus kerana Surface Go 3 tidak dapat menjalankan aplikasi ini dengan lancar walaupun menggunakan tetapan grafik yang rendah. 

Type Cover vs Smart Keyboard


Beralih kepada pengalaman menaip pula, kedua-dua Microsoft Surface Go 3 dan iPad Gen 9 ini mempunyai papan kekunci boleh tanggal iaitu Type Cover (Surface) dan Smart Keyboard (iPad).





Pengalaman guna Type Cover untuk Surface Go 3 ini bagi saya amat memuaskan. Saya suka akan suis mekanikal yang digunakan pada papan kekunci ini yang membuatkan saya terasa setiap huruf yang saya tekan. Sebagai tambahan, papan kekunci ini juga mempunyai pencahayaan untuk menaip dalam keadaan gelap.



Bagi Smart Keyboard pula, ia lebih nipis berbanding dengan Type Cover kerana ia tidak mempunyai fungsi pencahayaan. Pengalaman menaip pada Smart Keyboard ini juga sedikit keras dan kadang-kadang saya dapati terdapat huruf yang tidak didaftarkan semasa saya menaip. 



Setiap papan kekunci boleh tanggal ini dijual berasingan dengan masing-masing berharga RM578 untuk Signature Type Cover dan RM649 untuk Smart Keyboard. 

Kamera mana lagi bagus?


Kedua-dua tablet ini mempunyai kamera utama dan kamera swafoto. Untuk Microsoft Surface Go 3, ia menggunakan 8MP kamera utama dan 5MP kamera swafoto manakala iPad Gen 9 pula menggunakan 8MP kamera utama dan 12MP kamera swafoto.

Saya boleh katakan bahawa prestasi kamera kedua-dua tablet ini mempunyai kelebihan masing-masing. Saya suka dengan imej yang dipaparkan melalui kamera swafoto Surface Go 3 ini. Walaupun hanya menggunakan sensor kamera 5MP, gambar yang dihasilkan jelas dan cantik.

Bagi iPad pula, walaupun gambar yang dihasilkan sedikit pecah, tetapi dengan fungsi Centre Stage ia membuatkan tablet ini mempunyai satu fungsi untuk dibanggakan kerana fungsi ini hanya ada untuk barisan iPad sahaja. 

Untuk kamera utama pula, saya boleh katakan bahawa imej yang dihasilkan pada iPad lebih cantik dan tajam jika dibandingkan dengan Surface Go 3. Tetapi jika benar pun jarang sekali tablet ini digunakan untuk mengambil gambar kerana lebih berfokus kepada penggunaan panggilan video.


Skrin cantik?


Skrin pada Surface Go 3 ialah 10.5 inci PixelSense™ Display (3:2) manakala iPad Gen 9 pula ialah 10.2 inci Retina Display True Tone (4:3)

Kedua-dua skrin ini juga mempunyai kelebihan tersendiri. Surface Go 3 ini mempunyai paparan yang lebih jelas, dan tajam jika dibandingkan dengan iPad. Tetapi untuk iPad, disebabkan ia mempunyai paparan True Tone, warna yang dipaparkan lebih tepat dan cantik. 



Untuk pengalaman skrin sentuh, oleh kerana Surface ini menggunakan sistem operasi Windows, gestur pada tablet ini adalah sama seperti gestur yang kita boleh gunakan pada pad sesentuh. 



Gestur pada iPad pula lebih pelbagai, kerana ia menggunakan iPadOS yang seakan-akan iOS, gestur ini lebih mudah untuk diaplikasikan kerana ia sememangnya berkonsepkan skrin sentuh. 


Pembesar suara mana best?


Pasti ada yang ingin menggunakan tablet ini untuk menonton video atau filem. Oleh itu, saya ingin bercerita tentang pembesar suara kedua-dua tablet ini.

Pembesar suara Surface Go 3 ini ialah jenis stereo Dolby Audio yang menghala kepada pengguna. Disebabkan itu, pengalaman dengar adalah lebih sedap dan jelas untuk didengar. 



Berbanding dengan iPad, pembesar suara ini terletak pada bahagian bawah. Jadi pengalaman dengar tu kalau nak dibandingkan dengan Surface Go 3 memang tidak berapa seronok.


Bateri tahan ke?


Ketahan bateri menjadi salah satu faktor kepada pemilihan sesebuah peranti mudah alih. Dalam penggunaan saya, kebiasaannya saya akan cas tablet ini pada waktu pagi sehingga lebih kurang jam 11 pagi, dan bateri ini akan tahan sehingga lebih kurang jam 5 petang untuk penggunaan terus. 

Berbanding dengan iPad, saya lebih suka ketahanan bateri pada iPad ini kerana saya tidak pernah cas tablet ini pada hari yang sama selepas ia dicas penuh. 

Tempoh pengecasan bagi kedua-dua tablet ini bagi saya lebih kurang sahaja iaitu 2-3 jam untuk penuh. Tetapi boleh dilihat Microsoft Surface mampu cas lebih pantas sedikit berbanding iPad. 

Kesimpulan


Jika ditanya kepada saya mana satu tablet yang bagus, saya tidak mampu memberikan kata putus kerana Microsoft Surface Go 3 dan iPad Gen 9 ini masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Jadi pilihan untuk memilih antara dua produk ini adalah bergantung kepada cara penggunaan yang paling selesa untuk anda.